Siapa menyangka, selepas kemenangan ‘mengejut’ filem Moonlight yang berjaya merangkul anugerah Filem Terbaik ketika majlis anugerah Oscar isnin lepas, serta kemenangan Mahershala Ali merangkul anugerah Pelakon Pembantu Filem Lelaki terbaik, bintang-bintang lelaki filem Moonlight kini menjadi wajah eksklusif kempen seluar dalam jenama antarabangsa terkenal, Calvin Klein.

Kembali menjadi perhatian dalam hanya tempoh semalaman, keempat-empat bintang kulit hitam filem Moonlight iaitu Trevante Rhodes, Mahershala Ali, Alex Hibbert, dan Ashton Sanders menjadi taruhan kempen koleksi seluar dalam spring-summer jenama ini.

Selain dari memperagakan ‘tubuh’ serta seluar dalam kempen ini, Ashton Sanders dan Alex Hibbert turut memperagakan tuksedo Calvin Klein yang disarung mereka sewaktu di karpet merah anugerah Oscar baru-baru ini. Gambar-gambar eksklusif kempen ini diambil oleh jurugambar terkenal Willy Vanderperre, yang masih mengekalkan elemen hitam putih yang dilihat sudah sebati dengan kempen Calvin Klein.

Dalam satu temubual Mahershala bersama dengan Independent.co, Mahershala berkata, “Kempen yang diberi nama Revelation ini ibarat satu pengakuan dari kami sebagai seorang pelakon dalam mendedahkan apa yang penting dalam menjadi lelaki hari ini adalah dengan apa yang dilakukan setiap hari”.

Oleh Wan Mohd Firdaus, 1 Mac 2017