ALTIMET, ONE LAST HURRAH!

Inilah ultimatum peribadi Altimet. Hampir dua dekad beraksi di bawah lampu sorot arena hip hop, rapper ini sudah bersedia untuk mengundur diri. Melambaikan selamat tinggal pada pentas yang menjadi tapaknya berkarya selama ini. Namun, ini bukanlah satu titik noktah. It’s a new beginning.

Dalam antologi industri seni tanahair, pertandingan Anugerah Juara Lagu Ke-32 yang berlangsung awal tahun ini boleh dilambangkan sebagai pembukaan jilid baru dalam hikayat senario muzik tempatan. Kerana bila dibandingkan dengan edisi-edisi terdahulu, AJL32 menampakkan kemunculan lebih ramai bakat-bakat baru yang mungkin kurang dikenali sebelum ini: tujuh daripada 12 finalis yang bersaing adalah first-timer di AJL. Yang juga rata-ratanya berusia di bawah 30 tahun — Haqiem Rusli (20), Ara Johari (21), Khai Bahar (24), Syamel (24), Wany Hasrita (25), Ernie Zakri (26), dan Salma Asis (28).

Kehadiran generasi baru ini sudah tentu satu isyarat positif, menyuntikkan semangat yang segar ke dalam arena muzik kita, untuk menyambung legasi seni negara. Namun, biarpun bakat-bakat muda semakin rancak mewarnai industri, kelibat artis ‘veteran’ atau angkatan lama pula semakin jarang dilihat beberapa tahun kebelakangan ini. Baik di AJL mahupun di pentas seni secara amnya.

Mungkin berpunca daripada evolusi industri yang beransur digital dan yang kurang menitikberatkan produksi album. Atau pun kerana faktor usia, kalau tidak pun kerana fokus yang lebih tertumpu pada keluarga atau bisnes, ramai artis-artis lama sudah menyepi atau ‘slow down’ daripada kegiatan seni. Hanya segelintir saja yang masih rajin berkarya.

Antara ‘orang lama’ yang kekal aktif mengeluarkan material baru ialah rapper unggul, Altimet. Yang juga telah berjaya menjadi finalis AJL32 dengan mempertandingkan lagu Amboi. Iaitu lagu yang menerima sambutan cukup hebat di corong radio dan platform media sosial kerana liriknya yang sinis, disampaikan sebagai pesanan kepada kelompok perwira papan kunci yang pantas mengkritik, didukung pula video muzik berbentuk animasi-kolaj yang mencuit hati dan menghiburkan.

Mungkin ramai yang tidak tahu, tapi kali pertama lagu Amboi dipersembahkan malah diperdengarkan kepada umum ialah di majlis GLAM Lelaki Alphamen edisi ketiga. Yang berlangsung pada 24 November 2016, yakni 3 hari sebelum album Amboi dilancarkan dengan rasminya. Dengan persembahan yang dinamik dan bertenaga, Altimet — yang telah dinobatkan selaku salah seorang GL Aphamen ketika itu — berjaya mengubat rindu tetamu majlis yang sememangnya menantikan album baru daripadanya, menyusuri album Kotarayaku yang dikeluarkan dua tahun sebelum itu. Dengan irama berinspirasikan dikir barat, lagu Amboi terbukti menyengat hinggakan para tetamu terikut-ikut menyanyikan korusnya yang catchy, biarpun baru first time mendengarnya pada malam itu.

Seperti yang dijangkakan, album Amboi terbukti laku apabila berjaya menduduki tangga pertama di carta iTunes setelah pelancarannya. Di YouTube pula, video Amboi kini merekodkan sebanyak 4.4 juta tontonan. Lantas, berbekalkan sambutan ramai juga kekuatannya sebagai satu karya muzik yang bijak, pencalonan Amboi sebagai salah satu finalis di Anugerah Juara Lagu Ke-32 adalah amat deserving. Tidak disangkalkan lagi.

Cuma, apa yang menjadi tanda tanya peminat ialah corak persembahan yang bakal dipertunjukkan oleh Altimet di Axiata Arena, Bukit Jalil kelak. Kerana, sungguhpun sudah tiga kali bersaing di pentas AJL sebelum ini, pabila mempertaruhkan lagu Kalau Berpacaran bersama Ana Raffali dan Suhaimi Mior Hassan (AJL 26), Kalau Aku Kaya bersama Awi Rafael (AJL 28) dan Not For Sale bersama Stacy (AJL 30), tahun ini merupakan kali pertama Altimet tampil di AJL sebagai peserta solo.

Untuk bacaan lanjut dapatkan isu SEPTEMBER 2018 yang kini sudah berada di pasaran.

Teks: Aziz Draim / Penyelaras & penata gaya: Johan Kassim, dibantu Arie Sampornak & Efny Aziz / Arahan seni: Shane Rohaizad / Gambar: Chee Wei / Rambut & grooming: Sahir Sabri

 

Tags: , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.