Skip to content

“WALAU SEKADAR BERLARI ANAK MEMBAWA OBOR & BENDERA, IA CUKUP BERMAKNA” – AFFIQ ZAINAL, PASUKAN SORAK RASMI #TEAMMALAYSIA

Kongsikan artikel ini

Kurang 2 minggu saja lagi, temasya Sukan Sea yang ke-29 bakal diadakan dan para atlet pasti sudah tidak sabar untuk beraksi. Namun, jangan dilupa insan-insan lain yang turut sama memberikan tanda sokongan dalam menghangatkan temasya sukan unggul ini, tidak lain dan tidak bukan para sukarelawan dan belia berharga negara kita.

Ya, GL tertarik dengan seorang individu bernama Affiq Zainal, seorang belia yang terlibat dalam Larian Obor Kuala Lumpur bersempena temasya Sukan Sea yang diadakan baru-baru ini. Ya, dirinya bukanlah atlet bertanding mahupun olahragawan kebangsaan namun semangat dan dorongan yang ditonjolkan wajar dijadikan tauladan oleh semua belia di luar sana. Berlari anak membawa obor dan bendera mungkin dianggap remeh, mudah dan tidak memberi sebarang makna, namun tidak bagi dirinya. Jom baca temubual eksklusif kami bersama pemuda aktif ini.

GLAM Lelaki: Boleh anda ceritakan serba sedikit tentang diri anda? Nama penuh, umur, asal, adik beradik, hobi. dan apa saja tentang diri awak yang ingin pembaca GL tahu.

AFFIQ ZAINAL: Terima kasih kepada penulis dan GLAM Lelaki kerana sudi menemubual saya. Nama saya Muhammad Affiq Haikal Bin Zainal Abidin berusia 23 tahun dan berasal daripada Cheras Selangor. Saya anak yang kedua daripada lima orang adik beradik. Saya adalah pelajar semester akhir ijazah sarjana muda dalam bidang sains sukan dan rekreasi di sebuah institut pendidikan tinggi awam. Kini saya sedang menyiapkan tesis dalam bidang psikologi dan kejurulatihan. Selain daripada bermain bola sepak secara aktif, saya juga aktif melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti lasak seperti hiking dan water rafting bagi mengisi masa lapang.

GLAM Lelaki: GL tertarik dengan gambar anda membawa obor dan bendera sewaktu Larian Obor Kuala Lumpur 2017 yang berlangsung baru-baru ini (7 ogos 2017). Boleh ceritakan serba sedikit tentang penglibatan anda dalam acara ini? Bagaimana boleh terlibat dan sebagainya?

AFFIQ ZAINAL: Ini adalah kali pertama saya terlibat dalam acara yang besar seperti Larian Obor Kuala Lumpur 2017. Saya diberi peluang untuk berlari dalam larian tersebut oleh seorang kawan baik saya yang telah menjalani latihan industri di Kementerian Belia & Sukan Wilayah Persekutuan (WIPERS). Pada mulanya saya teragak-agak untuk melibatkan diri dalam larian ini tetapi saya rasa dengan berlari dalam larian obor ini mungkin dapat memberi saya satu pengalaman yang cukup besar dan ia ternyata benar sama sekali.

GLAM Lelaki: Ceritakan serba sedikit tentang pengalaman anda terlibat dalam larian tersebut? Apakah signifikasi dan kebaikan yang anda peroleh dari pengalaman tersebut, dan mengapa anda berminat untuk menyertai aktiviti seumpama itu?

AFFIQ ZAINAL:  Ramai beranggapan berlari sejauh 12km tidaklah susah. Tetapi untuk membuatnya dalam kelajuan yang perlahan pada cuaca yang panas terik, ia cukup mencabar dari segi daya ketahanan fizikal dan juga mental. Pada saya, ianya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Pengalaman yang bermakna bagi saya kerana dapat memupuk jati diri dalam mengibar beberapa bendera termasuk bendera Jalur Gemilang. Antara kelebihan yang dapat saya kongsikan, pertama ia dapat memupuk semangat kesukanan dalam diri. Kedua, ia menyatupadukan satu kaum dengan kaum yang lain dalam satu negara yang sama. Ketiga, perasaan cinta akan negara dapat diserapkan di dalam diri.

GLAM Lelaki: Ramai beranggapan terlibat dalam larian tersebut tidak membawa sebarang makna. Hanya sekadar membawa obor dan bendera, dan bukan mewakili negara dalam mana-mana acara sukan pun. Jadi apa yang anda ingin sampaikan buat mereka di luar sana yang berfikiran demikian?

AFFIQ ZAINAL: Walaupun hanya berlari membawa bendera, saya melihat perkara tersebut seperti salah satu cara untuk saya menunjukkan sokongan terhadap atlet-atlet negara yang akan bertanding pada termasyar sukan SEA tidak lama lagi. Tak kisah kalau anda bukan peminat tegar sesuatu sukan sekalipun, sebagai seorang warganegara Malaysia, kita harus ada semangat patriotik dalam diri. Bagi saya, membawa bendera dan obor dalam Larian Obor Kuala Lumpur 2017 itu adalah sedikit sebanyak cara saya untuk menunjukkan semangat patriotik di dalam diri saya.

