Skip to content

“JANGAN RENDAHKAN MARUAH DIRI” – ZUL ARIFFIN

Kongsikan artikel ini
Teks & Penata Gaya: Azreezal Hafidz
Gambar: Chuan Looi / Yipieyaya Studio
Zul-Ariffin4

Mungkin Zul Ariffin sendiri tidak menyangka bahawa selepas drama bersiri Rindu Awak 200% (ditayangkan melalui slot Akasia TV3), namanya akan melonjak naik sampai begini sekali. Media sosial, blog hiburan dan media cetak tidak melepaskan peluang menulis dan memaparkan Zul dalam medium mereka. masing-masing berebut-rebut mahu menjual produk mereka dengan mengasosiasikan diri dengan Zul. Ini memang lumrah orang terkenal apalagi selebriti yang punya nama dan kemasyhuran. Zul pernah membayangkan ketika usianya 23, bahawa dia akan mendapat peluang besar dan mencipta namanya pada umur 28. Dan memang betul bayangannya itu menjadi kenyataan. “Ada antara pelakon lelaki lain yang mendapat kemasyhuran waktu usia 35. Tapi saya mendapatnya agak awal seperti yang saya bayangkan.”

Zul saya wawancara di LAPA, kafe baru di Bangsar. Belum sempat bermula, dua gadis datang menghampiri Zul. “Boleh ambik gambar?” Tanya salah seorang daripada mereka. Zul senyum sahaja. “Ya, ya boleh.” Saya menawarkan diri untuk menolong. Saya tak nampak monopod di tangan mereka. Takkan nak biarkan seorang demi seorang pula ambil gambar. Lambat pula kami boleh mula berbual nanti. “Kamu dah biasa dengan populariti sebegini? Ke mana-mana ada orang menghentikan dan menegur mahu ambil gambar atau minta autograf?” “Jujurnya untuk mana-mana selebriti pun, you will never get used to it. Memang benar ada yang tak suka dan rimas dengan permintaan peminat nak ambil gambar tak henti-henti. Tapi saya terus belajar. Lihat sudut positif. Belajar menerima dan menikmatinya. Asal jangan ambil gambar curi-curi. Kalau minta baik-baik, tentu saya akan kata ya.”

Menjadi bintang di mata umum juga banyak kesukaran di Malaysia atau di mana-mana pun. Media terdorong menggembar-gemburkan berita yang tidak elok tentang bintang terkenal. Seperti kontroversi Zul bergambar dengan seorang wanita di kelab di Langkawi. Banyak blog-blog gossip memperbesar-besarkan isu ini. Zul percaya ada cara menanganinya. “Saya mendapat nasihat daripada aktor senior yang kata, ‘the more famous you get, the more quiet you should be’. Sebelum anda famous, tak ada siapa yang nak dengar apa yang anda nak cakap. Tapi bila dah terkenal, silap cakap sahaja akan memakan diri anda semula. Jadi saya perlu berhati-hati dengan pendapat sendiri. Tak boleh main cakap sahaja ikut suka.”

Dan kerana populariti juga, tentu akan ada banyak pihak yang cuba mengeksploitasi dan mengambil kesempatan. Zul seperti yang dia ceritakan pada saya amat berhati-hati dengan isu ini. Dia tidak suka orang mengambil kesempatan ke atas dirinya. “Saya tak gentar menarik diri daripada apa-apa projek jika saya rasa diri saya cuba dieksploitasi. Macam malam semalam saya ada meeting dengan satu pihak di mana kata mereka nak kumpul derma untuk tujuan amal. Kata mereka peminat boleh datang dan ambil selfie dengan saya dan mereka akan kenakan bayaran. Saya tak setuju. Mengapa peminat perlu bayar untuk ambil selfie dengan saya. Mereka akan benci saya bukan mereka. Saya tak nak ini terjadi.”

