Skip to content

“TEBUS KESILAPAN KINI FOKUS UTAMA SAYA” – LUAHAN HAZIQ NADZLI, PENJAGA GOL PASUKAN MALAYSIA B-22

Kongsikan artikel ini

Seminggu telah berlalu, namun kekalahan pasukan Malaysia menentang Thailand sewaktu pusingan akhir sukan SEA yang ke 29 baru-baru ini ternyata menjadi detik hitam paling diingati sepanjang upacara sukan gilang gemilang itu berlangsung. Kemarau penantian 14 tahun ‘ibu segala pingat’ dilihat kian berpanjangan, sekurang-kurangnya untuk tempoh 2 tahun lagi.

Dek kesilapan yang jelas tidak disengajakan, penjaga gol pasukan Malaysia berusia 19 tahun, Haziq Nadzli dipersalahkan. Malah dirinya berterusan dihentam, dicaci dan dikritik oleh netizen sehinggalah ke saat ini. Sememangnya perit untuk diterima namun wajarkah kita menghukumnya? Bagi kami di GL, ia tidak adil. Sebagai manusia biasa, pastinya tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Oleh itu, ikuti luahan eksklusif Haziq Nadzli kepada penulis GL, Wan Mohd Firdaus tentang perkhabarannya kini, serta perancangan, azam dan impiannya. Teruskan membaca…

GLAM LELAKI: First thing first, how are you doing Haziq?

HAZIQ NADZLI: Alhamdulillah, saya okay. Tetapi biasalah, thing takes time. Buat masa ini, saya berehat dan akan kembali untuk latihan tidak lama lagi.

GLAM LELAKI: Boleh Haziq kongsikan tentang latar belakang anda.

HAZIQ NADZLI: Bismillahirahmanirahim. Pertama kali saya ingin ucapkan terima kasih kepada penulis GLAM Lelaki kerana sudi menulis tentang diri saya. Baiklah, nama penuh saya Muhammad Haziq Bin Nadzli. Saya lahir pada 6 Januari 1998. Saya berumur 19 tahun dan memiliki enam adik beradik, namun seorang sudah kembali ke rahmatullah pada tahun 2003 sewaktu berusia 2 bulan. Saya anak kedua kepada ibu saya, Azizon Binti Binti Mohd Yusuf, seorang jururawat, dan ayah saya Nadzli Bin Mashhor, seorang juruteknik. Saya menerima pendidikan di Sekolah Rendah Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Sekolah Sukan Kuala Lumpur Seri Titiwangsa, KL dan seterusnya di Sekolah Sukan Malaysia Gambang, Pahang dari tingkatan 3 hingga 5.

GLAM LELAKI: Boleh Haziq kongsikan dengan pembaca tentang perjalanan karier bola sepak anda dan bagaimana anda layak dimasukkan dalam kesebelasan utama pasukan Malaysia.

HAZIQ NADZLI:  Saya mula bermain bola seawal usia 10 tahun dan pada umur 11 tahun, saya terpilih mewakili untuk pemilihan peringkat negeri, dan alhamdulillah saya mewakili Kuala Lumpur sewaktu saya berusia 12 tahun. Dan pada tahun yang sama, saya mewakili Malaysia untuk sukan Appso yang diadakan di Indonesia. Selepas tamat sekolah rendah, saya mendaftar masuk ke sebuah sekolah sukan di Kuala Lumpur, dan dari situ bakat saya diasah selama 2 tahun, kemudian mendaftar masuk ke sekolah sukan di Pahang. Seterusnya saya dipilih mewakili Malaysia bawah 16 tahun untuk kelayakan AFC.

GLAM LELAKI: Kenapa Haziq memilih posisi penjaga gol?

