Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Cubaan seorang jejaka warga Jepun, Takaaki Terry menghasilkan klip video menyanyikan lagu  ‘Assalamualaikum’ akhirnya membuahkan hasil, tular di media sosial sehinggakan Faizal Tahir sanggup terbang ke Jepun semata untuk menjemputnya datang ke Malaysia. Takaaki turut mencipta sejarah apabila menjadi artis Jepun pertama yang dilamar oleh penyanyi tersebut dan kini bernaung di bawah Faithful Music. Namun tidak semua tahu susah payah serta cabaran yang harus diharungi Takaaki untuk sampai ke tahap ini. GL mendekati Takaaki yang kini hadir dengan ‘single’ Konnichiwa Dunia memintanya berkongsi kisah hidupnya yang tidak semua tahu.

Foto: Instagram @faizal_tahir

GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan tentang latar belakang anda. Nama penuh, umur, adik beradik, kerjaya, hobi dan apa saja yang menarik tentang diri anda?

TAKAAKI TERRY: Pertama sakali, terima kasih buat penulis GL kerana sudi menemubual saya. Baiklah, nama penuh saya Takaaki Torihira, berumur 24 tahun dan saya berasal dari Osaka, Jepun. Saya ada 3 adik beradik (2 kakak dan saya anak terakhir). Selepas bergraduasi pada tahun 2013 saya bekerja di jabatan pemasaran sehingga Nov 2018.

GLAM Lelaki: Kongsikan dengan kami tentang bakat nyanyian yang anda miliki? Ada ambil kelas atau berguru dengan sesiapa kah? Bila mula menyanyi dan sebagainya.

TAKAAKI TERRY: Ia semuanya bermula ketika umur saya 13 tahun, untuk pengetahuan semasa di sekolah saya sering dibuli dengan rakan sekolah saya. Dek tidak tahan dengan ejekan berterusan kerana masalah komunikasi dan pertuturan saya membuat keputusan untuk enggan lagi pergi ke sekolah, masa saya banyak dihabiskan dengan bermain gitar dan menyanyi. Setelah tamat belajar dari junior high school, saya mendaftar masuk sekolah muzik dan berjaya menghabiskan khusus diploma saya. Dan di situ saya belajar bagaimana untuk membuat dan menulis lagu.

GLAM LelakI: Bagaimana mendapat ilham untuk menyanyikan lagu Assalamualaikum dari Faizal Tahir? Kenapa lagu tersebut? Pernah tidak anda menyangka lagu cover nyanyian anda akan tular? Apa reaksi anda pada ketika itu?

TAKAAKI TERRY: Sebenarnya kawan Malaysia saya yang memperkenalkan lagu itu kepada saya. Pertama kali saya dengar lagu Assalamualaikum saya sudah tertarik dengan melodi dan juga lirik lagu itu. Ia mempunyai lirik dan melodi yang sangat bagus. Saya juga amat meminati Faizal Tahir. Dia mempunyai bakat yang luar biasa. Tidak pernah menyangka..semua ini terjadi begitu cepat. Seperti saya masih bermimpi. Hahahaha. Bagaimanapun saya amat bersyukur dengan apa yang Tuhan aturkan.

GLAM Lelaki: Anda dikatakan sanggup meninggalkan kerjaya sebagai pegawai pemasaran demi untuk mengejar impian. Komen anda?

TAKAAKI TERRY: Sejujurnya, sejak berumur 13 tahun, saya mengimpikan untuk menjadi penyanyi. Kini saya berumur 24 tahun, dan waktu itu saya terfikir mungkin peluang untuk menjadi penyanyi semakin tipis. Tapi, selepas kuasa viral di Malaysia, saya percaya ini peluang terakhir saya untuk mengejar mimpi saya. Tanpa berfikir panjang dan juga kerana terlalu teruja, saya terus membeli tiket ke Malaysia untuk mencuba nasib disini.

GLAM Lelaki: Kongsikan jatuh bangun anda sebagai penyanyi di Jepun? Kenapa tidak meneruskan impian menjadi penyanyi di sana, dan kenapa ingin ke Malaysia. Kongsikan pengalaman pahit mungkin boleh dijadikan inspirasi buat semua.

TAKAAKI TERRY: Semasa saya berumur 18 tahun, saya pernah diberi peluang untuk menulis lirik di Jepun bersama rakan baik saya. Tetapi ada sesuatu kejadian yang buruk berlaku antara kami membuatkan saya menarik diri dari aktiviti seni di Jepun. Tetapi, apabila saya berusia 22 tahun, saya kembali aktif dalam bidang musik dan nyayian. Saya fikir saya patut bangkit semula dan mengejar impian saya. Saya juga pernah terfikir untuk menjadi artis antarabangsa. Tuhan telah mengaturkan perjalanan hidup saya sangat baik kerana semasa saya menyanyikan lagu Assalamualaikum. Mungkin rezeki saya bukan di negara sendiri.

GLAM Lelaki: Kongsikan serba sedikit tentang single terbaru anda Konnichiwa Dunia. Apakah genre yang akan anda teruskan apabila memulakan karier di Malaysia.

TAKAAKI TERRY:  Lagu Konnichiwa Dunia tentang 2 perkara; pertama tentang kehidupan dan perjalanan saya dari Jepun ke negara lain, kedua perjalanan seni saya untuk mengejar mimpi menjadi seorang penyanyi, semua saya luahkan semua dalam lagu. Lagu ini ada melodi J-POP dan sekarang team Faizal dalam perancangan memasukkan bunyi Malay-POP yang lebih dekat dengan pendengar di Malaysia. Saya ingin mencuba membuat lagu yang boleh membuatkan semua orang ingin menyanyi bersama saya pada masa akan datang.

GLAM Lelaki: Apakah harapan anda sebaik saja memulakan kerjaya seni di Malaysia?

TAKAAKI TERRY:  Saya harap Konnichiwa Dunia akan jadi lagu yang semua orang boleh nyanyi dan berhibur bersama. Saya inginkan lagu ini agar dekat dengan hati mereka, dan sudah pasti saya ingin kekal di industri seni di sini.

GLAM Lelaki: Nasihat yang boleh anda kongsikan kepada pembaca di luar sana agar tidak takut untuk mengejar impian.

TAKAAKI TERRY: Sokongan moral dari keluarga dan rakan-rakan adalah perkara terpenting. Meskipun kita belum mempunyai keyakinan tinggi, kita mestilah mencabar diri sendiri. Jika salah atau jatuh, kita belajar dari mesti bangun dan jangan cepat mengalah. Kita belajar dari kesilapan dan betulkan kesilapan itu. Saya juga pernah melakukan kesilapan sehingga sekarang dan mungkin akan datang. Kesilapan terbesar adalah tidak melakukan apa-apa. Jadi disebabkan itu jika anda mempunyai impian marilah mulakan dari sekarang. Jangan merasa takut dari melakukan kesilapan.

GLAM Lelaki: Kata kata terakhir buat semua peminat dan bakal peminat anda?

TAKAAKI TERRY:  Terima kasih atas sokongan semua terutama sekali rakan-rakan dan media di Malaysia yang telah banyak membantu sepanjang saya di sini. Saya juga ingin berterima kasih kepada Faizal Tahir & team kerana percaya akan bakat saya. Tidak lupa juga pada semua peminat-peminat yang telah banyak memberi sokongan moral dari awal lagi. Without all your supports, this is impossible for me. Saya sangat menghargainya.

Oleh Wan Mohd Firdaus, 31 Januari 2019