TIP KETIKA IMIGRASI KERJA

Dalam soal kerjaya, kita mungkin tiada pilihan untuk menerima apa saja polisi mahupun syarat yang telah ditandatangani, termasuk perpindahan lokasi bekerja. Namun, ada juga daripada di kalangan kita yang terbuka untuk berpindah. Dalam soal migrasi kerja, ia mungkin susah bagi sesetengah orang yang khuatir tentang budaya dan bahasa yang berlainan, berjauhan dari keluarga dan tanah air, serta perbezaan kos sara hidup yang mungkin lebih tinggi. Bagi sesetengah orang pula, peluang bekerja di luar negeri adalah satu impian yang dikejarkan. Antara negara yang menjadi tarikan untuk mencari kerja adalah Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan Jepun.

Bahkan faktor pendapatan yang lebih tinggi di negara-negara maju ini membuatkan ramai tertarik untuk bekerja di luar negeri. Namun, imigrasi kerja ke luar negeri adalah satu peluang dan pengalaman yang besar untuk menimba ilmu dan kerja. Ia sama seperti mempelajari segalanya mengenai negara yang anda bekerja seperti budaya, bahasa, undang-undang tempatan dan banyak lagi. Peluang bekerja di luar negara sebenarnya luas namun berjaya atau tidak ia bergantung pada kredibiliti yang ada pada diri anda dalam melakukan pekerjaan tersebut. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih. GL kongsikan sedikit tip untuk bekerja di luar negara.

1. FASIH PELBAGAI BAHASA

Petah berkomunikasi dalam pelbagai bahasa dan paling utama tentunya bahasa Inggeris adalah satu kemestian. Lebih-lebih lagi dia akan menjadi medium perantaraan yang digunakan secara meluas dalam dunia pekerjaan, jadi adalah satu kewajipan untuk menguasai bahasa tersebut. Dan jika anda bercadang mahu menimba pengalaman bekerja di negara yang tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, kuasailah bahasa ibunda mereka seperti Jepun, Korea, Jerman dan sebagainya.

2. TERBUKA TERIMA PERBEZAAN BUDAYA 

Lengkapkan diri untuk menerima perbezaan budaya di negara hijrah anda. Soal perbezaan budaya dan gaya hidup pasti wujud dan ia memerlukan masa untuk anda terima dan fahami. Soal kejutan budaya mungkin ada, usah terikut-ikut dengan gaya hidup mereka jika cara mereka tidak memberikan sebarang kebaikan. Kekalkan jati diri, anda hanya perlu memahami dan tidak semestinya menjalani gaya hidup yang sama jika ia bertentangan dengan budaya juga agama kita.

3. LENGKAPI DIRI DENGAN SKIL KERJAYA

Namun, tidak salah mencuba nasib mencari peluang pekerjaan bumi asing. Tetapi lengkapi diri dahulu dengan kemahiran untuk pekerjaan yang anda idamkan. Menimba pengalaman dalam negara sedikit sebanyak akan membantu sebagai persediaan di sana nanti.

4. KERAP HUBUNGI EJEN

Dengan berhubung rapat dengan ejen pekerjaan di luar negara membolehkan anda updatedengan kerja kosong di negara pilihan dan sepadan serta memudahkan kategori kerja yang anda cari. Ejen pekerjaan akan memudahkan dan mempercepatkan proses anda mencari kerja di luar negara.

5. KEMAS KINI RESUME

Sebaiknya, timba pengalaman bekerja dalam negara terlebih dahulu supaya resume anda lebih meyakinkan untuk anda di ambil bekerja di syarikat di luar negeri. Setelah itu, kemas kini dengan lebih rapi resume anda dengan segala pengalaman yang anda telah lakukan sewaktu pekerjaan anda di dalam negara agar syarikat yang anda inginkan pekerjaan tersebut dengan tangan terbuka menerima anda sebagai pekerja tetap dengan lebih mudah.

Oleh Wan Mohd Firdaus, 31 Julai 2017 (Sumber: EH)

Tags: , , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.