Black: daripada protege kepada mentor

April 18, 2016

“APA JUGA YANG TERJADI, KITA PERLU INGAT, DARI MANA KITA DATANG? SIAPA YANG BANTU KITA? DAN JANGAN CEPAT MENDONGAK KE LANGIT.”

mac-lelaki-cover-story

Konsert akhir program Mentor Milenia pada 6 Mac 2016 yang lalu bertempat di Sri Pentas 2 Plaza Alam Sentral Shah Alam menampilkan seramai tiga finalis, antaranya adalah Waniey (Protege Black), Fareez (Protege Hazama) dan Qody (Protege Black). Fareez muncul juara Mentor Milenia membawa pulang RM100,000 dan trofi selepas menewaskan Qody di tempat ke-2 dan Wanie tempat ke-3.

Kedua-dua protégé Black berumur 21 tahun. Masing-masing ada kelebihan sendiri. Qody, nama protégé lelaki. Dia punya kelebihan key suara yang mampu mencapai nota tinggi dan gemarkan genre-genre lagu ’90-an. Bila range suara tinggi, dia mampu membawa apa jua jenis lagu. Protégé perempuan pula Wanie namanya, genrenya urban. Lagu-lagu terbaru dia mampu bawa dengan baik.

Temu bual GLAM Lelaki bersama Black sebelum konsert program Mentor Milenia 2016 berlangsung:

Bagaimana pendekatan Black dalam mengajar? Adakah garang dan menggunakan rotan seperti Mas Idayu?
“Mummy (panggilan mesra Black kepada Mas Idayu) punya karakter dia tersendiri. Saya lebih santai dalam mengajar. Saya tidak mahu protégé saya mengalami depresi ketika sesi pembelajaran kerana saya tahu apa yang mereka rasa. Jika kita terlalu menekan semasa mengajar terutamanya ketika dalam pertandingan, peserta yang tidak tahan dengan dugaan akan mudah terganggu. Semasa saya bersama Mummy, saya harus cekal kerana ini yang saya mahu. Saya lihat protégé saya sesuai dengan pendekatan serius tetapi santai dan tak perlu berkeras sangat.”

Sejauh mana Black nampak mereka boleh pergi?
“Saya rasakan peluang mereka dalam industri hiburan kita besar. In shaa Allah bila mereka keluar Mentor Milenia nanti saya jangkakan masing-masing punya single yang saya bikinkan sendiri dan single itu menjadi. Jika betul single itu menjadi, in shaa Allah mereka boleh pergi jauh. Saya yakin dengan kedua–dua protégé saya.”

Apakah pesanan Black kepada mereka (protégé)?
“Selalulah jadi diri sendiri. Apa yang saya dapat hari ini berkat daripada apa yang Mas Idayu ajar dahulu. Saya turunkan apa yang diajar kepada saya untuk protégé saya. Jadi dengar elok-elok. Apa juga yang terjadi, kita perlu ingat, dari mana kita datang? Siapa yang bantu kita? Dan jangan cepat mendongak ke langit.”

Apa yang perlu ada dalam industri muzik supaya ia lengkap?
“Semua dah ada dalam industri. Saya rasa cuma perlu ada kerjasama bersama semua artis untuk mempromosikan lagu masing-masing, ia membuatkan satu persaingan sihat. Dari segi persahabatan antara penyanyi kami semua baik. Tak macam pelakon, mereka selalu gaduh!.”

Pendapat Black tentang inisiatif GLAM Lelaki MUSIC GIVES BACK?
“Dengan acara sebegini sedikit sebanyak meringankan beban bagi yang memerlukan. Semua yang membuat acara ini dapat pahala, nama dan membuka mata banyak pihak kepada jenama GLAM Lelaki yang bukan sahaja mahu menjual produknya malah bermurah hati menolong badan-badan yang memerlukan.”

 

Tags: , , , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.