“DICACI DIKEJI, HINGGA ADA MENJAUHI TAKUT DIJANGKITI” – EVITA DELMUNDO, GADIS BERTOMPOK HITAM KINI JADI INSPIRASI

Tiada siapa dilahirkan sempurna. Namun, kesempurnaan satu yang subjektif dan kekurangan pula tidak semestinya satu kelemahan. Walau dilahirkan tidak persis rakan yang lain, jelas terpancar susuk yakin pada diri Evita Patcey Edgar Delmundo yang dilahirkan bertompok hitam di seluruh wajah dan tubuhnya. Akui gadis berdarah campuran Filipina berasal dari Kota Kinabalu ini, dirinya sudah lali dengan cacian, cemuhan mahupun jelingan orang di sekelilingnya.

Dek ‘kecacatan’ yang dialami, Evita pasrah namun bukan bererti kalah. Evita bangkit menjadikan kekurangan pada dirinya satu kelebihan yang tidak semua miliki. Kisah inspirasi Evita ternyata mendapat reaksi positif dari kalangan netizen maya baru-baru ini lalu bikin viral lantas menjadikan dirinya sebagai inspirasi. Malah, pengikut di laman Instagramnya juga turut sama meningkat. Lalu, GLAM Lelaki terpanggil untuk menghubungi Evita dan memintanya berkongsi kisah suka dan duka sepanjang hidupnya. Semoga ia bermanfaat buat kita semua. Teruskan membaca..

GLAM Lelaki: Boleh Evita ceritakan serba sedikit kepada pembaca GLAM Lelaki tentang diri anda?

EVITA DELMUNDO: Baiklah, pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak glamlelaki.my dan penulis kerana sudi melakukan bual talian bersama saya, memaparkan kisah kehidupan saya. Nama penuh saya Evita Patcey Edgar Delmundo, dan saya berumur 20 tahun. Saya berasal dari Kudat dan sata merupakan anak kedua dari lima adik beradik. Buat masa kini saya masih menunggu panggilan untuk melanjutkan pengajian di universiti. Buat masa sekarang, saya bekerja separuh masa di Car Studia dan Café. Hobi saya pula bermain guitar, menyanyi dan melukis.

GLAM Lelaki: Pernah atau tidak Evita menyangka AKAN menjadi perhatian netizen dek keadaan kulit yang dialami? Apa perasaan Evita apabila ramai yang sudah mula mengenali diri anda?

EVITA DELMUNDO: Tidak pernah terlintas di dalam fikiran sebenarnya dek keadaan kulit saya yang seperti ini tiba-tiba sahaja saya menjadi perhatian netizen. Terkejut juga tetapi saya sudah biasa menjadi ‘perhatian’ orang kerana keunikkan kulit saya.

GLAM Lelaki: Pernah atau tidak merasa kesal dengan sedih dengan apa yang berlaku pada tubuh dan wajah Evita? Bagaimana Evita menghadapi semua ini? Pernah kah menyalahkan takdir atau kesal tidak dilahirkan seperti orang lain?

EVITA DELMUNDO: Sudah semestinya. Kerana kondisi kulit saya ini, saya telah melalui pelbagai pengalaman yang menyedihkan. Saya menghadapinya bukan dengan kekuatan sendiri tetapi melalui pertolongan Tuhan. Ya, saya akui saya pernah menyalahkan takdir tetapi saya percaya ada sebab dan hikmahnya kenapa saya dilahirkan seperti ini.

GLAM Lelaki: Boleh Evita kongsikan pengalaman-pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang hidup?

EVITA DELMUNDO: Perkara yang tidak boleh saya lupakan adalah semasa saya di sekolah rendah, saya sering diejek,dibuli,dihina dan disisihkan oleh rakan-rakan sekolah kerana mereka geli dan takut, risaukan saya akan menjangkiti mereka. Pelbagai gelaran mereka berikan terhadap saya seperti raksasa, Chipsmore, dan sebagainya. Saya sering menangis dan menyuruh ayah saya untuk datang ke sekolah dan memarahi mereka yang selalu membuli saya. Namun saya bersyukur sebaik saja saya melangkah ke sekolah menengah, sudah ramai kawan-kawan yang menerima saya seadaya. Bermula dari itu, saya turut mempelajari cara-cara untuk bergaul dan yakin pada diri sendiri.

GLAM Lelaki: Pernah terfikir untuk membuang tahi lalat atau tompokan hitam yang ada di wajah dan tubuh Evita melalui pembedahan atau lain-lain?

EVITA DELMUNDO: Saya pernah terfikir untuk membuangnya tetapi berdasarkan pakar kulit yang saya jumpa menyarankan untuk saya tidak membuangnya, risaukan akan mendatangkan lebih kemudaran kepada kesihatan saya. Jadi, apa lagi boleh saya buat selain menerima keadaan ini dengan berfikiran terbuka dan positif.

GLAM Lelaki: Boleh Evita ceritakan serba sedikit bagaimana Evita terpilih oleh Malaysia Beauty Pageant FC (MBPFC) menjadi sumber inspirasi?

EVITA DELMUNDO: Oh, pada mulanya pihak MBPFC mengambil beberapa gambar saya di laman sosial Instagram lalu post gambar-gambar tersebut di laman FB mereka. Hari demi hari, semakin banyak ‘like’, komen dan perkongsian yang saya terima. Ada komen positif dan ada juga komen negatif. Lalu, pihak MBPFC melihat perkembangan tersebut dan menjadikan saya salah satu daripada sumber inspirasi mereka sehingga sekarang.

GLAM Lelaki: Apakah sebenarnya yang ingin Evita sampaikan (nasihat atau inspirasi) kepada mereka-mereka di luar sana?

EVITA DELMUNDO: Saya ingin menyampaikan nasihat serta dorongan kepada mereka yang sebaya dengan saya agar jangan jadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, hidupla hdengan penuh keyakinan dan sentiasa bersyukur atas apa yg telah diberikan oleh Tuhan.

GLAM Lelaki: Sekiranya Evita dipanggil untuk terjun dalam bidang seni seperti menyanyi, modeling, berlakon dan sebagainya, will you consider it?

EVITA DELMUNDO: Ya, sudah semestinya.

GLAM Lelaki: Siapakah inspirasi atau idola Evita?

EVITA DELMUNDO: Nick Vujicic. Saya ingin sekali menjadi persis dirinya. Walaupun beliau tiada berkaki dan bertangan, namun beliau masih mampu menjadi inspirasi kepada orang ramai untuk berjaya dalam kehidupan.

GLAM Lelaki: Dalam tempoh 5 tahun akan datang, di mana Evita melihat diri sendiri?

EVITA DELMUNDO: Oh, saya melihat diri saya sebagai seorang pakar motivasi dan juga model. Saya ingin memastikan bahawa kekurangan dari aspek fizikal tidak bias menundukkan keinginan dan impian saya untuk berjaya suatu hari nanti.

GLAM Lelaki: Kata-kata terakhir Evita buat semua penyokong dan pengikut Evita?

EVITA DELMUNDO: Terima kasih atas sokongan serta kata-kata semangat yang telah diberikan kepada saya selama ini. Sesungguhnya saya sangat menghargainya. Saya juga turut mendoakan agar kalian semua akan temui keyakinan pada diri sendiri. Jadi diri sendiri dan cintai diri sendiri. Dan pastinya, apabila kalian mencintai diri sendiri, you will spread the wings and fly! ?

Oleh Wan Mohd Firdaus, 15 Jun 2017

Gambar: Instagram @evita_delmundo

 

 

Tags: , , , , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.