Skip to content

“BERTUAH DIKELILINGI MUSLIM DAN KASIH DARI NUR” RESPON POLLY ALEXANDRIA BERKONGSI CINTA AGUNGNYA

Kongsikan artikel ini

Benarlah kata pepatah, cinta itu buta! Perhubungan cinta yang terjalin penuh keikhlasan, pasti berakhir dengan ikatan pernikahan. Kisah percintaan antara pemandu pelancong, Nur Khamid dan Polly Alexandria baru-baru ini yang tular nyata mengejutkan ramai pihak. Namun ada juga yang kagum dengan kisah perhubungan mereka yang bukan bersandarkan pada rupa dan luaran semata, namun pada hati yang terjalin dek rasa cinta dan setia. Penulis GL berkesempatan menghubungi Polly, yang khabarnya sudah pulang ke England sejurus selepas persandingannya. Apa yang terjadi? Teruskan membaca…

GLAM Lelaki: Hello Polly! Baiklah, pertama sekali boleh anda ceritakan serba sedikit mengenai diri anda.

POLLY ALEXANDRIA: Hello GL! Pertamanya, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penulis kerana sudi menghubungi dan seterusnya menemubual saya. Baiklah, nama penuh Polly Alexandria Robinson, lebih mesra dengan panggilan Alex atau Iyem. Saya kini berada di England di mana saya perlu menghabiskan pengajian dalam bidang perhubungan awam, dan akan kembali ke Indonesia pada tahun hadapan sejurus selepas tamat peperiksaan.

GLAM Lelaki: Kisah cinta antara anda berdua tular sekelip mata dan hangat diperkatakan netizen. Pernah anda menyangka perhubungan anda mendapat publisiti meluas dari media dan orang ramai? Bagaimana pula dengan reaksi suami?

POLLY ALEXANDRIA: Sejujurnya, kami tidak menyangka ini semua terjadi. Apa yang kami mahukan adalah ikatan perkahwinan yang sah, jadi kami sangat terkejut dengan apa yang terjadi keesokkan harinya di mana menerima banyak panggilan dan masej, bertanyakan tentang kisah cinta kami serta mahu melakukan sesi temubual. Pada mulanya, saya ingatkan telefon bimbit saya rosak. Kami sangat berterima kasih atas segala sokongan yang diterima, dan kami berharap kisah ini dapat memberikan inspirasi kepada orang lain.

GLAM Lelaki: Kami percaya ramai yang ingin atau belum mengetahui bagaimana kisah percintaan kalian bermula. Sudi anda kongsikan detik-detik bermula segalanya.

POLLY ALEXANDRIA: Pertama kali kami bertentang mata di sebuah pantai di Bali dua tahun lalu. Nur bekerja sebagai seorang pemandu pelancong. Suatu hari Nur mendekati saya, namun saya tidak endahkan pada mulanya. Namun, selepas beberapa kali percubaan, dia mengajak saya keluar makan tengahari. Dengan berkata ya, itu adalah keputusan terbaik pernah saya lakukan dalam hidup saya. Kami bermula dengan sangat baik, dan apabila pulang ke England barulah saya menyedari betapa saya merindui dan nyata sudah jatuh cinta padanya.

GLAM Lelaki: Dan apa pula persepsi pertama anda apabila pertama kali anda bertemu dengannya? Apakah karekter Nur yang membuatkan anda yakin dia adalah ‘orangnya’. Boleh kongsikan bersama kami?

POLLY ALEXANDRIA: Ramai berbicara tentang fizikal dan rupa apabila melihat kami berdua bersama. Cinta bukan tentang luaran semata. Kami cuma dua insan bertuah yang menemui cinta pada satu sama lain. Yang pasti, dia adalah insan paling luar biasa pernah saya jumpa. Dia baik dan sentiasa berlembut, lelaki yang paling saya percayai, dan dia juga bijak membawa diri. Ada masanya kita akan terus serasi apabila berhadapan dengan seseorang, dan itu yang saya alami apabila bersama Nur. Saya tidak akan ubah apa-apa. Saya sayangkan dia.

