TRANSISI JALIL HAMID

Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on StumbleUpon

Keberadaannya suatu ketika dahulu bagaikan satu nama wajib dalam isi rumah yang mendambakan hilaian ketawa menerusi aksi lawaknya. Aksinya tidak pernah suram biarpun sudah puluhan tahun mengabadikan diri dalam dunia seni tanah air. Artis pelbagai bakat, Jalil Hamid yang sinonim dengan gelaran komedian tidak pernah putus menabur budi, bakat dan bakti dalam arena seni demi memenuhi jiwa kental seninya.

Jikalau disebut siapa komedian berpengaruh di Malaysia, nama Jalil Hamid tentunya tersenarai. Saya sifatkan Jalil Hamid bukan sekadar pelawak biasa yang kita selalu tonton di televisyen, he is a legendary actor. Karya dan keberadaannya sentiasa disanjung tinggi. Kemunculannya di mana-mana acara menerbitkan rasa teruja dan mengagumkan sesiapa sahaja yang berjumpanya. Bagi saya yang mengikuti kronologi kerjaya seni Jalil Hamid, mengagumi perjuangan seninya yang tidak pernah pudar.

Khusus generasi membesar sekitar ’90-an, tentunya ingat dan mengenali rangkaian watak ikonik yang pernah dijayakan Jalil Hamid. Kesungguhan Jalil Hamid melakonkan sesuatu naskhah itu patut dirujuk para pelakon generasi baru khasnya. Setakat ini tiada nama baru yang berdiri setanding Jalil Hamid. Terdapat banyak kecirian pada Jalil Hamid sebagai anak seni wajar dicontohi. Sehinggalah detik ini, Jalil Hamid masih berusaha memperjuangkan legasi seni tempatan dengan melibatkan diri dalam pelbagai cereka juga kerja-kerja seni penuh manfaat. Filem ikonik Queen Control (1992), Baginda (1997) dan Lelaki Harapan Dunia (2015) antara yang pernah dibintanginya.

AKTIVIS TEATER

Kata Jalil Hamid, minatnya yang mendalam terhadap bidang seni merupakan pacuan utama dia masih giat aktif berlakon. Jiwa seninya teramat kental. Dan tiada apa pun yang mampu memadam keghairahannya bergelar anak seni.“Saya meminati bidang seni dan gemar segalanya tentang perkembangan budaya. Keindahan sesuatu budaya itu sendiri saya suka mengamatinya. Sebab itulah, saya masih aktif dalam arus perkembangan masyarakat dengan melibatkan diri dalam pelbagai kerja seni, tidak kira di bidang apa sekalipun. Matlamat saya ialah untuk membantu golongan yang keciciran bertujuan mencari bakat muda terdiri daripada kalangan anak tanah perancangan berkenaan menyertai industri seni tempatan. Melalui Ikatan Seni Komuniti FELDA (ISKAF), ia memberi galakan kepada anak-anak FELDA ini sehingga mereka mampu menghasilkan produk sendiri, seperti filem pendek,” ujarnya.

“Sejak saya menceburi bidang seni, saya melakukan kerja seni itu tanpa memikirkan keuntungan diri. Dan sejak bergelar pelajar sekolah lagi, saya telah mula membangunkan aktiviti seni buat menarik minat orang setempat agar mendekati dunia seni. Tetapi, kalau nak dibandingkan antara dahulu dan sekarang, susah lagi di zaman sekarang. Sebab pelbagai cabaran perlu ditempuhi bagi mengadakan sesuatu program seni. Paling susah sekali ialah mahu mengumpulkan sukarelawan. Ini kerana generasi sekarang sudah terdedah dengan pelbagai minat dan medium hiburan. Kalau dulu-dulu, saluran hiburan itu terhad dan anak-anak muda tak banyak pilihan. Apa sahaja yang dihidangkan kepada mereka akan lebih mudah didekati.”

Jalil Hamid merupakan anak FELDA yang dilahirkan di Masai, Johor. Persekitarannya sewaktu membesar banyak dipengaruhi gaya hidup masyarakat Singapura pada waktu itu. Kerana lokasi asalnya berhampiran kota Singapura dan akibat itu dia berpeluang berkunjung ke sana sebanyak beberapa kali.