Bukan senang untuk Zul belajar menolak dan meletakkan harga pada diri. Bersikap jujur dan melafazkannya kepada semua. Ada yang boleh menerima tetapi ramai pula yang akan mengata. “Ya, saya belajar ini semua. Tapi itulah, kita perlu menghargai diri sendiri, menghormati dan sayang diri sendiri. Orang akan kata kamu ego tapi ini bukan ego. Jangan sampai merendahkan maruah diri kamu untuk memuaskan hati orang lain. Tak berbaloi pun. Yang penting ialah kamu bekerja keras dan demand. Kamu harus berani. Kerana itu saya kagum dengan aktor-aktor senior seperti Remy dan Aaron. Mereka kerja keras untuk mencapai tahap mereka. Bersaing secara sihat sesama sendiri dan meningkatkan standard profesional dalam industri ini. You don’t hope for the best but work for the best.

Zul-Ariffin

Walaupun permulaan Zul dalam industri seni negara bukanlah dalam nada yang positif tetapi dia tidak pernah patah semangat malah terus usaha mencipta nama. Namanya mula-mula dikaitkan dengan kontroversi bersama rumah tangga Abby Abadi. Tiada siapa benar-benar mengenali Zul sebelum itu. Dia ada berlakon beberapa kali sebagai watak ekstra dalam drama waktu itu. Melihat pelakon-pelakon utama berlatih skrip dan bersedia di set penggambaran membuat Zul pantas tertarik dengan dunia lakonan. Sedangkan dia sebenarnya tidak tahu apa-apa tentang berlakon. “Saya suka tengok proses pelakon rehearse line mereka. Tengok krew menyiapkan pencahayaan dan kerja-kerja kamera,” cerita Zul. Memang pun Zul suka menonton filem tapi hanya setakat itu sahaja. Kerana tidak ada wang untuk mengambil kursus pendek atau belajar lebih mendalam tentang dunia lakonan, dia mula membeli buku-buku dan belajar dengan menonton youtube. Menunggu masa hari demi hari, bulan ke bulan untuk big break nya tiba.

Pada ketika dia rancak menjadi ekstra itu juga, Zul masih belajar di kolej bermula dengan jurusan seni halus kemudian tidak sesuai bertukar kepada seni grafik. Bersama teman wanitanya waktu itu mereka berdua galak mendorong sesama sendiri. Dia untuk lebih banyak membuat TV komersial dalam masa sama dan Zul pula menyokong teman wanitanya melibatkan diri dalam dunia modeling. “Oh siapa teman wanita kamu itu…?” saya bertanya kerana katanya hari ini bekas teman wanitanya itu sudah terkenal dan berjaya dalam arena modeling. “Dia pernah tampil dalam GLAM. Berkulit gelap.” Saya tidak dapat mengagak. Dalam nada berbisik dia memberitahu, “Rita Suraya.” “Oh dia bekas teman wanita kamu?” saya terkejut. “Ya dia belajar fotografi di kolej sama. Kemudian kami berpisah. Waktu itu saya hanya tahu nak berlakon sahaja. Tak ada minat nak sambung belajar lagi. Saya tak tahu nak buat apa dah. Ini sahaja yang saya tahu buat. Selepas lima tahun alhamdulillah saya masih ada di sini. Biarpun susah nak keluar daripada kepompong kontroversi yang melanda satu demi satu, saya berusaha sendiri memeranginya. Selepas setahun dua, saya bersih.”

Jadi Zul tidak langsung berniat mahu menjadi pelakon. Hanya kerana dia mahukan wang dan sudah tidak berminat mahu terus belajar dia menyertai dunia lakonan. “Mungkin juga ia sudah ditakdirkan begitu. Dari filem-filem yang saya tonton saya belajar berlakon. Jika kamu betul-betul mahukan sesuatu itu, pasti kamu boleh mencapainya.”

Zul-Ariffin3

“TV3 BANYAK MEMBANTU MENAIKKAN NAMA…”

Drama bersiri Rindu Awak 200% menaikkan nama Zul ke tangga teratas. Dia banyak berterima kasih kepada TV3 untuk populariti yang dimiliki hari ini. Kata Zul mengenai TV3, “Tentunya TV3 memberi saya peluang dan populariti saya hari ini. Setiap hari muka saya keluar TV sejam dalam drama bersiri ini. Memang saya popular kerana peluang daripada TV3 ini.” Maka untuk Dramafest, Zul berkongsi popularitinya untuk membawa projek ini lebih ke depan. Dia menggunakan kemasyhurannya untuk mempromosikan projek ini.

