Skip to content

“ADA CARA MENEGUR DAN BERPESAN..” – LUAHAN JIMMY JEJAI, CIKGU P. JASMANI KACAK TULAR DI LAMAN SOSIAL

Kongsikan artikel ini

Di zaman serba canggih ini, sesiapa saja bisa popular sekelip mata tanpa disedari. Hanya kerana memiliki rupa kacak selain berkongsi regim sihat tubuh badan, seorang guru praktikal lelaki muda baru-baru ini tular di laman sosial. Yang peliknya, Ahmad Muzaimi Bin Abdul Bakhtiar, atau lebih mesra dipanggil Jimmy juga tidak lari dari turut dikritik netizen apatah lagi dilabel dengan pelbagai gelaran-gelaran yang tidak sedap untuk didengar. Atas sebab itu, GL menghubungi Jimmy Jejai dan memintanya berkongsi perasaan, pengalaman serta tip-tip penjagaan tubuh badan dirinya. Semoga bermanfaat buat kita semua.

GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan tentang latar belakang anda. Nama penuh, umur, adik beradik, kerjaya, hobi dan apa saja yang menarik tentang diri anda?

JIMMY JEJAI: Pertama sekali, terima kasih buat pihak GLAM Lelaki dan penulis kerana sudi menyiarkan kisah tentang diri saya. Nama diberi Ahmad Muzaimi Bin Abdul Bakhtiar, berumur 23 tahun dan dilahirkan di Hospital Muar, Johor, tapi dibesarkan di Pulau Pinang selama 20 tahun. Saya anak ketiga dari empat adik beradik. Saya seorang penuntut ijzah sepenuh masa mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan dan Kejurulatihan. Saya juga seorang model dan jurulatih peribadi bebas. Saya gemar menghabiskan masa di gim, merupakan seorang atlit pecut, pemain badminton, bola sepak, dan bola baling. Saya mesra dikenali sebagai Jimmy oleh rakan-rakan kaum Cina di sekolah kerana nama saya yang susah untuk disebut. Saya juga fasih bercakap, menulis dan membaca dalam bahasa Mandarin.

GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan tentang profesion anda sebagai seorang guru? Bila mula mengajar, mengajar di mana, subjek apa, sekolah apa dan sebagainya?

JIMMY JEJAI: Bertugas sebagai guru praktikal pada 3 Julai 2017 di sebuah sekolah menengah di Parit Buntar, mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan kepuasan bergelar seorang pendidik?

JIMMY JEJAI: Kepuasan itu sukar untuk digambarkan sebab meminati bidang sukan dan kecergasan yang terlalu mendalam. Saya juga minat mengajar dan berkongsi ilmu, bukan sekadar dengan murid saja.

GLAM Lelaki: Sebelum anda memulakan profesion sebagai seorang guru praktikal, anda sendiri dikira seorang Insta Famous. Kenapa dan bagaimana anda boleh mendapatkan pengikut yang ramai sebelum ini?

JIMMY JEJAI: Oh mungkin sebelum ini saya memang seorang social media savvy, malah lebih aktif di Instagram berbanding laman-laman sosial yang lain. Mungkin juga saya aktif berkongsi rutin dan regim kecergasan saya yang menyebabkan pengikut saya bertambah dari hari ke hari.

GLAM Lelaki: Dan kini anda mulai tular dek gambar wajah anda viral di media-media sosial. Adakah ini sesuatu yang dijangkakan oleh anda. Apa perasaan anda sekarang?

JIMMY JEJAI: Sejujurnya saya tidak pernah menyangka wajah saya akan tular sebab saya tahu saya tidak layak untuk menerima segala perhatian ini. Perasaan terkejut itu sudah semestinya, namun bercampur baur. Ada happy, sedih, takut dan bermacam-macam lagi.

GLAM Lelaki: Pada pandangan Jimmy, apakah agaknya kebaikan dan keburukan popular dek kerana wajah, tubuh dan personaliti seseorang di laman-laman sosial?

JIMMY JEJAI: Saya terima semua ini sebagai satu perkara yang mendatangkan kelebihan dan kekurangan tersendiri. Kebaikanya, saya perlu terus kekalkan kecergasan dan personaliti untuk terus beri semangat dan motivasi kepada masyarakat luar. Selain itu, saya bersyukur dengan kurniaan dan pinjaman seketika ini membuka ruang untuk saya mencari rezeki. Keburukan itu sentiasa ada, seperti diugut dan sebagainya tapi saya terima semua itu sebagai satu yang positif dan menggantikan semua tomahan itu sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya. Insha Allah.

