Skip to content

“JURUGAMBAR KENA PANTAS BERFIKIR & BERTINDAK” – REAKSI ISKANDAR, JURUGAMBAR PECUT ‘KALAHKAN’ SPEEDY JANTAN

Kongsikan artikel ini

Ramai mengagumi dan bangga dengan kehebatan Khairul Hafiz Jantan yang menjadi manusia terpantas di Asia Tenggara selepas memenangi acara balapan 100 meter pecut di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini. Kehebatan ‘The Speedy Jantan’ itu ternyata tidak boleh disangkalkan lagi, dengan mencatat masa sepantas 10.38 saat sekaligus menamatkan kemarau penantian pingat emas 14 tahun. Namun di sebalik kejayaan manis itu, perhatian netizen turut terlencong pada sekumpulan jurugambar yang gigih mengejar kelibat Khairul Hafiz dalam usaha untuk mendapatkan ‘shot’ yang terbaik. Namun, yang paling nyata adalah ‘brader baju hijau’, seorang jurukamera sukan yang ‘memecut’ meninggalkan Khairul Hafiz di belakang demi mengalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

(Photo credit: Aizuddin Saad)

(Photo credit: Aizuddin Saad)

Walau kelihatan penat menjinjing kamera dan terpaksa berhempas pulas demi merakam gambar terbaik, aksi lucu dengan riak mukanya yang masih boleh tersengih nyata mencuri tumpuan netizen. Ya, inilah antara cabaran seorang jurugambar sukan. Demi ‘karya’ terbaik, untuk tatapan mata satu Malaysia. Oleh itu, GL tidak ketinggalan menghubungi jurukamera terbabit dan meminta dirinya berkongsi suka duka menjadi seorang jurugambar sukan. Teruskan membaca…

(Kredit foto: BERNAMA)

GLAM Lelaki: Boleh anda ceritakan serba sedikit tentang diri anda?

ISKANDAR: Terima kasih diucapkan kepada pihak GLAM Lelaki kerana sudi menemubual saya. Rasa kekok sebenarnya. Al-maklumlah, selama ini kita ikut wartawan menemuramah orang, hari ini saya pula ditemuramah. Baiklah, nama saya Iskandar Kamaruzaman. Saya berasal dari Selangor. Kerjaya sebagai seorang jurufoto tetap di BERNAMA, bermula sebagai pelajar praktikal, kemudian menjadi jurufoto sambilan dan alhamdulillah terus diserap. Saya sudah berkhidmat selama 5 tahun.

GLAM Lelaki: Apakah cabaran utama bergelar seorang jurugambar sukan yang tidak semua tahu?

ISKANDAR: Oh cabarannya banyak. Ramai menyangka jurugambar ini sekadar memegang kamera dan menekan butang. Sebagai seorang jurufoto sukan, kita kena bersedia dengan sebarang momen yang tidak dijangka. Selain itu, kena pantas berfikir dan bertindak, kerana kita tidak akan tahu apa yang akan dan bakal terjadi di tengah padang, mahupun di tepi balapan. Kemudian kita kena fikir dari segi sudut, pencahayaan, ketajaman serta kualiti gambar agar gambar yang diambil itu betul-betul yang terbaik.

(Photo credit: FB Sadiq Asyraf)

GLAM Lelaki: Apakah agaknya kepuasan yang anda dapat apabila bergelar seorang jurugambar sukan?

ISKANDAR: Dari segi kepuasan itu bila kite dapat hasilkan gambar yang menarik. Sebab dalam mana-mana acara sukan, kita tidak boleh menjangkakan apa yang akan terjadi. Jadi bila saya dapat merakan gambar dengan momen yang best, memang kita akan rasa puas.

GLAM Lelaki: Baru-baru ini, kesungguhan anda menangkap gambar atlet Khairul Hafiz Jantan mendapat perhatian dan dipuji netizen. Pernah atau tidak anda menyangka anda juga turut mendapat tempias dari kejayaan ‘The Speedy Jantan’ itu? Apa perasaan anda?

ISKANDAR: Terus terang saya cakap memang saya tak sangka perkara ini boleg jadi viral, memandangkan ramai jurugambar yang lain terlibat sama. Mungkin reaksi serta ‘pecutan’ saya itu yang membuatkan mereka terhibur dengan aksi spontan saya.

GLAM Lelaki: Mungkin ramai yang hendak tahu, apa sebenarnya yang berada dalam benak fikiran anda apabila anda berlari mendapatkan Khairul Hafiz?