HAZIQ NADZLI: Kenapa goal keeper? Sebenarnya, minat menjadi penjaga gol bermula sejak dari kecil kerana selalu mengikut ayah saya bermain bola setiap petang, dan ayah saya seorang penjaga gol. Dari situ, saya rasa datangnya minat dan seterusnya mengalir dalam darah saya. Yang menariknya, adik-adik dan abang saya pun turut bermain posisi yang sama. Kata orang, keepers family!. Yang pasti bukan mudah menjadi pertahanan terakhir kerana di situlah penentuannya. Tapi itulah bola sepak. Ada masanya kita di atas dan ada masanya kita di bawah.

GLAM LELAKI: Boleh kongsikan dengan kami apakah pengalaman paling manis dan pahit anda sepanjang menjadi seorang penjaga gol?

HAZIQ NADZLI: Antara pengalaman paling manis buat saya adalah sewaktu perlawanan akhir di Indonesia, saya mengambil penalti terakhir untuk pasukan. Dan pengalaman paling buruk baru saja berlaku ketika perlawanan akhir sukan SEA 2017 apabila saya tertumbuk bola ke gawang sendiri dan menghadiahkan emas untuk Thailand.

GLAM LELAKI: Boleh Haziq ulas semula apa sebenarnya yang benar-benar terjadi semasa perlawanan menentang Thailand baru-baru ini, dan sekiranya Haziq boleh mengundurkan waktu apa yang Haziq boleh lakukan bagi mengelakkan perkara itu berlaku.

HAZIQ NADZLI: Apa yang boleh saya ulaskan satu pasukan sudah memberikan yang terbaik tetapi ternyata nasib tidak menyebelahi pihak kami. Yang pasti, Thailand juga memberikan saingat yang sengit pada malam itu. Tetapi itulah, things happened unexpected. Kalau boleh saya ingin undurkan masa tapi saya juga manusia biasa, dan tidak mampu untuk meramal apa yang akan terjadi. Can be good or can be bad. Jadi sama sahaja bagi saya. Apa yang berlaku itulah yang terjadi pada malam itu. Itulah ketentuan Tuhan dan saya tiada apa lagi yang boleh saya katakan untuk mengubah keadaan. Saya perlu fokus untuk masa hadapan.

GLAM LELAKI: Sejujurnya, adakah Haziq rasa Haziq bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang terjadi iaitu kekalahan pada pasukan Thailand? Ya atau tidak, dan kenapa?

HAZIQ NADZLI: Sejujurnya, ya. Namun meskipun saya rasa demikian, tetapi tidak buat rakan-rakan saya yang lain. Bola sepak merupakan permainan berpasukan, dan kami masing-masing telah memainkan peranan pada malam tersebut. Jadi, setiap daripada kami merasai tanggungan itu.

GLAM LELAKI: Dari sudut pandangan Haziq sendiri, bahagian posisi mana atau apa yang perlu ditambah baik secara keseluruhan semasa perlawanan tersebut.

HAZIQ NADZLI:  Seperti yang saya katakan, semua sudah memberi yang terbaik dengan baki tenaga yang ada sehabis mungkin. Bukannya kita tiada cubaan ke pintu gol lawan. Ada itu ada cuma tidak tepat ke sasaran sahaja. Begitu juga di bahagian pertahanan di mana Malaysia bertungkus lumus pada saat-saat akhir. Ini menunjukkan kami masih kekal bersemangat walaupun telah ketinggalan 1-0.  Apa yang boleh saya katakan, saya cukup bangga dengan rakan sepasukan saya walaupun kami tumpas, namun kami tumpas dengan bermaruah.

GLAM LELAKI: Baru-baru ini teman wanita dan keluarga juga turut menerima tempias akan apa yang berlaku di laman-laman sosial. Komen Haziq?

HAZIQ NADZLI: Keluarga dan teman wanita saya menangani isu tersebut dengan matang. Bahkan mereka tidak mengambil serius tentang sesetengah pengguna sosial media yang menghentam saya pada malam itu. Mereka tidak hiraukan komen tersebut malah terus menyokong saya dari saya mula sampai sekarang. Alhamdulillah untuk itu. Kadang kesian juga. Kerana saya, mereka turut terkena tempiasnya. Namun biasalah, banyak kali saya selamatkan gawang dari dibolosi, namun dek satu kesilapan saya dicaci. Walau apa pun, saya redha dengan apa yang terjadi.