Zul mendapat lebih populariti dan TV3 memperoleh lebih publisiti dan ‘kecoh’ daripada pembabitan Zul. Biarpun ini kali kedua Zul terlibat dengan Dramafest, tahun ini pembabitannya lebih besar kerana tahun lepas Zul hanya tercalon di majlis anugerah Dramafest. Zul juga mengakui peri penting pelakon hari ini dalam mempromosikan produk dan hasil kerja mereka. Baginya ini standard yang perlu dipertingkatkan setiap kali ada produk baru yang diperkenalkan. Aktor perlu menarik perhatian dan minat penonton atau peminat. Itu sesuatu yang aktor hari ini perlu tahu. Melalui media sosial, aktor perlu mempromosikan produk mereka. “Saya aktor pertama yang trending di media sosial. Tapi ini bukan bermakna saya ini pentingkan diri sendiri, hanya menolak diri sendiri sahaja ke depan. Saya menganggap ini bagus untuk mencipta ruang persaingan yang sihat antara aktor-aktor lain. Dan usaha ini bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk produk yang diketengahkan. Pabila stesen TV berpuas hati dengan usaha dan populariti yang anda cipta, mereka pasti memberi lebih peluang dan pendedahan. Drama lakonan anda terkenal untuk stesen TV itu juga. Berlakon hari ini bukan hanya mengenai kraf anda sahaja. Banyak lagi medium lain yang perlu kita kuasai.”

“PEMINAT BERKUASA”

Pada permulaan nama Zul mendapat perhatian dan diperkatakan, dia mengakui dia sering tidak senang duduk. Seperti ada anxiety attack kerana terkadang-kadang walau duduk di rumah dia tidak akan berhenti melihat telefon memastikan jika ada berita-berita buruk yang ditulis mengenainya. Apabila pendedahan itu terlalu besar, dia sendiri tidak tahu apa yang patut dilakukan. “Apabila dapat projek… patut atau tidak saya terima projek itu? Apakah peminat tidak akan suka lagi dengan saya lepas ini? Apa yang mereka mahu saya buat? Sampai jadi buntu. Tetapi peminat saya sangat menyokong saya selama ini. Mereka merubah hidup saya sepenuhnya. Sesetengahnya sangat mengambil berat tentang saya. Tidak pernah saya sangka pun mereka akan sampai ke tahap ini. Mereka buat laman web untuk saya. Mereka sangat berkuasa. Jadi saya salurkannya dalam bentuk positif. Saya kata pada diri, kalau saya menang anugerah atau apa-apa sahaja yang buat untuk kerjaya saya, saya buat untuk mereka. Bagi saya ini meletakkan lebih makna pada setiap pekerjaan saya.”

Zul juga sedayanya untuk tidak terbawa-bawa dengan populariti yang dimiliki. Dia sedar dia perlu bijak mengawal perasaan dan tindak-tanduknya. “Tapi untuk bijak mengawal populariti ini, kamu perlu benar-benar kenal diri kamu bukan?” tanya saya. “Ya saya setuju. Walaupun saya tahu populariti itu saya miliki tapi saya tidak sama sekali hilang jati diri. Kalau ada sesetengah perkara yang saya tak mahu buat, saya takkan buat. Tidaklah bermaksud kerana saya terkenal, saya perlu berikan kelonggaran dan buat apa sahaja yang orang mahukan.”

Kerana Zul sedar akan kuasa peminatnya juga dia bercadang untuk bersama-sama dengan mereka membuat projek-projek yang akan menguntungkan komuniti. “Dalam masa tiga bulan lagi mungkin, bersama-sama peminat saya akan memulakan dana yang boleh membantu masyarakat. Saya tidak mahu dikenali sebagai pelakon sahaja selepas ini.”

Zul-Ariffin2

“SAYA MEMBESAR DI TAIPING”

Pada saat ini, sebotol air kosong yang dihidangkan di atas meja di LAPA sudah habis diminum kebanyakan oleh Zul. Cerita panjangnya pantas membuat mulutnya kering. Orang masih banyak di kafe ini makan dan minum sambil bercerita tapi sedetik pun saya tidak membiarkan Zul berhenti berbual. Sementara dia suka bercerita ini, saya mahu dia menceritakan semua sekali tentang dirinya.

