AKSI BERANI LELAKI ‘LEMBUT’ DI MEDIA SOSIAL, ANTARA HAK DAN KERUNTUHAN MORAL.

Di bulan keberkatan, umat Islam bersaing merebut pengampunan serta melipat gandakan amalan, tetapi lain pula dengan empunya badan, seorang insta-famous yang dikatakan tampil keterlaluan. Video parodi dimuat turunnya pada hari pertama umat Islam berpuasa kiranya satu penghinaan. Dek tindakan beraninya, ramai yang terkesan. Apa yang mereka fikirkan?

Gejala lelaki lembut berkeliaran tanpa tidak segan silu berpakaian wanita dilihat semakin membimbangkan. Ditambah pula dengan gelagat kurang manis terkinja-kinja seakan sudah tiada lagi iman dan pedoman. Berikutan dengan fenomena yang merisaukan ini, GL punya pendapat sendiri, dan turut menemubual dua orang pakar tuk mengulas lebih lanjut tentang perkara ini.

HAK MEREKA DIJAMIN?

Subhanalllah, penulis agak terkejut dengan mengucap panjang selepas melihat keberanian dia bersama dua lagi rakannya yang tiada segan silu melakukan tarian berahi untuk lagu Lagi Syantik nyanyian Siti Badariah yang kini tular. Apatah lagi videonya itu ditayangkan secara umum pada hari pertama umat Islam berpuasa. Biar betul! Itulah persoalan yang terbenak dalam hati penulis. Sejujurnya, penulis langsung tidak mengenali individu ini secara dekat walaupun ada juga video-videonya yang mengundang tawa, cuma videonya kali ini..lain macam! Walau permohonan maaf sudah dinyatakan, pastikah anda tiada lagi video-video seperti ini di masa hadapan?

Yang pasti, kebanjiran lelaki-lelaki ‘lembut’ yang kini tidak malu lagi berpakaian wanita di khalayak ramai, terutama sekali dalam sosial-sosial media kian membimbangkan. Kenapa mereka tidak lagi segan silu sampaikan ada yang membuat parodi dan mempertontonkan kepada umum dengan megah? GL mendapatkan Prof. Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, IAIS Malaysia / Pensyarah ACIS, UiTM Shah Alam.

Sumber foto: MALAY MAIL / AZINUDDIN GHAZALI

“Fenomena ini bukanlah perkara baru. Cuma sekarang ini ia agak mencabar kerana ada pihak yang menasihati bahawa hak mereka dijamin dalam Perlembagaan melalui Perkara 5: Kebebasan Individu dan Perkara 8: Kesaksamaan Di Sisi Undang-Undang dan Perlindungan Dari Undang-Undang. Terdapat kes di mahkamah mencabar peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah N9 yang mengenakan hukuman ke atas orang lelaki yang memakai pakaian wanita di khayalak ramai yang akhirnya mereka kalah kerana mendapat sokongan kuat daripada NGO hak asasi manusia. Lagipun tekanan konvension antarabangsa yang mengiktiraf golongan LGBT menyusahkan kita untuk mengambil tindakan undang-undang”. So, is that it?

RUNTUHNYA INSTITUSI KEKELUARGAAN

Sekiranya golongan ini dulunya acap kali menyorok di suatu sudut bagi mengelak kehadiran mereka dihidu, tetapi zaman kini tidak lagi. Mereka dilihat semakin berani untuk menonjolkan diri. Ya, penulis akui bukan semua. Ada juga dari mereka yang masih waras dalam tindakan dan berpakaian namun yang ini, lain pula kisahnya. Seakan bangga dan mendabik dada. Dan sekiranya tidak dibendung, for sure parah jadinya. Pendapat penulis ini turut disokong oleh Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie.

“Kewujudan lelaki-lelaki lembut berpakaian wanita yang diistilahkan sebagai darai (sebutan daghai) bagi orang-orang utara mampu merosakkan institusi kekeluargaan dan masyarakat. Antaranya, fitrah dan kewibawaan seorang lelaki malah seorang wanita tercalar sebab mereka bukan wanita asli dan tidak juga bersikap sebagai lelaki. Seterusnya, institusi keluarga yang normal – lelaki sebagai suami, wanita sebagai isteri akan berkurangan. Belum lagi menyentuh aktiviti liar seperti seks songsang dan tidak normal, menjurus kepada cara hidup yang akan merumitkan orang lain, seperti kekeliruan dalam hal aurat seperti bercampur dalam tandas. Selain itu, yang lebih merisaukan adalah penampilan tanpa segan atau malu secara automatik menaikkan nama mereka di mata masyarakat seolah satu pengiktirafan, menyukarkan untuk proses pembendungan berlaku”.

Sumber foto: FB Suzana Ghazali

KERAH, CEGAH SEBELUM PARAH

So, what can we do? Yang pasti, golongan ini juga manusia yang punya hak, dan apabila berbicara pasal kesamarataan, ia pasti menyukarkan. Persoalannya, berdosakah kita menilai mereka, sedangkan mereka juga makhluk Allah sebaik-baik ciptaanNya? Dan apakah cara terbaik untuk menegur dan pada masa yang sama untuk mengubah mereka. Ini pandangan Prof. Madya Dr Mohamed Azam.

“Kita perlu mendekati mereka. Jangan mencemuh dan menghina. Pihak JAKIM dan institusi agama / NGO perlu banyak mengadakan program bagi membantu golongan ini. Pendekatan secara hikmah akan memakan masa yang panjang untuk membawa mereka keluar dari dunia mereka. Kita jangan memandang serong mereka kerana mereka juga adalah manusia.

Mesti ada sebab latar belakang yang menyebabkan mereka jadi begini. Mungkin kerana bapa yang ganas atau layanan bapa yang kasar atau keruntuhan rumah tangga atas faktor bapa menyebabkan golongan ini benci kepada lelaki dan mahu menjadi perempuan. Pendekatan dakwah secara hikmah dan kaunseling santai dalam mendekati mereka perlu dilakukan untuk ‘mengubati’ mereka. Jangan sama sekali memboikot dan mengherdik mereka. Bawa mereka pulang ke pangkal jalan kerana yang pasti mereka kini sedang sesat dan keliru”.

Ya, pada pandangan penulis pula, ibu bapa pemain watak paling penting dalam isu ini. Sudah lihat anak itu terkinja memalukan diri tanpa segan silu di laman-laman sosial, usahlah diam, buat-buat tidak tahu. Risau anak akan memulaukan? Itu bukan alasannya! Cubalah menasihati. Buat yang lain-lain pula, sudah-sudahlah mengikut, merayu dan meminta. Lagi anda request itu dan ini, lagi galak golongan ini memberi. Penulis tidak berani mempertikaikan fitrah kelompok ini, tetapi jika gian ingin popular sekalipun, lakukan dengan ‘class’, bukan dengan cara yang murahan okay! Boleh dik? Semoga diberi hidayah olehNya. Allahualam.

Oleh Wan Mohd Firdaus (@wanmohdfirdaus), 21 Mei 2018

#Ini hanyalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili GLAM Lelaki.

 

 

Tags: , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.