RAYUAN AZIZUL AWANG BERKAITAN ISU REMAJA BERBASIKAL DIREMPUH

Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on StumbleUpon

Semalam, negara digemparkan dengan insiden ngeri melibatkan 30-40 orang remaja berbasikal di jalan utama yang dirempuh oleh sebuah kereta Nissan Almera yang dipandu oleh seorang wanita muda berusia 22 tahun di Johor Bahru. Kemalangan yang telah meragut nyawa 8 remaja dan beberapa lagi cedera parah itu ternyata mendapat reaksi pelbagai pihak.

Gambar selepas berlakunya insiden rempuhan semalam.

Ramai yang menyalahkan ibu bapa yang tidak memantau aktiviti anak, dan ada juga yang turut menyalahkan pemandu tersebut yang dikatakan tidak berhati-hati semasa memandu. Tidak dilupakan banyak pihak terutama sekali para netizen turut menyalahkan remaja-remaja tersebut yang tidak sayangkan nyawa kerana berbasikal di jalan-jalan utama pada lewat malam yang ternyata mengundang bahaya ke atas diri mereka.

Kesemua 8 remaja yang maut dalam insiden rempuhan semalam.

Selain itu, insiden ini turut mendapat perhatian atlet berbasikal negara, Azizul Hasni Awang. Dikhabarkan, sewaktu kejadian, Azizul berada dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Melboune. Melalui kepsyen di Instagramnya sebentar tadi, Azizul turut meluahkan rasa sedih dan terkejut dengan apa yang telah terjadi.

“Dalam penerbangan saya dari Kuala Lumpur ke Melbourne awal pagi semalam, saya telah dimaklumkan tentang satu tragedi melibatkan sekumpulan remaja berbasikal yg telah dirempuh oleh sebuah kereta di Johor Bahru.

Salam takziah diucapkan kepada keluarga mangsa dan didoakan agar anda semua tabah di dalam menempuhi dugaan ini. Kepada adik2 dan juga rakan2 yg mengayuh basikal, saya ingin mengingatkan kepada anda semua agar utamakan keselamatan dan pastikan anda memasang lampu, memakai pakaian cerah agar mudah dilihat terutamanya di waktu malam.

Saya juga ingin memohon kepada pemandu2 kereta, bas, lori dan lain-lain agar anda dapat memberikan lebih perhatian kepada penunggang basikal, motosikal dan juga pejalan kaki yg lebih terdedah kepada risiko kemalangan di atas jalanraya.

Semoga kita semua akan menjadikan tragedi ini satu pengajaran di masa hadapan.”

Sekali lagi, GL mengucapkan salam takziah buat semua keluarga mangsa yang terkesan dengan insiden ini dan diharapkan semua pihak akan mengambil iktibar dari apa yang berlaku. Buat ibu bapa pula, pantaulah aktiviti anak-anak anda. Dan buat golongan remaja di luar sana, tidak salah untuk melakukan kegiatan atau hobi yang digemari namun perlulah mengikut cara yang betul agar tidak mengancam nyawa.

Oleh Wan Mohd Firdaus, 19 Februari 2017

 

Tags: , , , , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.