Skip to content

“SAYA IKHLAS, PENUMPANG ITU UZUR & DUDUK BERSEORANGAN” – PRAMUGARA ROYAL BRUNEI DEDAH KISAH DI SEBALIK PENULARAN VIDEO

Kongsikan artikel ini

Sekitar beberapa minggu lepas, tular video seorang krew kabin yang menyuap makanan kepada salah seorang penumpang, yakni seorang pakcik yang dimuat naik ke dalam akaun seorang usahawan popular, Dato’ Aliff Shukri. Video tersebut nyata mendapat perhatian dan memenangi hati netizen, menganggap ianya satu tindakan yang mulia. Namun, ada pula yang menyoal akan keikhlasan tindakan itu. GL berkesempatan menemubual krew kabin berkenaan dan mendekatinya dengan lebih dekat. Ikuti temubual eksklusif kami bersama Nuhairi Tahir, seorang pramugara yang berkhidmat di Royal Brunei Airlines.

GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan tentang latar belakang anda. Nama penuh, umur, adik beradik, kerjaya, hobi dan apa saja yang menarik tentang diri anda?

HAIRI TAHIR: Terima kasih buat penulis GL kerana sudi menemubual saya. Baiklah, nama penuh saya Nuhairi Tahir dan berasal dari Brunei Darussalam. Lahir pada 22 Nov 1981 dan anak kedua dari enam orang adik beradik. Kini bertugas sebagai pramugara di Royal Brunei Airlines sebagai “Cabin Services Officer”. Hobi saya suka melancong, melawat tempat-tempat baru, bersiar-siar dan mengetahui serta mempelajari budaya dan kehidupan di negara lain.

GLAM Lelaki: Ceritakan serba sedikit bagaimana anda berkhidmat di Royal Brunei Air Airlines? Kenapa memilih syarikat penerbangan berkenaan? Mungkin sedikit keunikkan berbanding airlines yang lain?

HAIRI TAHIR: Sebaik saja saya tamat pengajian, saya terbaca di akhbar tentang temuduga yang dibuka oleh Royal Brunei Airlines. Jadi saya mengambil peluang untuk mencuba dan alhamdulillah, saya di terima. Memilih untuk berkhidmat dengan Royal Brunei Airlines adalah satu peluang yang baik bagi saya untuk melihat negara lain dan sekaligus membuka minda saya. Dan memilih Royal Brunei Airlines kerana ianya adalah “National Carrier” negara saya sendiri.

GLAM Lelaki? Kenapa memilih profesion pramugara?

HAIRI TAHIR: Memilih untuk menjadi pramugara kerana inilah peluang terbaik untuk bertemu ramai orang, mempelajari dan mengetahui adat budaya sesebuah negara, serta mempelajari banyak ilmu. Di Royal Brunei Airlines, sebelum menjadi pramugara, hendaklah di mestikan menjalani tiga bulan kursus untuk “cabin services” dan juga “safety emergency procedure”. Jadi dari situlah saya  banyak memperolehi ilmu kemudian diamalkan seperti memberi layanan terbaik, memadam kebakaran, bantuan kecemasan dan banyak lagi.

GLAM Lelaki: Pengalaman pahit manis sepanjang bergelar pramugara yang dikenang sehingga kini.

HAIRI TAHIR: Alhamdulillah selama hampir 20 tahun bertugas sebagai pramugara, terlalu banyak pengalaman manis berbanding pahit. Terutamanya apabila berada di luar negara. Setakat ini, video yang tular adalah satu satunya kenangan yang paling manis buat saya.

GLAM Lelaki:  Ceritakan serba sedikit tentang penularan video anda menyuap seorang penumpang ketika berada di awan biru? Apa yang menyebabkan anda berbuat demikian? Kenapa?

