Skip to content

TITIK TENGAH

Kongsikan artikel ini

 

writers_profile_pic

JANUARI 2015

BAGAIMANA KEBAHAGIAAN DIRI ANDA MAMPU DICAPAI DENGAN KEHIDUPAN YANG SEIMBANG
Oleh Ali Imran K.

Jam dua pagi kami berangkat. Kalau dihitung waktu, Subuh nanti tibalah kami di pantai timur. Itulah lumrah sang pengejar ombak – biarpun jauh, kami sanggup meredah masa demi beberapa jam sahaja bermain dengannya. Setahun aku di perantauan, menjejakkan kaki kembali di tanah air sendiri, berasa bagai kepulangan yang syahdu. Apatah lagi berdiri di pantai, tanpa perlu menyarung jaket atau pakaian tebal. Ia bagaikan mimpi indah yang enggan aku akhiri. Hari itu kami diusul bermain di Pantai Penunjuk, Kijal. Dalam perjalanan, kami menjemput seorang teman di Cherating yang mengarah kami hanya untuk mengirim SMS sahaja sesudah sampai. “Jangan telefon” sebut SMS terakhir darinya yang aku terima lewat tengah malam tadi. Menjengket-jengket dia keluar dari rumahnya membawa papan, seolah-olah seorang perompak.

“Diam-diam. Nanti Ana terbangun,” bisiknya. Ceritanya, isterinya, si Ana, mahu dia duduk di rumah hari itu. Katanya, banyak hal yang harus dibereskan. Kebetulan pula, ombak diramalkan bagus hari yang sama. Dan walaupun sayangkan isteri, tidak mungkin teman ku ini melepaskan peluang emas sebegini.

“Ana tak marah ke?” tanya ku ketika itu. “Nanti lah aku settle,” jawabnya bersahaja. Kenyang kami berselancar pagi itu dan selesai sahaja, Ana sudah menanti teman ku di pantai. Dia tidak kelihatan marah, ataupun kecewa. “Lama tunggu?” aku bertanya. “What to do? I married a surfer,” jawab Ana sambil mengangkat bahunya.

640px-sunset_surfer

Ramai teman-teman seangkatan berselancar bersetuju, bahawa sesiapa yang ingin menjadikan seorang surfer sebagai teman hidup, harus mengerti akan kelaziman seorang pencinta ombak. Ini adalah kerana ramai surfer yang menganggap surfing itu sebagai asas atau punca segala-galanya di dalam kehidupan mereka. Sebelum menerima cinta seorang insan, cintakan ombak sudah hadir dahulu hinggakan ada isteri-isteri dan teman wanita yang berpendapat ombak dan laut itu bagai orang ketiga di dalam perhubungan mereka. Aku terfikir akan kata-kata Ana tadi, dan aku tertanya kepada diri sendiri, apakah benar ini realitinya? Bukankah hubungan percintaan itu harus punya tolak ansur? Dan kiranya inilah hakikatnya, di manakah keseimbangannya di situ?

Sewaktu aku mengembara di India beberapa tahun yang lalu, seorang tukang tilik pernah mentafsir telapak tangan ku dengan berkata aku sememangnya bertindak terlalu mengikut hati. Kerana terlalu mengharap, akhirnya aku kecewa. Perkara ini bukanlah angkara sesiapa, tetapi sifat diri ku sendiri.

You need to find a balance, Mr. Imran, between ruling too much with your head and your heart,” sebutnya sebagai kata pengakhir. Aku akui sewaktu itu, aku tidak tahu di manakah aku harus bermula untuk mencari titik pertengahan yang disebutnya itu? Tetapi aku percaya, setiap pengalaman yang pernah aku lalui membawa ku lebih dekat dengannya. Kini, aku menganggap diri ku serba-serbi bahagia. Tetapi andainya hati ini berasa gusar dan minda berantakan, aku mengimbas kehidupan ku dan melihat kemungkinan ada aspek-aspek di dalamnya yang berat sebelah. Percayalah, kala kehidupan anda seimbang, anda akan menikmati setiap detik, anda mampu menangani pelbagai konflik, anda mampu bahagia tanpa memerlukan alasan dan yang paling penting sekali, anda mampu menghargai diri anda sendiri.

Sebanyak mana kita perlukan pengalaman positif di dalam hidup kita, pengalaman negatif juga penting. Itulah salah satu caranya kita mengajar minda kita untuk lebih matang.