ISKANDAR: Setiap jurugambar punya misinya yang tersendiri. Dalam benak fikiran saya, saya perlu kejar dateline, dan saya tak nak terlepas momen-momen KHJ meraikan kejayaan beliau. Dalam setiap tugasan yang diberikan, saya sentiasa cuba memberikan apa yang diminta oleh ketua jurufoto. Yang lucunya, saya antara jurugambar yang meminta KHJ untuk berhenti namun tidak diendahnya. Mungkin beliau terlalu teruja agaknya. Jadi saya buat keputusan untuk ‘memecut’ terus memintasinya semata untuk merakam gambar, sampai terjatuh cermin mata saya dibuatnya. Masa saya lari saya sudah tidak fikir barang jatuh kah, handphone jatuh kah, sebab masa itu saya cuma fikir momen yang melibatkan subjek di hadapan, iaitu KHJ.

GLAM Lelaki: Nyatakan pengalaman paling getir serta kenangan paling manis pernah dialami oleh anda?

ISKANDAR: Kenangan paling manis yang tidak dapat saya lupakan adalah saya pernah berswafoto dengan Neymar dan Tunku Mahkota Johor. Kalau pengalaman paling buruk itu, saya pernah tercedera dan bibir pecah akibat terkena monopod sewaktu merakam perlawanan Malaysia menentang Palestin di Stadium Shah Alam.

GLAM Lelaki: Apa agaknya kriteria perlu ada untuk seorang menjadi jurugambar sukan yang berjaya?

ISKANDAR: Bercakap tentang kriteria, mungkin saya bukan orang yang tepat dalam memberikan pandangan, kerana saya pun masih lagi belajar dengan rakan-rakan senior yang lain. Mungkin kriterianya adalah seorang jurugambar memerlukan kelengkapan yang cukup serta minat yang mendalam.

GLAM Lelaki: Siapa lagi yang ingin anda rakam gambarnya namun masih belum berkesempatan?

ISKANDAR: Banyak sebenarnya, tetapi antaranya adalah Al Juffri untuk sukan silat dan Azizul Hasni Awang.

GLAM Lelaki:  Di mana anda melihat diri anda dalam tempoh 5 tahun akan datang?

ISKANDAR: Dalam tempoh 5 tahun akan datang, mungkin saya masih juga seorang jurufoto namun skop kerja saya pasti akan bertambah. Dalam tempoh 5 tahun itu, mungkin banyak benda akan jadi.

GLAM Lelaki: Kata-kata terakhir dan harapan anda.

ISKANDAR: Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyokong kerjaya kami sebagai seorang jurugambar sukan. Harapan saya bukanlah profesion untuk diberi perhatian khusus tetapi sekurang-kurang orang ramai sudah boleh melihat skop kerja ini. Dan diharapkan urusan pihak penganjur dengan media akan lebih senang di masa-masa hadapan.

Jurugambar Bernama ni lagi 'laju' daripada Khairul Hafiz Jantan!!Video: Arena

Posted by Bernama Radio on 22hb Ogos 2017

(Sumber foto: FB Iskandar Aiysah)

Oleh Wan Mohd Firdaus, 23 Ogos 2017

 

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

7 SEBAB LELAKI RENDAH LEBIH BAGUS UNTUK WANITA

Bacaan Lanjut
ONITSUKA TIGER MUSIM LURUH 2023 DI MILAN, ALVIN CHONG, GLENN YONG & GULF KANAWUT ANTARA TETAMU UTAMA

ONITSUKA TIGER MUSIM LURUH 2023 DI MILAN, ALVIN CHONG, GLENN YONG & GULF KANAWUT ANTARA TETAMU UTAMA

Bacaan Lanjut
KOLEKSI DISNEY X TOMMY, APA YANG MENARIK?

KOLEKSI DISNEY X TOMMY, APA YANG MENARIK?

Bacaan Lanjut
GLAM LELAKI Mierul Aiman

HOT BOY SUMMER! MIERUL AIMAN IS GLAM LELAKI MAY/JUNE’S COVER BOY

Bacaan Lanjut
MESTI TAHU! TIGA KOLEKSI BARU MUSIM PANAS 2023 PILIHAN GLAM LELAKI

MESTI TAHU! TIGA KOLEKSI BARU MUSIM PANAS 2023 PILIHAN GLAM LELAKI

Bacaan Lanjut
ADRIEN KENT, CITA RASA FESYEN YANG TERSENDIRI. “SAYA PERCAYA PADA FESYEN ‘DEGENDERING’.”

ADRIEN KENT, CITA RASA FESYEN YANG TERSENDIRI. “SAYA PERCAYA PADA FESYEN ‘DEGENDERING’.”

Bacaan Lanjut