Pada hari penggambaran, hampir tamat penggambaran kakak Zul datang menjemputnya untuk ke acara pelancaran deodoran Nivea di mana Zul adalah salah seorang daripada wajahnya. Kerana kakak sulung Zul, Hanim nampak lebih Pan Asia saya bertanya kepada Zul, “Kamu ada darah kacukan?” “Ya, ayah saya Melayu tapi emak saya berdarah kacukan Belanda.” “Oh patutlah kamu tidak nampak seperti Melayu tulen sangat.” “Kalau kamu tengok anak saudara saya lagi ketara darah kacukannya.”

Zul membesar di Taiping. Saya terkejut kerana tidak sangka Zul membesar di pekan kecil. “Kakak kamu kata kamu baby dalam keluarga…?” “Aah… saya anak bongsu. Jarak usia antara abang sebelum saya agak jauh, 11 tahun. Jadi waktu saya membesar di Taiping, abang-abang dan kakak-kakak saya tidak ada di sana. Mereka semua di sini, di Bangsar. Saya membesar sebagai ‘anak tunggal’.” Ditanya sama ada dia masih pulang ke Taiping berjumpa ibu bapanya Zul menjawab, “Ya mereka masih di sana tapi sebab mereka juga kerap datang sini, saya jarang pulang. Taiping pekan yang senyap. Banyak hujan kat sana. Banyak juga kawan-kawan saya di sana lagi. Saya membesar lebih sebagai budak kampung. Pergi memancing, main bola, naik basikal. Kebanyakan orang Taiping kenal saya sebab saya memang tak duduk diam di rumah. Saya bukan jenis nerdy. Saya outgoing. Walaupun masa saya kecil, banyak orang Taiping rupa saya tak macam Melayu tipikal. Tapi saya rasa sama. Mungkin sebab kulit gelap dan banyak bermain dengan kanak-kanak lain di sana saya tak nampak bezanya. Semakin besar, kulit semakin cerah dan gaya hidup juga berubah, kini ada benarnya kata-kata mereka tu.”

Abang dan kakak Zul juga rajin menerima tawaran berlakon iklan komersial. Antaranya ialah iklan rokok Peter Stuyvesant. “Hanim berlakon dalam iklan tu. Waktu tu, iklan rokok masih belum diharamkan lagi.” Ya zaman di mana berlambak-lambak iklan komersial tempatan yang menampilkan wajah-wajah Pan Asia. Saya ingat zaman itu. Zaman di mana Malaysia lebih liberal dan tidak terlalu sempit pemikirannya seperti hari ini.

*Artikel ini disiarkan dalam GL edisi Mac 2015

By Thomas
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

FILEM MENARIK WAJIB TONTON DI PAWAGAM SEPANJANG APRIL 2024

FILEM MENARIK WAJIB TONTON DI PAWAGAM SEPANJANG APRIL 2024

Bacaan Lanjut
JOE FLIZZOW HADIAHKAN BERLIAN BUAT PEMINAT

JOE FLIZZOW HADIAHKAN BERLIAN BUAT PEMINAT

Bacaan Lanjut
SEGALANYA TENTANG FILEM TERBARU MARVEL, THUNDERBOLTS

SEGALANYA TENTANG FILEM TERBARU MARVEL, THUNDERBOLTS

Bacaan Lanjut

RAIKAN AIDILFITRI DENGAN KOLEKSI BAJU RAYA PILIHAN GLAM LELAKI

Bacaan Lanjut
LEONARDO DICAPRIO & VITTORIA CERETTI CETUS SPEKULASI PERTUNANGAN DENGAN CINCIN BERLIAN

LEONARDO DICAPRIO & VITTORIA CERETTI CETUS SPEKULASI PERTUNANGAN DENGAN CINCIN BERLIAN

Bacaan Lanjut
PUTERA HARRY TERKAIT DALAM KES SAMAN SERANGAN SEKSUAL SEAN ‘DIDDY’ COMBS

PUTERA HARRY TERKAIT DALAM SAMAN SERANGAN SEKSUAL SEAN ‘DIDDY’ COMBS

Bacaan Lanjut