GLAM Lelaki: Anda boleh dikira sebagai seorang belia yang aktif dan penglibatan awak menerusi Larian Obor ini dikira sesuatu yang cukup membanggakan. Apa pandangan anda tentang belia masa kini yang sepatutnya aktif dan menyumbang kepada negara walaupun sedikit.

AFFIQ ZAINAL: Pandangan saya, remaja perlu mengaktifkan diri dan pada masa yang sama cuba untuk membanggakan negara dalam bidang apa jua sekalipun. Ianya dapat dilihat pada objektif seorang remaja. Penglibatan mereka di dalam sukan juga memberangsangkan. Ianya dapat dilihat melalui penglibatan mereka dalam kejohanan atau pertandingan. Cukuplah sekadar mengisi masa lapang mereka dengan sukan yang mereka minati. Remaja-remaja seperti kami semestinya memerlukan sokongan dari semua pihak.

GLAM Lelaki: Anda dilihat seorang belia yang aktif dan sangat atletik. Ceritakan serba sedikit tentang pencapaian anda dalam apa-apa saja bidang sukan atau apa saja.

AFFIQ ZAINAL: Saya adalah atlet bola sepak di peringkat universiti dan sedikit sebanyak detik-detik manis saya ialah saya pernah bermain bola sepak di Medan, Indonesia untuk mewakili negara di Karnival Sukan Universiti IMT-GT antara 12 universiti dari 3 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand. Saya juga pernah menjuarai Liga Bolasepak IPT Divisyen 1 pada tahun 2013 dahulu. Selain aktif dalam sukan bolasepak, saya juga pernah menjadi ahli fisioterapi dan jurulatih kecergasan untuk skuad hoki Brunei Darussalam dan membawa mereka ke Kejohanan Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua di Singapura pada awal tahun lepas.

GLAM Lelaki: Belia sewajarnya kekal aktif dan bertenaga. Jadi boleh anda kongsikan sedikit tip untuk menjadi aktif dan sihat cergas seperti anda.

AFFIQ ZAINAL: Sedikit tip yang boleh saya kongsikan adalah untuk mempelbagaikan aktiviti-aktiviti anda untuk mengelakkan kebosanan. Tidak salah untuk menumpukan perhatian dalam satu sukan yang anda minat, tetapi sekali sekala kita juga perlu membuat aktiviti lain sebagai sampingan. ‘Element of fun’ itu harus dititik beratkan untuk membuatkan anda kekal aktif dan selalu ingin menceburi aktiviti-aktiviti baru. Selain daripada itu, mangambil makanan yang cukup dan seimbang juga antara faktor yang penting. Ia akan membuatkan seseorang itu lebih cergas bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam bidang sukan, tetapi juga dalam menjalani rutin harian.

GLAM Lelaki: Kongsikan dengan kami impian anda suatu hari nanti?

AFFIQ ZAINAL: Walaupun hajat untuk menyarung jersi pasukan Malaysia sebagai atlet nampak macam tidak kesampaian, saya nekad untuk mendalami ilmu dalam bidang sains sukan dengan harapan boleh membantu atlet-atlet di dalam dan juga luar negara untuk mecapai potensi tertinggi mereka.  Dengan ilmu dan pengalaman dalam bidang sukan yang saya ada, saya berharap dapat pergi lebih jauh dan membuka banyak peluang terhadap saya pada masa hadapan.

GLAM Lelaki: Harapan awak pada kontinjen Malaysia yang akan beraksi di sukan SEA nanti.

AFFIQ ZAINAL: Harapan saya untuk kontinjen Malaysia, semoga apa yang mereka usahakan selama ini membuahkan hasil setimpal dengan usaha serta  dapat menjulang nama Malaysia dalam meraih sebanyak mungkin emas di dalam sukan berprestij ini. Malaysia Boleh!!!

GLAM Lelaki: Kata-kata terakhir anda?

AFFIQ ZAINAL: Pada masa muda inilah kita dapat meluangkan masa untuk membuat pelbagai aktiviti yang ada. Jadi saya berharap golongan belia di luar sana kekal aktif dalam bidang sukan dan jangan takut untuk mencuba aktiviti baru. Akhir kata, teruskan menyokong atlet tanah air kita bukan sahaja pada sukan SEA nanti, tetapi pada kejohanan-kejohanan yang akan datang. Majulah sukan untuk negara!

Oleh Wan Mohd Firdaus, 10 Ogos 2017

 

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON MENUTUP TIRAI 2023 DENGAN PENUH MERIAH

Bacaan Lanjut

5 LANGKAH UNTUK MERAWAT KELEMUMUR

Bacaan Lanjut
10 SELEBRITI LELAKI LEBIH KACAK BERAMBUT PANJANG

10 SELEBRITI LELAKI LEBIH KACAK BERAMBUT PANJANG

Bacaan Lanjut

STREET PIZZA MILIK GORDON RAMSAY KINI DIBUKA DI SUNWAY PYRAMID

Bacaan Lanjut

7 TANDA RAMBUT SEMAKIN MENIPIS & CARA UNTUK ELAK JADI BOTAK

Bacaan Lanjut
FILA x Smiley®

“COOL ON COURT” FILA X SMILEY MELANCARKAN KOLEKSI INSPIRASI SUKAN TENIS

Bacaan Lanjut