GLAM Lelaki: Kongsikan dengan kami apa saja kenangan atau pengalaman menarik sejak mulai terkenal di laman sosial?

JIMMY JEJAI: Oh, adakala saya berasa lain apabila orang luar tak dikenali minta untuk bergambar sampaikan satu sekolah bergosip pasal saya. Ada juga murid yang menulis surat minta saya jangan terlalu tayang badan sangat. Namun, saya juga tidak lari apabila sentiasa dilabel dengan pelbagai jolokan seperti kunyit, gay, perasan handsome, poyo dan banyak lagi.

GLAM Lelaki: Anda dilihat seorang yang aktif di gim dan menjaga penampilan. Jadi boleh anda kongsikan dengan kami tip penjagaan tubuh badan yang anda lakukan, seperti rutin, tip dan diet.

JIMMY JEJAI: Untuk penjagaan tubuh, saya amal untuk banyakkan minum air kosong selepas bangun tidur. Ini dapat melancarkan sistem tubuh badan. Saya juga kerap mengambil buah-buahan dan kurangkan pengambilan makanan yang berminyak dan manis. Saya turut pentingkan pengambilan makanan yang tinggi protein seperti ayam, ikan dan sayur. Untuk rutin pula, saya memulakan senaman selepas tamat sesi persekolahan. Seperti biasa saya akan mulakan dengan weightlifting dan ditamatkan dengan kardio untuk 10-15 minit.

GLAM Lelaki: Kenapa pentingnya untuk anda menjaga penampilan dari perspektif seorang lelaki masa kini, dan seorang guru Pendidikan jasmani.

JIMMY JEJAI: Bagi saya, seorang lelaki terutama guru dan pendidik perlu menjaga kesihatan dan penampilan unutk kekal cergas dan berketerampilan tidak kira sewaktu di dalam kelas atau di padang. Selain itu, pandangan masyarakat terhadap diri kita perlulah lebih yakin dan baik. Lelaki di zaman sekarang juga perlulah menjaga penampilan diri dan bukan hanya fokus untuk mendapatkan perhatian wanita sahaja.

GLAM Lelaki: Di mana anda melihat diri anda selepas tamat praktikal?

JIMMY JEJAI: Selepas tamat latihan praktikal nanti, saya akan fokus kepada pertandingan bina badan dan kembali menjadi jurulatih kecergasan bebas. Kemudian, saya akan kembali ke kampus bagi menghabiskan pengajian yang berbaki satu semaster saja lagi. Saya bercita-cita untuk menjadi pegawai sukan ataupun mencuba nasib untuk menjadi PTD, insya allah.

GLAM Lelaki: Kata-kata terakhir buat semua pengikut-pengikut anda?

JIMMY JEJAI: Saya berterima kasih terhadap Ilahi untuk kurniaan dan pinjaman ini. Kepada ibu bapa, keluarga, sahabat dan rakan-rakan serta media yang banyak memberi semangat sewaktu susah dan senang. Saya juga berterima kasih berterima kepada semua pengikut-pengikut saya di Instagram atas segalanya. Akhir kata, jangan mudah menilai seseorang itu tanpa kita terlebih dahulu mengenalinya. Saya manusia biasa, ada perasaan, ada silap dan kekurangan. Yang pasti ada cara untuk menegur dan berpesan. Apa-apa pun saya doakan yang terbaik untuk semua. Terima kasih sekali lagi.

Oleh Wan Mohd Firdaus, 12 September 2017

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON MENUTUP TIRAI 2023 DENGAN PENUH MERIAH

Bacaan Lanjut

CUBA SENAMAN INI UNTUK KEMPISKAN PERUT

Bacaan Lanjut

STREET PIZZA MILIK GORDON RAMSAY KINI DIBUKA DI SUNWAY PYRAMID

Bacaan Lanjut
Ruark

SISTEM MUZIK REVOLUSIONER SIRI 100 RUARK MENGHUBUNGKAN ANDA DENGAN MUZIK

Bacaan Lanjut
10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA

10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA

Bacaan Lanjut

BACHA COFFEE MEMBUKA DESTINASI SUMBANGANNYA DI SURIA KLCC

Bacaan Lanjut