Oleh Wan Mohd Firdaus Basaruddin

tonyeusoff

Dalam ramai yang memperkata dan mengagumi bakat seni yang ditunjangi aktor berbakat besar ini, malang sekali tidak sampai seketika dirinya tercalit pula dengan kes dadah yang menggemparkan industri hiburan tanah air. Bagaimanapun, siapa kita untuk menilai? Apa yang penting, Tony Eusoff kini sudah pun bebas. Menganggap ianya suatu suratan takdir yang tidak bisa untuk diputar balik, beliau kini hanya ingin memandang ke depan dan enggan menoleh ke belakang lagi.

IBARAT DALAM NERAKA

Tidak boleh penulis bayangkan di saat jika diri akan dihumban ke dalam penjara. Pasti sukar untuk ditelan. Begitulah yang dialami oleh Tony Eusoff. Dijatuhi hukuman penjara di Singapura atas kesalahan memiliki dadah, beliau sendiri menyifatkan seolah-olah berada di dalam ‘neraka’ sepanjang tempoh penahanan tersebut dalam sebuah temuramah media baru-baru ini. Tony menjalani hukuman penjara di Singapura selama lima bulan sepuluh hari daripada tempoh lapan bulan yang sudah ditetapkan hakim atas kesalahan memiliki dadah, dan tanggal 1 Oktober lalu, beliau akhirnya bebas.

“Masa dirasakan bergerak amat perlahan. 10 minit pun saya tidak sanggup untuk menahannya. Sungguh azab bagaikan di neraka,” jelas Tony dalam laporan itu. Setelah mendapat tahu tempoh hukuman akan disingkat sekiranya berkelakuan baik, Tony berazam untuk menjaga kelakuan dan disiplin diri. Akui Tony, di saat dirinya dijatuhi hukuman, Tony merasakan bagai hidupnya menemui tanda noktah namun anak kelahiran Sarawak ini enggan terus dibuai perasaan dan membiarkan dirinya rebah begitu sahaja. Dia perlu bangkit!

TERHARU

Senario ketika namanya disebut sewaktu sebutan kes serta hukuman apa yang bakal dilaluinya, Tony merasakan ianya bagaikan dalam mimpi. Sungguh real sekali dan membuka matanya bahawa ini bukanlah babak drama mahupun filem. Mengimbas kembali saat itu, walaupun bersedih dengan apa yang bakal terjadi, Tony terharu melihat ramai daripada rakan serta peminat yang datang dari Malaysia dan Singapura hadir menghulurkan sokongan moral bagi Tony.

Pelakon dari Malaysia, Jehan Miskin, Lim Kay Siu dan Neo Swee Lin, penerbit filem Datuk Vinod Shekar dan Ivan Heng adalah antara rakan Tony yang berada di bilik mahkamah itu. Malah sahabat baiknya, Puan Sri Tiara Jacquelina turut menulis testimoni bagi sama- sama meringankan hukuman. Ketika itu, Tony merasakan dirinya cukup beruntung memiliki sahabat yang benar-benar berdiri di belakangnya.

TERUS MELNGKAH

Kini sudah masuk dua bulan selepas pembebasan Tony Eusoff dari menjadi tahanan penjara. Walaupun reputasinya sedikit tercalar dengan takdir malang yang menimpa, namun Tony Eusoff enggan berhenti dari melakukan apa yang diminatinya. Dah nama pun anak seni, Tony Eusoff enggan dikaitkan lagi dengan episod duka ini.  Yang berlalu biarkan berlalu. Berbicara ketika dirinya dinobat sebagai salah seorang GLAM Lelaki Alpha Men 2015, Tony yang juga meminati bidang seni suara selain seni lakonan dan teater muzikal berharap akan terus aktif. “Saya dahulu tidak didedahkan  dengan bidang nyayian. I came from a small town. Tetapi, saya sentiasa mahu menyanyi dan mencuba”. Jika dilihat di laman Instagram Tony Eusoff di @tonyeusoff, beliau kini dilihat semakin aktif memuat turun gambar rutin dan aktiviti harian seninya, malah sudah mempertimbangkan beberapa tawaran yang diterimanya.  GLAM Lelaki mendoakan dan mengharapkan Tony Eusoff terus kuat, tabah dan jangan pernah berhenti.