Tahun lepas merupakan saat sukar lagi getir buat profesion bomba termasuk rakyat Malaysia sendiri di mana banyak kejadian tidak diingini berlaku melibatkan anggota bomba yang ‘kecundang’ kala berkhidmat untuk masyarakat dan negara. Bermula dengan kematian 6 anggota bomba ketika dalam operasi menyelamatkan kanak-kanak lemas di Puchong, kemudiannya kisah pemergian anggota bomba, arwah Muhammad Adib Mohammad Kassim yang ‘gugur’ selepas bertarung nyawa selama 21 hari selepas dikasari ketika rusuhan di sebuah kuil. Al-fatihah buat mereka semua.

Yang pasti, profesion sebagai seorang anggota bomba bukannya mudah, namun semakin sukar. Bertarung nyawa demi menyelamatkan orang lain, dan sedia berkorban jiwa dan raga untuk masyarakat dan negara. Namun sisi lainya, berikutan perkembangan media sosial dalam arus perdana, kini ramai sudah membuka mata bahawa betapa mulianya kerjaya ini, malah anggota bomba kini semakin mudah untuk didekati masyarakat.

 

GLAM Lelaki cukup menyanjungi setiap individu di sebalik pakaian celoreng bomba ini. Atas itu, GL berkesempatan untuk menemubual dua orang anggota bomba yang kini berkhidmat, ASMASAIFULHAYAT AHMAD dan SHAFIQ MOHAMAD; juga turut aktif di media sosial, berkongsi pahit getir bergelar ‘abang bomba’. Jom ikuti temubual eksklusif GLAM Lelaki bersama dua hero tidak didendang ini.

1 of 2

ASMASAIFULHAYAT AHMAD

GLAM Lelaki: Kongsikan serba sedikit tentang diri anda? Nama penuh, umur, adik beradik, kerjaya, hobi dan apa saja yang menarik tentang diri anda?

ASMASAIFULHAYAT AHMAD: Assalamualaikum. Terima kasih buat editor web GLAM Lelaki, Wan Firdaus kerana sudi menemubual saya. Baiklah, nama diberi Asmasaifulhayat Ahmad dan saya berumur 29 tahun. Lebih senang dipanggil Saiful atau Saif. Memiliki enam adik beradik dan anak kelima. Hobi saya adalah bermain gim dan bersenam serta aktiviti-aktiviti lasak.  Saya juga pernah beberapa kali menjuarai pertandingan sukan badan cantik dalam Malaysia.

GLAM Lelaki: Terangkan tentang kerjaya anda sebagai ahli bomba. Bertugas di mana, bahagian apa, berapa lama berkhidmat dan sebagainya.

ASMASAIFULHAYAT AHMAD: Saya bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Puchong di bahagian operasi dan alhamdulillah sudah 7 tahun berkhidmat.

GLAM Lelaki: Mengapa memilih kerjaya sebagai seorang ahli bomba?

ASMASAIFULHAYAT AHMAD: Kenapa saya memilih kerjaya sebagai ahli bomba? Kerana saya ingin berkhidmat untuk masyarakat sekeliling, menolong dan membantu orang yang dalam kesusahan dari segi keselamatan diri dan juga harta benda. Satu kerja yang memerlukan kekuatan fizikal dan juga mental dan bukan semua orang boleh melakukannya. Apatah lagi, saya memang meminati profesion bomba sejak dari dulu lagi.

GLAM Lelaki: Pengalaman PAHIT & MANIS sepanjang menjadi ahli bomba?

ASMASAIFULHAYAT AHMAD: Pengalaman manis adalah berjaya menyelesaikan kesemua operasi yang dihadiri dan melihat orang awam tersenyum dan gembira dengan perkhidmatan kami. Pengalaman pahit adalah terkena badi mayat ketika mengeluarkan mayat seorang lelaki yang meninggal dunia satu minggu terperap di dalam tandas rumah. Selesai operasi, saya jatuh sakit, sakit di seluruh badan, tidak boleh berdiri dan sebagainya.

GLAM Lelaki: Tip serta kriteria untuk menjadi seorang ahli bomba?

Kriteria utama adalah minat, sihat tubuh badan, yakin pada diri sendiri, berani dan mampu menerima tekanan serta arahan. Ini kerana kerjaya sebagai anggota bomba ini banyak tekanannya. Masyarakat kebiasaannya hanya tahu anggota bomba perlu menyelesaikan segala tugasan namun terpulang atas cara kita untuk menghadapinya. Seorang anggota bomba memerlukan bukan saja kekuatan fizikal namun juga mental.

GLAM Lelaki: Cabaran menjadi ahli bomba jika di zaman sekarang berbanding zaman dahulu?

ASMASAIFULHAYAT AHMAD: Cabaran di masa kini ialah pelanggan yakni masyarakat semakin cerdik dan pandai dengan hak mereka, maka perkhidmatan kebombaan mesti mencapai kehendak mereka. Tambahan pula, teknologi semakin pesat berkembang dan daya pemikiran penyelamat juga perlu seiring dan ke hadapan.

GLAM Lelaki: Dek dunia sosial media yang semakin berkembang, ahli bomba masa kini dilihat kini semakin mudah didekati rakyat malah anda juga telah mengumpul pengikut yang ramai di Instagram dll. Apa yang boleh anda kata tentang perkara ini? Baik buruknya.  

ASMASAIFULHAYAT AHMAD: Media sosial yang pasti ada baik dan buruknya, namun terpulang pada kita untuk menggunakan dan memanfaatnya, termasuk dari seorang anggota bomba sendiri. Pada saya ianya amat baik kerana dapat menyampaikan maklumat kebombaan dan juga berkongsi kerjaya kami bersama masyarakat.

GLAM Lelaki: Tanggapan salah yang selalu orang fikirkan bila bercakap mengenai profesion bomba. Persepsi yang anda banyak dengar dan ingin anda betulkan.

Tanggapan yang biasa kami dengar adalah ahli bomba hanya ‘busy’ bila ada kebakaran dan operasi menyelamat saja. Untuk makluman, semua tugasan waktu ketika bertugas bukan hanya ‘standby’ dan duduk saja namun, ada jadual tugasan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Bomba. Di samping itu juga kami banyak melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan, program sekolah, program latihan bersama agensi swasta, serta latihan berterusan untuk meningkatkan kemahiran serta keyakinan diri dalam melaksanakan tugas.

GLAM Lelaki: GLAM Lelaki: Di mana anda melihat diri anda dalam tempoh 5 tahun akan datang. Impian anda.

ASMASAIFULHAYAT AHMAD: Saya berhajat untuk menyambung pelajaran dalam bidang sains sukan, dan membuka sebuah pusat gimnasium dan kecergasan.

GLAM Lelaki: Kata-kata terakhir anda?

ASMASAIFULHAYAT AHMAD: Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat malaysia kerana memberi sokongan moral dan aura positif kepada anggota bomba untuk terus berkhidmat kepada masyarakat sekeliling dengan baik dan cemerlang sesuai dengan visi dan misi jabatan bomba, dan juga untuk semua pengikut saya di istagram.

Harapan saya kepada rakyat Malaysia agar terus memberi sokongan yang penuh kepada anggota keselamatan negara kita.

 

 

1 of 2