ADA APA DENGAN MEROTAN?

Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on StumbleUpon

rotan1APRIL 2015

Saya masih ingat ketika bersekolah di Tingkatan 2, saya begitu nakal. Nakal yang dikategorikan sebagai nakal budak-budak.
Oleh Haniff Ali

Pada suatu hari saya kira saya telah melakukan kesalahan yang besar kerana kerap kali pergi ke cybercafe untuk bermain game Counter Strike yang memang famous ketika itu. Kelekaan saya bermain sehingga tidak pulang ke rumah membuatkan ayah naik berang dan mencari saya sehingga ke cybercafe. Teruk dimarahi oleh ayah lantas ayah berkata “Kau balik sekarang, aku nak jumpa kau di rumah.” Terus sahaja saya pulang mengayuh basikal perlahan dengan perasaan yang bercampur baur. Sampai sahaja di rumah ayah sudah bersedia. Rotan di tangan kanan. Mukanya bengis dan menakutkan.
The rest is history.

Itu serba sedikit pengalaman saya mengenai hukuman merotan yang dicadangkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya ia termaktub sebagai kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu itu diluluskan. Jangan disalah erti dengan definisi ‘jenayah’ itu. Yang dimaksudkan hanyalah jika ibu bapa merotan sehingga mendera, mendatangkan kecederaan fizikal dan mental kepada kanak-kanak sahaja akan dikenakan tindakan undang-undang.

Melihat konteks adat resam masyarakat kita, merotan anak memang menjadi suatu kebiasaan kerana sejak dahulu lagi ia menjadi cara untuk ibu bapa mendidik anak supaya mendengar kata. Ia juga diguna pakai di sekolah-sekolah untuk mendidik murid-murid. Saya beranggapan undang-undang baharu ini wajar dilaksanakan kerana ia melindungi anak daripada dijadikan mangsa keadaan. Kadangkala ramai ibu bapa merasakan merotan anak sendiri sebenarnya tidak menjadi kesalahan malahan wajib dilakukan. Namun kuasa yang ada pada ibu bapa dalam mengajar anak sering melebihi batasan undang- undang.

Perlu juga diakui bahawa bukan merotan sahaja yang menjadi ‘alat’ untuk mengajar anak. Kadangkala tamparan, cubitan dan kekerasan lain juga digunakan oleh ibu bapa. Tidak menolak andaian bahawa ia boleh mendidik anak supaya tidak mengulangi kesalahan lagi kerana takut jika dipukul namun ia juga akan menimbulkan rasa fobia, kemurungan, menjejaskan kesihatan fizikal dan mental, rasa rendah diri dan juga menimbulkan rasa tidak puas hati apabila mereka dewasa kelak.

Mungkin ada yang kata budak-budak sekarang sangat manja dan tidak ‘sekeras’ budak-budak dahulu yang pernah dihukum lebih dahsyat untuk survive. Ada juga ibu bapa yang merasai bahawa mereka tidak perlu diberitahu dalam urusan mengajar anak sendiri. Ada juga berkata pukul itu sebenarnya adalah pukulan sayang. Namun mengerti kah kanak-kanak itu bahawa pukulan yang mereka terima itu sebenarnya kerana kasih sayang ibu bapa? Perkara pokok di sini adalah bukan menganggap kanak-kanak tidak akan mendengar kata jika tidak dipukul. Ada pelbagai cara lagi boleh dipraktikkan untuk mendisiplinkan anak dengan penuh rasa kasih sayang.

Melihat kepada 24 negara lain yang telah melaksanakan Akta Perlindungan Kanak-Kanak yang menggariskan memukul, menampar, mencubit, menarik rambut dan merotan kanak-kanak dalam semua keadaan sama ada di rumah atau di sekolah sebagai menyalahi undang-undang, sudah tiba masanya Malaysia menjadi negara ke-25 dalam perlaksanaan tersebut.

Kes terbaharu pasangan ibu bapa Malaysia ditahan di Sweden dan dikenakan hukuman penjara kerana memukul anak yang dikatakan meninggalkan solat amat memeranjatkan. Ia berlaku apabila salah seorang anak mereka mengadu didera kepada seorang guru yang kemudian melaporkan kepada polis Sweden. Walaupun meninggalkan solat itu berdosa, anak itu masih tidak dapat memahami sepenuhnya kewajipan bersolat dan mengapa mereka dipukul. Kes ini dapat dijadikan sebagai bukti bahawa keperluan memukul atau merotan itu adalah tidak bersesuaian dalam keadaan tertentu.

Kita perlu tahu bahawa ini adalah kes yang dilaporkan, seperti kebanyakan negara lain, kes memukul anak di Malaysia masih banyak tersembunyi di sebalik tabir, menjadikannya sukar untuk membuat penentuan yang tepat tentang bilangan kes penganiayaan kanak-kanak. Kepada ibu bapa, ketahui batas anda. Jika anda ingin memukul anak anda cuba fikir sejenak, adakah ada cara yang lebih baik daripada memukul?

 

Tags: ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.