Skip to content

FOTO SINTESIS: Vincent Paul Yong

Kongsikan artikel ini

VINCENT PAUL YONG
JURUGAMBAR PROFESIONAL
& PENGASAS VPYP
instagram @vpyp

body-1

Nama Vincent Paul Yong tidak asing lagi di GL. Ingat lagi cover pasangan adik-beradik Aaron dan Matthew Chan untuk edisi September 2014? Itulah antara hasil kerja terawal Vincent bersama GLAM Lelaki. Yang terkini? Muka depan edisi Mac, Jun dan juga isu bulan ini.

Pejam celik sudah lebih daripada 10 tahun Vincent mengabadikan diri dalam dunia fotografi.

“Saya lebih dikenali sebagai jurugambar fesyen kerana karya saya lebih tertumpu terhadap fesyen dan potret manusia. Tapi sebenarnya, pabila ada masa, saya akan luangkan dengan mengambil gambar-gambar selain subjek fesyen. Pada saya, dengan cara ini, ia akan memberikan saya inspirasi dan semangat untuk menangkap gambar di masa akan datang,” ujar Vincent tentang keperibadiannya.

Cerita Vincent, dia mula menunjukkan minat terhadap fotografi ketika berumur 20 tahun. Setelah melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, Vincent semakin serius terhadap kerjaya sebagai jurugambar. Dia memiliki kamera digital dan mencuba mengambil apa jua gambar. Katanya, pada waktu itu dia belajar mengambil gambar hanya berpandukan ‘self-experimentation’. “Sama seperti remaja lain, setelah menginjak umur 21 tahun, barulah saya mula rasa risau akan masa hadapan saya dan masih tercari-cari nak melakukan kerja apa nanti. Sedang belajar di universiti, saya menghabiskan masa lapang dengan kerja separuh masa sebagai jurugambar.”

Sifat ‘ingin tahu’ yang ada dalam diri menggesakannya untuk meneruskan perjuangan dalam bidang fotografi, membuatkan Vincent untuk bersungguh-sungguh kala berkarya.

“Saya mula mengambil freelance job untuk pelbagai majlis sekitar ibu kota. Ada majlis fesyen, acara korporat dan sebagainya. Semua jenis tugasan yang ditawarkan saya terima. Yang sukarnya pula, terdapat ramai jurugambar bebas lain yang berkebolehan mengambil gambar cantik juga menawarkan pakej harga lebih rendah daripada saya. Logiknya, siapa nak upah jurugambar lebih mahal kalau hasil gambar lebih kurang sama, kan? Secara tak langsung, ia mewujudkan persaingan di antara jurugambar.”

Vincent menyambung, “I was at the lowest at that time. Banyak faktor lain yang menyebabkan persaingan di kalangan jurugambar. Disebabkan itu, saya kurang dapat job dan ia amat membimbangkan saya. Dan pada masa sama, saya melakukan kerja separuh masa bersama akhbar Malay Mail. Di Malay Mail, fotografi saya lebih tertumpu terhadap berita gaya hidup. Banyak juga ‘hardcore news’ perlu saya lakukan. Misalnya, sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia di Suria KLCC. Banyak juga cabaran terpaksa diharungi demi nak mendapat syot-syot terbaik sepanjang sambutan berlangsung. Terkadang-kadang juga, saya menghadiri acara awam dan acara protes seperti perhimpunan Bersih 2.0. Sebab apa, menangkap gambar fesyen dah biasa bagi saya dan saya ingin juga mencuba sesuatu yang lain. Kewartawanan foto turut menarik minat saya. Tetapi, ia lebih kepada sekadar minat sampingan dan alternatif mencari inspirasi kala berkarya.”

“Setelah mencuba dan mendalami pelbagai cabang fotografi, sekitar 2006, barulah saya sedar bahawa subjek kegemaran saya sebenar ialah fesyen,” ujar Vincent.

