“AMANAH PELAKON UNTUK KEKAL FIT” – PELAKON SASA & TAMPAN ISWAN ISMAIL KONGSI RAHSIA KEKAL CERGAS

Ketika artikel ini ditulis, penangan drama bersiri Cik Reen Encik Ngokngek sedang menjajah pengemar drama yang diadaptasi dari novel. Dilakonkan oleh pelakon-pelakon popular yang bukan calang-calang, padanlah drama ini digilai ramai termasuk penulis sendiri. Namun, selain gandingan serasi teraju utamanya, antara yang menarik perhatian adalah watak Iman yang dilakonkan oleh pelakon kacak dan sasa, Iswan Ismail.

Dan siapa menyangka, dengan susuk tubuh menawan beserta rupa boleh dikomersialkan, Iswan Ismail bakal menjadi satu ‘nama besar’ dalam industri seni lakonan tempatan. GL berkesempatan untuk menembual dan melakukan sesi pengambaran bersamanya disamping meminta Iswan untuk berkongsi rahsia sihat tubuh badannya.

GLAM Lelaki: Boleh anda ceritakan serba sedikit tentang diri anda?

ISWAN ISMAIL: Ok pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penulis GL kerana sudi menampilkan saya. Nama penuh saya Muhammad Iswan Bin Ismail dan saya seorang pelakon dan juga bekerja sebagai pakar hal ehwal peraturan (regulatory affairs specialist). Saya berasal dari Singapura dan kini membahagikan masa antara dua kerjaya profesional ini. Bidang saya adalah healthcare dan life science dan saya pernah bekerja di Kementerian Kesihatan selama 4 tahun. Saya anak kedua dari dua beradik. Seorang penggemar kucing. Saya juga seorang yang introvert tapi sangat fokus dalam apa saja bidang yang saya ceburi.

GLAM Lelaki: Bagaimana anda boleh terlibat dalam bidang seni lakonan?

ISWAN ISMAIL: Saya bermula sebagai model di Malaysia. Selepas itu ditawarkan watak extra dan dari situ saya mula berminat dalam bidang ini walaupun tidak pernah pun berlakon sebelum ini. Casting call pun saya pergi demi minat dan akhirnya dapatlah saya berlakon dalam siri drama Hero Seorang Cinderella. Melalui watak sebagai Luke ini, nama saya mula naik sehinggalah tertubuhnya fanclub – Iswanforce.

Sejujurnya, waktu itu saya tidak ada asas lakonan langsung jadi lakonan saya keras dan nampak tidak hidup. Saya turut dikecam kayu dan macam-macam lagi. Rasa nak putus asa sebab banyak kali casting, saya gagal. Saya pun mengambil keputusan untuk ke kelas lakonan Isma, ibu Fauziah dan Kak Ogy dan selama 3 bulan lebih, saya tak ambil mana-mana job dan fokus hanya untuk memperbaiki lakonan. Sekarang saya masih banyak lagi kena belajar, tapi alhamdulillah, lakonan saya semakin diterima ramai.

Sekarang drama saya Cik Reen Encik Ngok Ngek sedang ditayangkan. Jangan lupa untuk tonton, setiap isnin hingga khamis, 10pm di Astro Ria dan Ria HD.

GLAM Lelaki: Kongsikan serba sedikit perjalanan anda dalam melibatkan diri dalam dunia kecergasan?

ISWAN ISMAIL: Mengimbangi antara dua kerjaya menyukarkan saya mencuri masa untuk workout dek kepenatan dan jadual yang padat. Walau bagaimanapun saya perlu juga mencari masa yang bersesuaian. Saya mulai serius dalam dunia kecergasan bila workout bersama gym buddy yang mempunyai tujuan dan kepala/ perangai yang sama. Sesi gim tak lah rasa bosan dan kita saling memberi motivasi. Saya juga ada mengambil kursus personal trainer ACE untuk memperbaiki cara kita. Dan juga insyaAllah di masa hadapan adakan group fitness class sebagai jurulatih peribadi.

GLAM Lelaki: Pentingnya seorang artis dan pelakon untuk memiliki tubuh badan yang segak. Pandangan peribadi anda?

ISWAN ISMAIL: Sebagai seorang pelakon kita haruslah tunjuk contoh kepada semua. Tubuh badan segak, pemakanan sihat dan kekerapan senaman adalah perkara-perkara baik ingin tunjuk kepada peminat. Lagipun berlakon ini dalam long hours, jadi memang penting untuk saya terus kekal fit, supaya dapat bagi yang terbaik di set pengambaran. Lagi satu ia adalah tanggungjawab seorang pelakon itu menjaga imej untuk kelihatan menarik dan segak, jadi sedaplah mata penonton memandang.

GLAM Lelaki: Rutin senaman yang anda lakukan bagi mengekalkan kondisi tubuh.

ISWAN ISMAIL: Saya akan ke gim empat kali seminggu dan setiap hari saya fokus pada lain-lain anggota badan. Saya mengikut cara yang diajar sebagaimana kami belajar di kelas PT. Selalunya saya tak akan berada di gim lebih dari 1.5 jam.

GLAM Lelaki: Bagaimana pula dengan diet anda?

ISWAN ISMAIL: Saya mengamalkan diet intermittent fasting, di mana saya hanya boleh makan dari 10 am hingga 7-8 pm. Fast food pun saya tidak sentuh. Saya lebih suka masak sendiri. Saya dan gym buddy selalu bagi semangat dan ingatkan tentang pemakanan. Saya mengamalkan 1 hari cheat day seminggu untuk makan makanan kegemaran saya.

GLAM Lelaki: Nasihat anda buat mereka yang ingin berjinak-jinak dalam  bidang lakonan.

ISWAN ISMAIL: Nasihat saya adalah beranikan diri untuk pergi kelas lakonan dulu. Lepas itu jangan takut untuk bermula dari bawah. Bila ada asas lakonan yang baik, orang boleh notice di set dan selepas ini pastinya anda akan ditawarkan watak yang lebih besar. Dont give up!

Penyelaras / Teks / Konsep / Penata Gaya: Wan Mohd Firdaus | Foto: Instagram @fotobyali / www.fotobyali.com | Pakaian: GUESS dan UNDER ARMOUR | Lokasi: Xclusive Fitnesz Seksyen 13 Shah Alam / @xclusivefitnesz

#Bagi anda yang ingin tampil secara eksklusif dalam GLAMLELAKI.MY untuk ruangan Transformasi Zero 2 Hero, anda boleh PM atau DM Facebook & Instagram @glamlelaki, atau penulis di Instagram @wanmohdfirdaus.

Tags: , , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.