Skip to content

MAGIS THE PHANTOM OF THE OPERA DI ISTANA BUDAYA

Kongsikan artikel ini

Samada anda peminat teater ataupun tidak, pementasan The Phantom Of The Opera di Istana Budaya is an experience not to be missed!

Sungguhpun bukanlah kali pertama Istana Budaya berpeluang untuk memperkenalkan sebuah teater muzikal antarabangsa – berikutan pementasan Cats (2002), The King & I (2007) dan West Side Story (2010) – dengan 37 pelakon, 230 adibusana, set-set gergasi juga 15 ahli orkestra, The Phantom Of The Opera mungkin karya West End yang punya skala terbesar di Panggung Sari setakat ini.

The Phantom cuba menawan penyanyi soprano, Christine

Sebuah karya komposer terkemuka, Andrew Lloyd Webber, muzikal The Phantom Of The Opera berkisar tema cinta, obsesi dan dendam. Berdasarkan karya asal novel Peranchis, Le Fantôme de L’Opéra nukilan Gaston Leroux, mengisahkan tentang penyanyi soprano, Christine Daaé yang menjadi bintang baru dunia teater Paris setelah mendapat tunjuk ajar daripada watak misteri yang hanya dikenali sebagai The Phantom, yang dipercayai adalah satu legenda hantu yang menghantui teater Paris Opera House. Pada masa yang sama, Christine bertemu semula kekasih lamanya, Raoul, yang langsung mengundang rasa cemburu The Phantom. Dapatkah Christine dan Raoul bersatu semula atau mampukah The Phantom memiliki Christine sebagaimana yang diharapkannya?

Christine bersama Raoul mendendangkan lagu ‘All I Ask Of You’

Muzikal The Phantom Of The Opera dikenali dengan elemen Gothik dan fantasi yang bila diterjemahkan ke atas pentas, menjanjikan suatu persembahan yang spektakuler dan magical. Sentuhan magis itu bermula seawal adegan pertama lagi, pabila suatu majlis lelong sedang dijalankan. Bila scene ini hampir ke penghujungnya, suasana pentas yang tampak suram berbungkuskan kain kusam menyelimuti segenap set, tiba-tiba hidup dengan intro ikonik mainan organ yang dinamik lantas mengisyaratkan prop utama karya ini, yakni candelier gergasi sarat perincian Gothik, kembali bercahaya mengikut rentak muzik dengan permainan lampu bak konsert pop, sebelum seluruh pentas ditransformasikan menjadi sebuah auditorium penuh warna dan glamor. Dan dalam sekelip mata, cerita karya ini pun bermula.

The Phantom, watak antagonis yang penuh misteri dan dendam

Biarpun anda biasa menonton teater muzikal, harus ditekankan teater The Phantom Of The Opera adalah sebuah Rock Opera, mungkin berlainan daripada sajian muzikal moden yang lazim anda tontoni. Yang ketara, jujur pada judul karya ini sendiri, kebanyakan gaya nyanyiannya lebih menyerupai opera. Akan tetapi, susunan muziknya amat moden, mengambil inspirasi daripada stail rock era ’70-an. Tambahan lagi, vokal kesemua aktor amat mantap dan flawless, disampaikan dengan penuh emosi dan keyakinan.

Bagi mereka yang tidak biasa menonton teater muzikal pula, bersedialah – hampir 90% penceritaan karya ini melibatkan nyanyian dari awal hingga akhir.

Set dan adibusana yang spektakuler menjadi kekuatan pementasan ini

Jika disimpulkan, kekuatan pada pementasan The Phantom Of The Opera di Istana Budaya ini terletak pada persembahan barisan aktor, baik secara individu mahupun secara ensemble. Lontaran vokal amat padu, dan barisan penari balet cukup menghiburkan. Satu lagi, rekaan set amat mengagumkan, menepati kualiti dan tuntutan sebuah produksi bertaraf West End. Dari fantasi kemasyhuran dunia teater seperti babak awal pementasan opera Hannibal yang menampilkan boneka gajah gergasi dan senario parti Masquerade yang menampilkan berpuluh-puluh adibusana penuh seri, ke kegelapan dunia rahsia The Phantom yang direka Gothik berselimutkan kabus dengan nyalaan lilin mengungkit misteri. The production quality is amazing. Juga, kesemua adegan yang menampilkan lagu-lagu paling popular – The Phantom Of The Opera, Music Of The Night, Think Of Me – begitu memukau pancaindera.

Menyentuh kelemahannya pula, sesetengah babak terasa melalut, mungkin akan jadi lebih berkesan dengan suntingan yang lebih padat. Pencahayaan pula boleh diperbaiki lagi – misalnya, dalam adegan Masquerade yang sepatutnya menjadi satu pengenalan yang spektakuler, kesannya kurang berkesan kerana lampu sorot tampak terlampau kasar dan menyilaukan. Dari segi jalan cerita pula, pengakhirannya terasa sedikit tergantung.

Pun begitu, sebagai satu persembahan aural dan visual, pementasan ini tidak menghampakan dan itu sudah cukup menjanjikan satu pengalaman yang luar biasa.

Meghan Picerno selaku Christine Daaé dibawa ke gua rahsia The Phantom, lakonan Jonathan Roxmouth

Cuma satu nasihat, pementasan ini berlangsung selama tiga jam termasuk waktui rehat. Jadi, jika anda mudah lapar, jangan lupa untuk makan dulu sebelum ke Istana Budaya. Satu nasihat lagi: persembahan teater tidak banyak beza daripada tayangan wayang – kala saya menghadiri pementasan ini, sepasang penonton di hujung barisan tempat duduk saya sering berborak dan bermain telefon hingga mengganggu keselesaan dan konsentrasi para penonton lain di sekitar mereka. Jadi, beradablah sikit sesudah memasuki Panggung Sari, ya.

The Phantom Of The Opera di Istana Budaya membariskan pelakon Jonathan Roxmouth selaku The Phantom, Meghan Picerno selaku Christine Daaé, dan Matt Leisy selaku Raoul. Pementasannya di Panggung Sari, Istana Budaya berlangsung hingga 7 Julai 2019. Harga tiket bermula RM200. Layari premier.ticketcharge.com.my untuk tempahan tiket.

 

Teks oleh: Abdul Aziz Draim