Menurutnya, tak mudah baginya untuk sampai dan kekal dalam industri fotografi tempatan. Katanya, portfolio amat penting bagi memacu kerjaya sebagai jurugambar. “Sebagai seorang jurugambar, portfolio mesti kuat. Dan nak membuatkan orang lebih mengenali you, kita perlu ada stail fotografi tersendiri. Kebanyakan editor berpendapat bahawa stail gambar saya terarah ‘experimental’. Umpama gambar-gambar dalam majalah Dazed & Confused.”

“Stail fotografi saya terarah quirky dan terdapat elemen komedi. Jujurnya, nak menemui stail fotografi itu bukan senang. Perlu belajar dan cuba pelbagai stail fotografi bertahun-tahun, barulah anda akan jumpa yang selaras dengan minat sendiri.”

“Saya menyarankan setiap jurugambar yang ingin berjaya, haruslah mencuba semua jenis stail fotografi.”

Menurut pemahaman Vincent terhadap bidang fotografi, seseorang jurugambar itu perlu fahami kehendak diri. Stail fotografi apakah yang diminati seiring dengan kebolehan mengambil gambar? Katanya, “You need to understand what you want. Kerana itu, saya menyarankan setiap jurugambar yang ingin berjaya, haruslah mencuba semua jenis stail fotografi. Seperti saya, buat masa ini saya gemar mengambil gambar seperti majalah i-D. Terdapat banyak jurugambar baru yang menampilkan sisi fotografi berbeza dalam majalah tersebut. Sehingga hari ini, saya masih cuba tukar stail fotografi. Tak elok juga jika terlalu selesa dengan satu stail fotografi sahaja. Ada kala baiknya juga, cuba stail lain. Nanti jikalau klien atau editor meminta saya cuba stail lain, saya boleh melakukannya. Taklah terkial-kial nanti.”

Mengimbas kembali kronologi kerjaya Vincent, dia berkata pengalaman mengambil gambar pereka fesyen Joe Chia ketika dia baru sahaja tamat pengajian antara memori tak mudah dilupakan sepanjang bergelar jurugambar profesional. Menurutnya, disebabkan pengalaman itulah, dia menetapkan pendirian untuk terus bergelar jurugambar.

Antara highlight lain sepanjang Vincent bergelar jurugambar ialah pameran solo keduanya ‘What You See is What You Get’ yang diadakan pada tahun lepas. “Kami jangkakan lebih kurang 500 atau 600 orang yang akan hadir pada acara pelancaran. Rupanya 1,000 orang datang dan acara bertukar sesak. Pameran kali itu berbeza dengan pameran solo pertama (diadakan di Kinokuniya), di mana karya yang dipamerkan lebih beremosi dan menguji pemikiran pengunjung.”

Kongsi Vincent, sifat ‘ingin tahu’ yang ada dalam diri menggesakannya untuk meneruskan perjuangan dalam bidang fotografi. Ia juga membuatkan Vincent untuk bersungguh-sungguh kala berkarya dalam memastikan setiap syot diambil adalah yang terbaik. Bukan sekadar syot biasa. “The curiosity in me will never end. Banyak benda baru masih perlu dipelajari. Setiap hari akan ada perkara baru untuk ditimba.”

By Abdul Aziz Draim
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

5 BINTANG HOLLYWOOD BERKELULUSAN HARVARD

5 BINTANG HOLLYWOOD BERKELULUSAN HARVARD

Bacaan Lanjut
makanan Lelaki

5 MAKANAN YANG LELAKI PERLU ELAK UNTUK ZAKAR LEBIH KUAT

Bacaan Lanjut
FRED JEWELRY PILIHAN LELAKI MASKULIN

FRED JEWELRY PILIHAN LELAKI MASKULIN

Bacaan Lanjut

CARA HILANGKAN JERAWAT DENGAN CEPAT TANPA PARUT

Bacaan Lanjut

WARISAN BRITAIN DAN INSPIRASI UNIVERSITI KOLABORASI UNIQLO BERSAMA JW ANDERSON

Bacaan Lanjut

SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-40 G-SHOCK BERSAMA 88RISING

Bacaan Lanjut