BERBALOIKAH DUKUN DITONTON SELEPAS 12 TAHUN DIPERAM?

Pertama kali penulis mengetahui akan kemunculan sebuah filem seram berjudul DUKUN adalah sewaktu penulis berjalan-jalan di sekitar mall di pekan Sungai Petani ketika masih mengaji dalam peringkat diploma di sebuah universiti tempatan. Jika tidak silap, poster filem ini dipamer gah sekitar tahun 2007. Pada waktu itu, memang teruja habis! Apatah lagi sewaktu itu, tidak banyak filem seram meninggalkan impak, dan ramai mula memperkatakan filem ini yang kononnya diadaptasi dari kisah pembunuhan yang benar-benar berlaku sekitar tahun 2001.

Namun alangkah hibanya penulis apabila mengetahui tayangan filem tersebut ditarik balik dek pelbagai isu yang berbangkit, seperti disekat oleh Lembaga Penapisan Filem Negara serta menyentuh sensitiviti keluarga yang mengugut untuk menyaman produksi sekiranya ia ditayangkan juga. Well, thats what I have been told. Namun, penantian untuk menyaksikan filem ini ditayang secara rasmi berakhir, di mana DUKUN  akhirnya menemui penonton mulai 5 April ini. Namun berbaloikah DUKUN ditonton selepas 12 tahun diperam? Penonton enggan mengulas lanjut tentang tersebarnya klip filem ini di media sosial baru-baru ini. Kerana nyatanya, pengakhiran serta jalan filem sebenar hanya boleh anda tontoni di panggung.

DI SEBALIK MISTERI DIANA DAHLAN

Sedikit sinopsis tentang filem ini, DUKUN mengisahkan tentang Karim (Faizal Hussein), seorang peguam yang sedang bergelut dengan kerjaya akibat kemurungan selepas kehilangan dua insan tersayang, termasuk anak perempuan (Elyana), ditawarkan peluang untuk menjadi peguam kepada seorang OKT (Orang Kena Tuduh) bernama Diana Dahlan (Datin Seri Umie Aida) yang menawarkan janji untuk mencari anaknya.

Diana seorang penyanyi kelab malam, dan juga pengamal ilmu hitam, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh seorang ahli perniagaan. Mayat turut dijumpai di rumahnya dan ini semua berkaitan dengan sihir dari tongkat sakti dari suku kaum Batak yang dimilikinya. Mendapat liputan meluas dari media, kes ini dikendalikan oleh ASB Talib (Namron) bersama Shah (Bront Palarae), sisi gelap Diana akhirnya terbongkar satu persatu di mana ia nyata mengejutkan.

Menganggap ia satu naskah yang masih relevan walanpun menunggu masa selama 12 tahun sebelum dipertontonkan kepada awam, DUKUN penulis rasakan berada di dalam kelasnya tersendiri. Selain jalan ceritanya yang boleh dikatakan ‘familiar’ dengan sebuah kes pembunuhan sebenar berprofil tinggi, malah ketaksuban masyarakat masa kini yang masih memilih jalan mudah membelakangi agama demi kepentingan sendiri nyata mengundang reaksi dan emosi tersendiri. Apatah lagi lakonan berkesan Datin Seri Umie Aida, menguatkan impak dalam filem ini. Anda ingin membenci wataknya, namun anda juga sebenarnya inginkan lebih dari Diana Dahlan.

Di sebalik kejelitaannya, terselindung rahsia Diana Dahlan yang tidak semua tahu. Penulis cukup teruja melihat lakonan Umie Aida yang dilihat cukup komited dengan sisi gelap Diana, apatah lagi babak-bakak Diana melakukan ritual di dalam penjara. Cukup mengerikan, dan pada masa yang menakjubkan. Jika anda pernah menonton dan menyukai filem The Exorcism of Emily Rose, sebuah filem supernatural horror trial pada tahun 2005, anda pasti akan berbuat yang sama untuk filem Dukun.

JANGKAAN TERLAMPAU TINGGI

Sekiranya penulis berada di kasut Dain Iskandar Said, pengarah filem ini, ya penulis pasti gusar. Maklumlah, selepas 12 tahun diperam, pastinya jangkaan penonton adalah tinggi untuk filem ini. Persoalannya, bagaimana pula dengan jangkaan anda? Mengabungkan jalan cerita yang diadaptasi dari kisah benar, diadun dengan imaginasi penulis dan pengarah di samping plot dan jalan cerita yang mudah difahami, Dukun wajar untuk diberikan peluang.

Cuma, penulis nasihatkan agar penonton untuk berfikiran terbuka dengan filem ini. Tidak salah untuk kita menjangkakan ‘pulangan’ terbaik untuk semua filem, tetapi janganlah berlebihan. Bagi penulis, filem DUKUN bukanlah filem ‘seram’ yang berlebihan, dan usah jangkakan untuk banyak momen-momen menutup mata. Apa yang ingin penulis katakan adalah filem ini adalah filem seram yang bermesej. Apatah lagi, melihat akan penghasilan filem ini yang dibuat 12 tahun yang lampau, namun ia tidak kelihatan pun di mata kasar serta di layar panggung. Itulah antara kekuatan filem ini. Sinematografi, lakon layar serta kesan khasnya masih boleh diterima dan dihadam.

Apa-apa pun, tahniah GL ucapkan kepada pihak produksi filem DUKUN yang bertungkus lumus untuk penghasilan filem ini. Yang pasti, berbaloi jua segala kerja keras yang diusahakan. Apa-apapun, buat penonton di luar sana, berikan peluang untuk Dukun ‘menyihir’ anda okay!

Oleh Wan Mohd Firdaus, 5 April 2018

 

Tags: , , , , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.