Sepertinya, keseimbangan dalam hidup bagai teori ahli falsafah yang tidak bisa dipraktikkan, tetapi hakikatnya tiada yang lebih mudah. Ia mungkin mengambil sedikit waktu pada awalnya, tetapi lama kelamaan anda akan biasa dengan ritma dan rentaknya. Adakah hasil daripada mempunyai kehidupan yang seimbang, anda akan sentiasa dikelilingi segala yang positif? Nah, itu sahaja tidak seimbang. Sebanyak mana kita perlukan pengalaman positif di dalam kehidupan kita, pengalaman negatif juga penting, kerana itulah salah satu caranya kita mengajar minda kita untuk lebih matang. Bezanya, sekiranya anda mempunyai kehidupan yang seimbang, anda mampu melihat segala yang buruk dengan mata yang objektif.

Pada aku, perkara pertama yang aku lakukan untuk mencapai matlamat ini adalah dengan mempunyai kesedaran. Masa hadapan belum kita ketahui, masa yang lampau sudah pun berlalu, apa yang kita harus hayati adalah waktu sekarang. Kedua, hargailah jasad kita yang diberi Tuhan. Siapa tahu, mungkin esok kita jatuh sakit, tak mampu bergerak mahupun berkata-kata. Ketiga, pupuklah kreativiti anda dan sahut setiap cabaran dengan minda yang terbuka dan olah menjadi satu petualangan. Keempat, bersabar – kerana kiranya fitrah kita sudah tertulis, apa yang bakal berlaku, pasti berlaku – tidak guna khuatir tak menentu. Dan terakhir sekali, amalkan kesederhanaan kerana andainya anda membina kehidupan anda dengan kesederhanaan, anda mengurangkan risiko jumlah perkara-perkara yang mampu memberi ketidak-seimbangan.

Ini cara ku. Anda bisa sahaja menurutinya atau ambil beberapa aspek yang relevan buat hidup anda. Pokoknya, kebahagiaan itu ada banyak bersangkut-paut dengan konsep keseimbangan. Kebanyakan waktunya, kita tersasar jauh di hujung jongkang- jongket kehidupan. Melambung-lambung kita dibuatnya kalau tidak berganjak, tetapi perlahan-lahan, anjakkan diri anda ke posisi pertengahan. Dari situ, lihat lah dunia dengan pandangan dan azam yang baru. Sambutlah dengan mesra diri anda yang lebih tenang dan tenteram. Kiranya isteri anda inginkan anda kurangkan sedikit bermain ombak demi menghabiskan waktu dengannya, turutilah. Kiranya minda anda berserabut, susah sekali mencari jalan keluar dari kekusutan, imbas sahaja kehidupan anda dan cari penyelesaiannya. Ingat, too much of any one thing is bad for you. Akhir kata, aku sudahi cerita kita kali ini dengan ayat dari penulis terkenal dari Amerika Syarikat, Robert Fulghum, buat renungan kita bersama: “Live a balanced life – learn some and think some and draw and paint and sing and dance and play and work every day some.”

 

By Thomas
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

FILEM MENARIK WAJIB TONTON DI PAWAGAM SEPANJANG APRIL 2024

FILEM MENARIK WAJIB TONTON DI PAWAGAM SEPANJANG APRIL 2024

Bacaan Lanjut
JOE FLIZZOW HADIAHKAN BERLIAN BUAT PEMINAT

JOE FLIZZOW HADIAHKAN BERLIAN BUAT PEMINAT

Bacaan Lanjut
SEGALANYA TENTANG FILEM TERBARU MARVEL, THUNDERBOLTS

SEGALANYA TENTANG FILEM TERBARU MARVEL, THUNDERBOLTS

Bacaan Lanjut

RAIKAN AIDILFITRI DENGAN KOLEKSI BAJU RAYA PILIHAN GLAM LELAKI

Bacaan Lanjut
LEONARDO DICAPRIO & VITTORIA CERETTI CETUS SPEKULASI PERTUNANGAN DENGAN CINCIN BERLIAN

LEONARDO DICAPRIO & VITTORIA CERETTI CETUS SPEKULASI PERTUNANGAN DENGAN CINCIN BERLIAN

Bacaan Lanjut
PUTERA HARRY TERKAIT DALAM KES SAMAN SERANGAN SEKSUAL SEAN ‘DIDDY’ COMBS

PUTERA HARRY TERKAIT DALAM SAMAN SERANGAN SEKSUAL SEAN ‘DIDDY’ COMBS

Bacaan Lanjut