GLAM Lelaki: Sudah pasti mana-mana perkahwinan sekalipun pasti ada pasang surutnya. Anda dan Nur juga pasti tidak terkecuali walaupun masih baru. Jadi bagaimana anda dan Nur menempuhinya? Dan apa pula cabaran utama yang dihadapi anda berdua?

POLLY ALEXANDRIA: Kami percaya kepada ketentuan Tuhan, dan walau apa saja yang terjadi, kami akan menempuhnya bersama-sama. Yang pasti, perhubungan jarak jauh ini sangat sukar kerana anda pasti saling merindui. Namun saya percaya, dalam mana-mana perhubungan kepercayaan paling penting. Tanpa rasa percaya, saya pasti ikatan ini tidak akan berjaya. Ya ia agak sukar pada mulanya. Namun, apabila anda percaya dia adalah orangnya, semuanya jadi mudah.

GLAM Lelaki: Bagaimana pula dengan reaksi keluarga apabila mendapat tahu tentang perhubungan anda dan keputusan untuk berkahwin dengan Nur?

POLLY ALEXANDRIA: Keluarga dan rakan-rakan saya sentiasa menyokong dan mereka benar-benar gembira dan bangga dengan kami berdua. Sejak awal lagi, semua orang sudah mampu melihat betapa kami saling mengasihi dan mencintai antara satu sama lain, malah ibu saya sendiri memanggil Nur, anaknya. Ibu menonton perkahwinan kami melalui FaceTime, dan dia menangis kegembiraan!

GLAM Lelaki: Okay, jom kita berbicara sedikit tentang Islam. Bagaimana perhubungan ini membuka mata anda akan keindahan agama Islam itu sendiri? Pandangan anda?

POLLY ALEXANDRIA: Saya bernasib baik kerana dikelilingi ramai kenalan Muslim dan sejak dari kecil, memang sudah ada niat untuk menukar ke agama Islam. Semakin saya dewasa, keinginan saya untuk mempelajari Islam semakin menebal. Dan kini, Islam hidup dalam diri dan saya bersyukur menjadi sebahagian darinya. Saya mohon agar semua untuk mendoakan saya.

GLAM Lelaki: Kata-kata terakhir buat mereka di luar sana yang sentiasa menyokong anda dan Nur.

POLLY ALEXANDRIA: Terima kasih kepada semua atas doa dan sokongan, termasuk semua masej yang kami terima. Maaf sekiranya kami tidak boleh membalasnya satu persatu, namun kami gembira dapat berkongsi kisah cinta kami bersama semua dan kami mendoakan agar semua berjaya dalam menemui cinta sejati. Akhir kata “kepareng ngaturaken matur sembah nuwun kalian kadang- kadang kangmas diajeng ing pundi ke mawon

Oleh Wan Mohd Firdaus, 29 Disember 2018

(Foto: Instagram @pollyoddsocks dan @karnaradheya)

 

 

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON MENUTUP TIRAI 2023 DENGAN PENUH MERIAH

Bacaan Lanjut

STREET PIZZA MILIK GORDON RAMSAY KINI DIBUKA DI SUNWAY PYRAMID

Bacaan Lanjut
Ruark

SISTEM MUZIK REVOLUSIONER SIRI 100 RUARK MENGHUBUNGKAN ANDA DENGAN MUZIK

Bacaan Lanjut
10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA

10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA

Bacaan Lanjut

BACHA COFFEE MEMBUKA DESTINASI SUMBANGANNYA DI SURIA KLCC

Bacaan Lanjut
senaman sakit pinggang

5 SENAMAN TERBAIK UNTUK KURANGKAN SAKIT PINGGANG

Bacaan Lanjut