KEAZAMAN DANIEL WOODROOF

Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on StumbleUpon

Daniel Woodroof mampir ke studio bersama kereta Volkswagen siap helmet pemandu F1 pada sebelah tangannya. Ada banyak perkara tentang Daniel Woodroof. Biar dia ceritakan satu persatu. “Saya lebih dikenali ramai sebagai pemandu kereta lumba. Selepas itu, masyarakat mula mengenali saya di kaca TV, itu menyerlahkan satu sisi persona saya yang berbeza. Saya juga menjalankan kerja separuh masa di APW, Bangsar sebagai Eksekutif Projek Vision Division. Kesimpulannya, itu hal tentang saya buat masa ini.” Pengenalan yang jelas dia berikan. “Tapi bagaimanakah semua ini bermula?” tanya saya. “Saya mulakan kerjaya berlumba ini sejak umur 12 tahun dan matlamat saya sentiasa mahu masuk di arena Formula 1, itu impian saya yang takkan padam. Tapi pabila menginjak dewasa, anda akan faham bagaimana rencah hidup.

PESAN SI MUDA KEPADA YANG BARU

“Don’t put all your eggs in one basket,kerana saya rasakan hal ini sangat penting. Terutama sekali jika anda gemarkan sukan profesional, belajar seimbangkan diri, segalanya bukan tentang satu spesifik kerja. Skil anda harus diperluaskan jika ingin sukses dalam hidup dan buat sesuatu yang berbeza. Juga, harus ada jambatan yang baik dengan media. Kesukaran mendapat tajaan dan wang untuk terus bertahan dalam arena lumba kereta membuatkan saya harus menggali apa saya cerlak sebagai satu pintu rezeki baru. Oleh sebab itu saya mencuba bidang pengacaraan, walaupun menjadi hos tidak pernah menjadi minat saya. Tetapi kini saya enjoy melakukannya,” jujur Daniel. “But you have the talent”, nyata saya. “Orang katakan saya ada bakat itu ketika saya menjawab temuramah di litar, hingga diberi kepercayaan untuk mengendalikan sendiri rancangan TV. Ini semua bukti saya telah mencuba perkara lain ketika di usia masih muda. Bukan apa, kesemua ini untuk mencerahkan peluang kita di masa akan datang. Anda mungkin gemar dan hebat lakukan perkara lain, tetapi disebabkan anda mencuba banyak perkara ia membuka peluang dan merubah impian dan arah hidup kita secara total, siapa tahu?” “Jika kamu kembali ke garisan awal dalam hidup, apa tiga perkara berbeza yang kamu mahu lakukan?” tanya saya. “Oh God,” ucapnya sambil berfikir.

“Secara jujurnya, saya tidak akan lakukan apa-apa yang berbeza dengan apa yang telah saya jalani dalam hidup setakat ini. Walaupun saya telah lakukan banyak perkara dan kesilapan, juga banyak momen kegagalan. Saya fikir segala perkara buruk yang telah dialami menjadikan ia pengajaran dalam hidup. Kerana tanpanya, kita tidak boleh belajar tentang apa pun untuk menjadi orang yang berguna,” jelas Daniel yang pernah mengalami kemalangan juga berlaku beberapa ‘insiden panas’ dalam hal perlumbaan tapi dia banyak memperbaiki kesilapan daripada momen tersebut.

ALANGKAH BAIKNYA

…jika segala yang terjadi peristiwa manis saja. Namun, kita harus akur bahawa kita hanya insan biasa yang mesti berhadapan dengan berbagai rencah hidup untuk menambah warna kehidupan. Di sebalik kisah kejatuhan, Daniel ada detik-detik yang membanggakan dirinya dalam tiga kerjaya. “Momen yang membanggakan pada saya ketika berlumba di Kuala Lumpur Grand Prix, di mana litarnya sekitar Jalan Ampang dan sekitar bandaraya KL. Ketika itu ramai yang dapat lihat apa yang saya usahakan selama ini. Saya rasakan ia bagai di Litar Formula 1, seakan impian yang menjadi kenyataan. Kedua, dalam bidang hiburan pula, saya berjaya laksanakan program berepisod Go Fast or Go Home (di rangkaian Go Asean). Ia bagaikan kemunculan perdana dan apa yang saya tonjolkan segalanya tentang dunia permotoran. Hal yang saya gemar. Saya jadi diri sendiri di hadapan kamera.” “Sebagai seorang anak pula?” tanya saya lagi. “Segalanya yang saya buat ingin memastikan kedua orang tua saya bangga. Contohnya dengan bapa saya, ada satu perlumbaan yang jatuh pada Hari Bapa.