HAIRI TAHIR: Pada mulanya saya memang tidak mengetahui tentang penularan video tersebut kerana saya masih lagi bertugas pada waktu itu. Selepas mendarat, dan selesai tugasan saya, apabila saya membuka telefon bimbit, ratusan masej saya terima dari nombor peribadi, Facebook dan juga Instagram saya.

Video tersebut dirakam di mana saya telah menyuapkan makanan kepada seorang penumpang tanpa saya sedari. Sebenarnya penumpang tersebut boleh dikatakan agak uzur. Beliau belayar berdua tetapi duduk berseorangan. Saya melihat pakcik berkenaan menghadapi kesukaran memotong makanannya lalu saya pun memberinya bantuan. Saya berpendapat tidak salah kalau saya ingin membantu selagi saya boleh berbakti dan berbuat demikian. Tindakan saya itu juga bukan dibuat-buat, saya memang ikhlas membantu pakcik tersebut dan tidak menyangka ada tangan yang merakam.

GLAM Lelaki: Adakah anda menyangka video itu akan tular? Apa reaksi anda kini dan kongsikan impak yang anda lalui selepas penularan video tersebut?

HAIRI TAHIR: Saya sama sekali tidak menyangka video itu akan tular dan mendapat reaksi positif dari netizen. Terlalu banyak impak dengan penularanya video tersebut. Syukur alhamdulillah, banyak doa dan galakan yang saya terima dari orang ramai terutama dari Brunei, Malaysia, Singapura, Indonesia, Philippines, UAE dan juga ada dari negara luar yang lain. Pengikut Facebook dan Instagram juga semakin bertambah dan banyak ucapan tahniah, sokongan serta doa di berikan.

GLAM Lelaki: Apa pula pandangan anda tentang komen sesetengah pihak yang mengatakan tindakan anda itu hanya ‘stunt’ semata-mata untuk publisiti Royal Brunei Airlines?

HAIRI TAHIR: Alhamdulillah saya tidak mendengar banyak komen negatif dari penonton video tersebut. Kalau ada pihak yang menyatakan tindakan saya hanya “stunt” semata-mata untuk publisiti, itu terserah kepada individu tersebut. Saya cuma menjalankan tugasan saya dengan ikhlas. Saya sendiri sememangnya tidak menyedari yang saya berada di dalam video berkenaan dan terus di tularkan.

GLAM Lelaki: Kata-kata akhir anda buat semua yang mendoakan anda.

HAIRI TAHIR: Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato Aliff Syukri atas video tersebut. Khabarnya, Dato Aliff mengambil sendiri video terebut kerana mengenangkan arwah ayahnya. Pun begitu, alhamdulillah dari video tersebut saya menerima doa-doa yang baik buat diri serta keluarga saya.

Dan tidak lupa kepada semua yang sudi masej sama ada melalui Facebook dan juga Instagram, terima kasih atas ucapan tahniah, sokongan positif, kata-kata semangat, serta doa yang anda semua berikan. Semoga kita semua sama-sama mendapat hidayah. Selain itu, buat mereka di luar sana, hargailah kedua iba bapa kita sementara mereka masih berada di dunia.

Oleh Wan Mohd Firdaus, 7 April 2019

 

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

5 BINTANG HOLLYWOOD BERKELULUSAN HARVARD

5 BINTANG HOLLYWOOD BERKELULUSAN HARVARD

Bacaan Lanjut

LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON MENUTUP TIRAI 2023 DENGAN PENUH MERIAH

Bacaan Lanjut

STREET PIZZA MILIK GORDON RAMSAY KINI DIBUKA DI SUNWAY PYRAMID

Bacaan Lanjut
Ruark

SISTEM MUZIK REVOLUSIONER SIRI 100 RUARK MENGHUBUNGKAN ANDA DENGAN MUZIK

Bacaan Lanjut

RENAISSANCE FILEM BY BEYONCÉ DITAYANGKAN DISEMBER INI

Bacaan Lanjut
10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA

10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA

Bacaan Lanjut