LIMA TAHUN SEJAK PEMBENTUKAN LABELNYA, TSYAHMI, PEREKA TENGKU SYAHMI MEMBUKA CERITA PERIHAL PENGALAMANNYA MEMULAKAN BISNES FESYEN SENDIRI SAMBIL BERKONGSI KOLABORASI BARUNYA YANG BAKAL MENYERIKAN PENTAS MINGGU FESYEN KUALA LUMPUR HUJUNG BULAN INI KELAK.

“Dia memang kuat gelak, eh?” pereka bentuk grafik kami, Afiq, bertanya pada aku. Bagi mereka yang baru mengenalinya, itulah pemerhatian yang lazim dibuat berkaitan pereka Tengku Syahmi, atau nama penuhnya Tengku Mohamed Syahmi Bin Tengku Mahmood. Tinggi (180cm) , tampan dan begitu natural memberi ‘pose’ di depan kamera, pabila dirakam dalam medium gambar Syahmi dilihat sebagai seorang jejaka yang segak dan serius. High fashion lah, katakan. Di sebalik lensa kamera pula, Syahmi sangat mudah geli hati. Sungguhpun malam sudah beransur lewat, suasana penggambaran kami kekal bertenaga dan gamat dengan dekahan ketawa Syahmi yang tak putus-putus. Dan pabila dia tergelak, dia gelak besar. Hinggakan bergema satu studio.

Syahmi sendiri sedar akan efek ketawanya. “Dulu masa study di Raffles, bila saya gelak kat kantin pun, saya rasa satu kolej boleh dengar kut, haha,” akui Syahmi. Mempelajari Seni Reka Fesyen di Institut Seni Reka Raffles Kuala Lumpur – di mana dia duduk satu kelas dengan pereka-pereka Ezzati Amira, Jonathan Liang dan Silas Liew – Syahmi punya jiwa artistik sejak kecil lagi. “Saya memang minat melukis dari dulu lagi, dan asalnya memegang harapan untuk menjadi seorang artis seni lukis,” Syahmi mula bercerita. “Tapi ibu saya tak bersetuju, risau nanti saya kebuluran, haha. Jadi dia cadangkan untuk saya jadi arkitek, senang buat duit. So fesyen tak pernah terlintas pun di otak saya masa tu.”

Namun, tanpa diduga, Oprah Winfrey bakal merubah segala-galanya. “Satu petang, saya menemankan ibu saya menonton The Oprah Winfrey Show. Dalam rancangan itu, Oprah menemubual Esteban Cortázar, pereka muda yang masih di sekolah menengah namun sudah punya jenama dan karier fesyennya sendiri. Gianni Versace adalah salah satu mentornya.” Di usia 18 tahun, Esteban Cortázar merupakan pereka paling muda yang pernah mempersembahkan koleksinya di Minggu Fashion New York. “Saya baru 12 atau 13 tahun ketika itu,” sambung Syahmi. “Tapi melihat Esteban bekerja, daripada idea dan lakaran, kepada merealisasikan rekaannya, membuat saya terfikir, Hmm, maybe I can do fashion.

Maka bermulalah misi anak kelahiran Kuala Lumpur ini dalam mempelajari selok-belok dunia fesyen. “Selepas tu lah all the Vogues and Bazaars came into the picture, haha. Majalah i-D pun cukup popular ketika itu. Saya ni jenis kalau saya nak buat sesuatu, I want to know everything about it. Sekurang-kurangnya saya boleh tahu apa yang saya suka and apa yang saya tak suka. Perjalanan saya dalam membentuk stail dan hala tuju estetik saya sendiri.”

Dan dalam merancang karier fesyennya, Tengku Syahmi, yang baru mencecah usia 29 tahun pada Mei lalu, memandang pada idolanya sebagai inspirasi. “Saya amat mengagumi Yves Saint Laurent. Bukan saja pada kisah hidupnya tapi juga kerjanya. Di kemuncak kerjayanya, dia cukup revolusioner. Dia merubah hala tuju dunia fesyen pabila beralih daripada Couture kepada ready-to-wear sekitar ’60-70-an dulu. That was quite an achievement jadi niat saya mula-mula pun mahu membawa perubahan sebegitu di Malaysia. Kononnya lah, haha.”

Impian sebegitu gah lahir daripada pemerhatian Syahmi terhadap senario fesyen lokal yang lebih tertumpu pada rekaan gaun malam. “Zaman tu kita ada Rizalman, Tom Abang Saufi, Michael Ong, Bernard Chandran, dan Melinda Looi baru meningkat naik – all legends and icons! Dan kebanyakan daripada mereka mencipta evening wear. Pada minda saya yang masih mentah, saya fikirkan fokus pada evening wear itu kurang progresif dari segi inovasi dan desain, atau fesyen secara am.  Sampai bila kita nak buat mermaid- cut atau bias- cut je, kan?”

But then again, that was me observing. Tapi bila tiba masa untuk saya jalankan bisnes saya sendiri pula, it was easier said than done lah, haha. It was a big slap to my face jugalah. Dulu saya yakin saya tak akan buat gaun karpet merah, atau busana perkahwinan sekali pun. Ceh! Nak sangat jadi macam YSL, making the change and being the change that I want to see. Tapi bila tiba realitinya, f**k! Haha.”

Untuk bacaan seterusnya, dapatkan edisi Ogos 2019 yang kini sudah berada di pasaran….