Ayah saya membiayai segalanya di sukan berlumba sejak saya menceburkan diri dalam bidang ini. Pelumba lain meletakkan pelekat kompeni yang menaja mereka pada sisi kereta mereka. Saya tidak punya penaja lain kerana ayah saya tanggung kesemuanya. Jadi, hari itu saya buat pelekat besar yang tertulis “I Love Dad”, dia tidak tahu tentang hal itu hingga dia turun ke litar dan melihatnya sendiri. Kebetulan saya menjuarai perlumbaan pada hari itu. Itu merupakan hadiah Hari Bapa paling bermakna padanya. Ibu saya pula merupakan peminat nombor satu saya, dia sentiasa ‘like’ dan ‘share’ semua berkaitan saya di media sosial, hantar gambar-gambar kepada saya jika terlihat saya dipaparkan di mana-mana. Melihat ibu saya tersenyum sudah cukup menjadikan segalanya bermakna pada saya,” kata Daniel yang benar-benar maksudkan katakatanya. “Jika kamu mempunyai masa 24 jam untuk hidup. Apa yang kamu mahu lakukan?” tanya lagi. “Sudah tentu saya akan meluangkan masa dengan keluarga. Hidup ini singkat, saya banyak meninggalkan keluarga saya selama sibuk mengejar kerjaya. Ibu, ayah dan adik, tiga orang ini merupakan insan terpenting dalam hidup saya, saya mahu sentiasa berada disisi mereka,” ujarnya ikhlas.

WAWASAN BARU “Saya impikan impian terbesar dan bermacam-macam. Saya bekerja langkah demi langkah untuk mencapainya. Kini, saya ada tiga matlamat yang ingin dicapai untuk maju iaitu dalam sukan perlumbaan, hiburan juga bisnes. Semua ini berjalan seiring kerana saya tidak tahu apa yang akan terjadi di kemudian hari. Oleh sebab itu, saya tetapkan banyak matlamat dalam hidup kerana ia penting untuk masa depan,” akur Daniel yang tamak menakluk segala bidang. Jika ikut logika, bagaimana bisa bahagikan masa untuk membuat semua benda? Jawab Daniel, “Ia sukar! Saya rasakan tiga bulan lepas, saya hanya ada satu hari cuti pada hujung minggu. Kadang-kala tiada cuti. Saya gemar apa yang saya laksanakan kini walaupun ia meletihkan diri sendiri.” Kini saya mengerti, Daniel yang baru berumur 20 tahun ini cekal mencuri peluang di usia masih muda.

TUNGGU MASANYA

Sungguhpun dia sudah berkelulusan A-Level di Alice Smith British International School, Daniel belum sempat melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Mengapa? “Pabila pulang ke tanah air, sesetengah orang Malaysia sedikit stereotaip tentang pelajaran. Mereka mendesak untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Namun, peluang yang hadir pada diri saya terlalu banyak buat masa ini hingga tak menang tangan, jadi biarkan saya penuhi permintaan selagi ada peluang kerana saya boleh lanjutkan pelajaran ke universiti pada bila-bila masa. Segelintir masyarakat kita gagal memahami situasi ini. Mereka anggap ‘kamu harus dapatkan ijazah sekarang’. Saya lihat orang sekeliling saya, mereka bergelut dalam pelajaran.

Tapi bila habis belajar mereka tak tahu mahu bikin apa dalam hidup. Itu tidak bermaksud saya tidak mahu melanjutkan pelajaran saya ke uni, saya sentiasa mendapat tempat ke uni jika mahu pada bila-bila masa sejak lepas sekolah tinggi lagi. Seperti apa yang saya katakan, jika semua impian saya tidak terjadi, saya masih ada back-up iaitu sambung belajar. Dan saya tau saya akan gembira di uni.” Sambungnya lagi, “Ada beberapa perkara tentang orang berusia 40an yang bekerja di pejabat menyesal tentang hidup mereka iaitu mereka tidak puas mengeksplorasi berbagai benda. Saya takut itu terjadi kepada saya jika saya tidak mencuba segalanya sekarang. Salah satu perkara yang saya geruni dalam hidup ialah jika tidak mencapai sesuatu dalam hidup or not living my life to the fullest. Jadi saya lakukan sekarang dan tahu kita mampu teruskan perkara terbaik itu. Screw it, just do it!” tuturnya semangat.

Penyelaras & Penata Gaya: Ardi Idewani Zaini Pembantu: Abdul Aziz Draim Arahan Seni: Zulkifli Sulaiman & Ainudin Fikry Grooming: Fendi Sani Gambar: Eric (Blink Studio) Teks: Sufian Sapari Pakaian: Gucci Musim Bunga Panas 2017

 

 

 

 

 

 

 

Tags: , , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.