SELEKSI JAM DIVING TERBAIK

Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on StumbleUpon

Mampu menahan tekanan sekurang-kurangnya sedalam 100 meter, garapan gaya jam tangan berfungsi selaman skuba sudah wujud sejak 1950-an. Bagi pencinta selaman skuba, glam lelaki membariskan seleksi jam tangan yang berpadanan dengan semua bajet buat peneman kala menyelam.

1. ORIS AQUIS SMALL SECOND DATE 

Himpunan Aquaracer berilhamkan dunia akuatik yang lasak. Bernadi kaliber 5 automatik, jam berdiameter 41 mm ini mampu menahan tekanan air sehingga 300 meter. Tetingkap tarikh bersudut di indeks masa 03:00 ditampilkan sama kanta pembesar bagi pembacaan yang jelas. Jam diperbuat daripada keluli tahan karat lalu permukaan jam disempurnakan daripada kristal nilam. Jarum dan paparan indeks masa dipertontonkan dalam kemasan cat sinar agar kilauannya terbias tatkala menyelam di dasar laut. Jam disempurnakan dengan tali jam material nilon.

2. SEIKO PROSPEX SEA 

Diperkenalkan sejak tahun 1965, sudah 50 tahun Seiko terus berinovasi lalu mencatatkan satu standard global. Maka, tidak hairanlah jam tangan ini terus menjadi pilihan buat penyelam dan pengembara alam akuatik di peringkat global. Berdiameter 50.2 mm, jam diperbuat daripada keluli tahan karat lantas mempertontonkan sama paparan tarikh dan hari. Berpaksikan nadi automatik, reka bentuknya cukup unik dengan objektif yang berkebolehan untuk dilihat biarpun tiada sinar mentari menembusi ke dasar laut. Jarum jam dan minit digarap buntal, begitu juga dengan paparan indeks sama yang diperkemas dalam cat kilau. Alur yang mendalam pada bezel direka bagi kemudahan untuk diputar biarpun memakai sarung tangan menyelam dan tali jam dipersembahkan dalam material silikon.

3. BELL & ROSS BR03-92 DIVER 

Semua tahu jam berekaan empat segi sudah menjadi signatur bagi jenama ini yang menjulang lapangan ketenteraan dan penerbangan. Namun, tidak lupa Bell & Ross juga arif dalam alam akuatik lalu memperkenalkan Hydromax yakni jam tangan untuk penyelam profesional yang mampu menahan tekanan pada kedalaman sehingga 11,100 meter. Model baru dipertontonkan tahun ini, sekali gus menandakan penampilan perdananya yang direka empat segi lalu mengukuhkan legasi inovatifnya. Berdiameter 42 mm jam digarap daripada keluli tahan karat bersama applique indeks masa dan jarum berkemasan Superluminova. Gabungan fabrik sintetik bersama getah melengkapkan tali jam yang kalis air sedalam 300 meter.

Oleh Editorial GLAM Lelaki. Untuk senarai penuh seleksi jam tangan kalis air terbaik, dapatkan majalah GLAM Lelaki isu JUN 2017 yang kini sudah berada di pasaran. 

Tags: , , , , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.