Beritahunya, “Tempat tinggal saya berdepan kota Singapura yang terletak di persisiran Selat Tebrau. Oleh itu, ia memberi saya kesempatan untuk kerap melawat Singapura. Secara tak langsung ia membentuk pemikiran dan gaya fesyen saya. Gaya hidup dan budaya orang kita agak berbeza dengan orang Singapura ketika itu. Masyarakat Singapura lebih moden dan lebih ke depan berbanding orang Malaysia.

“Disebabkan lokasi strategik dan berperanan sebagai pelabuhan utama pada ketika itu, Singapura mendapat pendedahan dari pelbagai aspek. Ingat lagi, ketika remaja, saya sudah menyarung seluar Levi’s warna putih. Orang-orang Malaysia pada waktu itu tak tahu pun jenama-jenama fesyen seperti Levi’s ni semua. Tetapi, saya dah pakai dulu,” cerita Jalil Hamid penuh teruja.

Mendengar kisah remaja Jalil Hamid, ternyata minat dalam bidang seni telah lama tertanam. Kehadiran aktivis-aktivis teater lokal pada ketika itu banyak merangsang minatnya terhadap lapangan seni lakon.

“Kawasan tempat saya membesar yakni Felda Cahaya Baru dikira terpencil. Tak banyak hiburan dan program menyeronokkan diadakan di sini. Tetapi, saya dan kawan-kawan mengadakan persembahan muzik di situ dengan alasan untuk menghiburkan orang kampung juga atas dasar minat kami dalam muzik. Kami juga pernah membina panggung dengan cara gotong-royong. Kalau zaman sekarang memang taklah. Orang-orang kampung pada ketika itu banyak menghabiskan masa lapang dengan menonton wayang padang yang menayangkan filem-filem Hindustan, koboi, filem Tamil dan sebagainya. Melalui itulah, saya banyak terdedah dengan dunia seni antarabangsa pula.”

“Dalam pada masa yang sama, terdapat aktivis teater seperti kumpulan Bangsawan dan Sandiwara yang menjelajah ke serata negeri termasuklah tempat tinggal saya bertujuan untuk mempersembahkan karya mereka. Kebetulan di FELDA, terdapat pentas bergerak yang pernah menampilkan pelakon teater seperti Ahmad Yatim, Zami Ismail, A.R Badul, Rahim Omar dan ramai lagi. Kala mereka mempersembahkan teater, ia telah memupuk minat saya dalam bidang teater pula. Entah bagaimana, saya terhibur menyaksikan setiap persembahan mereka. Bermulalah dari situ, saya diberi peluang untuk menyertai bengkel berlakon anjuran Jabatan Kesenian Johor dan sebagainya. Melalui itu saya banyak menimba pengetahuan tentang selok-belok lapangan teater.”

Sambung Jalil Hamid lagi, “Dan ketika aktivis-aktivis teater mengunjungi FELDA saya, saya mengambil peluang dengan mendekati dan berkawan dengan mereka kala sebelum mereka memulakan persembahan kepada penonton. Saya mula mengenali mereka secara rapat. Misalnya, Allahyarham Zami Ismail. Mendapat nasihat daripada ahli-ahli kumpulan ini, saya bertindak untuk melanjutkan pelajaran di bidang seni pentas di USM Pulau Pinang dan saya ‘enjoy’ mendalami ilmu persembahan seni pentas. Ia ternyata dekat dengan jiwa saya. Kemudiannya, saya berpeluang melibatkan diri dalam Taman Seni Budaya Johor yang pertama di Malaysia dan seterusnya modul tersebut berkembang ke serata negeri termasuklah Sarawak.”

Teks, Penyelaras, Penata Gaya & Arahan Seni: Johan Kassim | Grooming: May Ng/my Make Up & Academy | Gambar: Jason Lee | Pakaian: COS Musim Luruh/Sejuk 2017

Tags: , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.