Ibu dan ayah sumber kekuatan Haziq.

GLAM LELAKI: Baru-baru ini, gambar pasukan Malaysia ketika upacara penyampaian pingat perlawanan akhir tular dan anda kelihatan sangat sugul malah anda sendiri dilihat tidak menunjuk mahupun menyarungkan pingat tersebut di leher. Apa yang berada dalam fikiran Haziq sewaktu itu?

HAZIQ NADZLI: Sebab saya tahu, pingat diberi bukanlah pingat yang diingini oleh seluruh rakyat Malaysia. Malah saya sendiri merasakan saya tidak layak untuk menyarungnya di leher atas kekalahan yang berpunca dari diri saya sendiri. Namun, apa yang boleh saya lakukan selepas ini adalah menyedari dan belajar dari kesilapan itu. Saya juga menganggapnya sebagai batu loncatan untuk saya terus bangkit mengejar cita-cita saya sewaktu saya masih muda ini, insya Allah. Doakan saya.

GLAM LELAKI: Siapakah idola Haziq?

HAZIQ NADZLI:  Idola saya adalah penjaga gol dari Jerman iaitu Marc-Andre ter Stegen. Ini kerana beliau mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dan boleh bermain seperti pemain-pemain yang lain.

GLAM LELAKI: Perancangan serta azam Haziq selepas ini?

HAZIQ NADZLI: Perancangan saya adalah untuk meneruskan karier saya sebagai pemain bola untuk JDT dan Malaysia. Yang pasti saya perlu tambah baik mana yang kurang dan terus kejar apa saja peluang dan pengalaman di hadapan saya. Malah saya perlu fokus untuk menebus kesilapan untuk perlawanan akan datang seperti Piala Asia 2018 dan lain-lain.

GLAM LELAKI: Di mana Haziq melihat diri Haziq dalam tempoh 5 tahun akan datang?  

HAZIQ NADZLI: Sukar untuk saya jangkakan di mana akan saya berada, namun Insya Allah saya akan memperbaiki  dan meningkatkan lagi usaha dan mutu persembahan saya untuk masa akan datang.

GLAM LELAKI: Kata-kata terakhir Haziq kepada semua rakyat Malaysia?

HAZIQ NADZLI: Buat semua rakyat Malaysia, sekali lagi jauh di sudut hati saya, saya ingin memohon maaf atas kesilapan yang saya lakukan pada perlawanan akhir sukan SEA baru-baru ini. Apa saja yang anda katakan, mana yang positif akan saya ambil dan hadam sebagai pembakar semangat saya di masa akan datang. Dan mana yang negatif, saya faham perasaan anda dan saya tidak pernah mengambil hati. Saya maafkan anda semua. Terima kasih semua.

Oleh Wan Mohd Firdaus, 4 September 2017

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

FILA x Smiley®

“COOL ON COURT” FILA X SMILEY MELANCARKAN KOLEKSI INSPIRASI SUKAN TENIS

Bacaan Lanjut
piala ryder

PERTANDINGAN GOLF BERKUMPULAN TERHEBAT DI PIALA RYDER

Bacaan Lanjut
#NYFW: COOL KIDS DI PERTUNJUKAN COACH MUSIM BUNGA 2024

#NYFW: COOL KIDS DI PERTUNJUKAN COACH MUSIM BUNGA 2024

Bacaan Lanjut

BENTUK OTOT DALAM 30 HARI

Bacaan Lanjut
rolex us open

ROLEX US OPEN: THE FINALE OF THE GRAND SLAM SEASON

Bacaan Lanjut
5 TETAMU STYLISH DI MEN’S FASHION WEEK

5 TETAMU STYLISH DI MEN’S FASHION WEEK

Bacaan Lanjut