ARY ZAKARIA, OUR NEXT HOT INSTAGRAM FITNESS GURU

Ary Zakaria bukanlah seorang seleberiti namun namanya cukup gah dan dikenali dalam bidang fitness mahupun kecergasan tempatan. Buktinya, lihat saja akaun Instagramnya yang mencecah hampir 33 ribu pengikut. Dengan berkat tuah rupa yang diberi, Ary Zakaria mulai terkenal sejak aktif membina badan, apatah lagi sering berkongsi rahsia sihat tubuh badan bersama pengikut setianya. Jujurnya, sudah lama GL memerhatikan kelibatnya, dan akhirnya dapat melakukan sesi temubual dan fotografi eksklusif bersamanya. Dengan sikap humble and down to earth miliknya, padanlah Ary Zakaria is Our Next Hot Instagram Fitness Guru!

GLAM Lelaki: Boleh Ary ceritakan serba sedikit tentang diri anda?

ARY ZAKARIA: Terima kasih kepada GL dan penulis kerana sudi menemubual dan menjalankan sesi fotografi bersama saya. Baiklah, nama saya Huzairi Zakaria atau lebih mesra dipanggil Ary. Saya berasal dari Kedah Darul Aman, dan kini menetap di Selangor. Berumur 26 tahun, dan kini sedang menjalani pengajian di sebuah institusi pengajian swasta di Shah Alam. Saya seorang yang mudah ramah dan bergaul dengan semua orang.

GLAM Lelaki: Ary mulai terkenal di laman sosial media, khususnya Instagram apabila mencecah ribuan pengikut selepas mula aktif membina badan. Jadi boleh Ary ceritakan serba sedikit bagaimana boleh terlibat dalam dunia kecergasan?

ARY ZAKARIA: Ya, saya mulai menggunakan medium sosial media seperti Instagram, Facebook malah YouTube untuk berkongsi rahsia sihat tubuh badan bersama pengikut. Saya mula aktif dalam bidang kecergasan atas dasar minat dan sokongan dari rakan-rakan dalam industri sama. Tidak sangka pula, ramai pengikut mulai mengikuti perkembangan serta rutin yang saya amalkan, dan langsung tiada niat untuk mencari populariti.

GLAM Lelaki: Ceritakan serba sedikit tentang transformasi diri Ary dari dulu dan kini sasa dan tegap?

ARY ZAKARIA: Bermula dari tahun 2011 sewaktu menetap di Kuala Lumpur dengan hanya menaiki bas dari Jalan Ipoh ke Chow Kit seterusnya ke Wangsa Maju lima hari seminggu hanya semata untuk pergi ke gim dengan niat melakukan perubahan kepada bentuk fizikal. Apatah lagi berat badan saya hanya 38 kg sewaktu itu.

Pada tahun 2012, saya kembali menetap di Kedah dan dilatih oleh jurulatih kecergasan selama setahun dan berpindah ke Shah Slam pada tahun 2013. Pada tahun 2014 saya mengambil langkah pertama untuk mencuba nasib pada satu kejohanan badan cantik Mr. Meru tapi malangnya tersingkir awal. Berehat selama 2 tahun dari menyertai mana-mana kejohanan dan kembali beraksi pada tahun 2016 namun hanya menduduki Top 30 di semua kejohanan.

Pada tahun 2017 berjaya mendapat tempat ke 3 kategori bakat baru dan ke 6 kategori terbuka dalam salah satu kejohanan besar di malaysia Mr. Enrich 2017. Syukur. Pengalaman menyertai pertandingan bina-bina badan ini mencabar tetapi pengalaman yang diperolehi cukup berharga sekali buat saya.

GLAM Lelaki: Bagaimana pula dengan rutin kecergasan harian Ary?

ARY ZAKARIA: Rutin kecergasan yang saya lakukan lebih kepada “tempo” iaitu pengawalan pergerakan semasa melakukan senaman. Saya akan melakukan rutin saya dengan membahagikan setiap bahagian badan mengikut hari dan untuk senaman kaki saya melakukannya sebanyak 2 kali seminggu kerana kaki adalah bahagian yg paling lemah untuk saya. Bermula dari hari isnin (kaki), selasa (dada), rabu (bahu), khamis (belakang), jumaat (kaki), sabtu (tangan) dan ahad (rehat), enam kali seminggu.

GLAM Lelaki: Bagaimana pula rutin Ary semasa bulan puasa nanti? Ada tip dan panduan yang boleh dikongsikan bersama pembaca?

ARY ZAKARIA: Tiga kesalahan yang selalunya dilakukan sesama bulan Ramadan adalah tidak melakukan senaman, tidak makan dan rehat dengan cukup. Untuk senaman, saya sarankan untuk senaman sebelum berbuka. Kita akan mempunyai masa yang lebih lama untuk makan yang cukup. Boleh juga jika anda melakukan senaman selepas solat Terawih. Dari segi pemakanan adalah penting, muscle akan menjadi susut jika pengambilan kalori tidak mencukupi. Pengambilan kalori bergantung kepada individu. Untuk mendapat mendapat kitaran badan yang sempurna, rehat dan/atau tidur yang mencukupi adalah penting untuk proses tenaga dan muscle recovery.

GLAM Lelaki: Siapakah idola mahupun inspirasi anda dalam bidang kecergasan.

ARY ZAKARIA: Idola saya dalam dunia kecergasan adalah Steve Cook, Dickerson Ross dan Jeremy Buendia.

GLAM Lelaki: Apa yang anda ingin buktikan apabila anda mulai membuat badan dan terlibat dalam dunia kecergasan?

ARY ZAKARIA: Pastinya untuk memberi impak seterusnya menjadi inspirasi kepada semua orang. Saya juga ingin menjadi seorang yang sentiasa memberi motivasi pada mereka yang memerlukan.

GLAM Lelaki: Di mana anda melihat diri anda dalam bidang kecergasan dalam tempoh 5 tahun akan datang?

ARY ZAKARIA: Dalam masa 5 tahun akan datang saya berazam untuk menjadi seorang juara kejohanan Mens Physique di dalam dan luar malaysia. Saya juga akan menjadi seorang usahawan dalam bidang kecergasan yang berjaya. Doa-doakan saya ya!

GLAM Lelaki: Boleh kongsikan kenangan dan pahit manis dalam dunia kecergasan ini?

ARY ZAKARIA: Dalam bidang ini, bagi saya setiap cabaran itulah kenangan pahit yang menguatkan semangat. Namun, sebelum saya terlibat dalam dunia kecergasan, pernah juga merasai disisihkan kawan-kawan, termasuk ditinggalkan kekasih hati. Namun saya redha dengan semua yang terjadi. Kenangan manis pula ialah mendapat tempat ketiga dalam sebuah pentandingan bina badan. Saya akui walaupun pencapaian tak seberapa tapi ia bermakna dan pencapaian terbaik saya setakat ini.

GLAM Lelaki: Pencapaian dalam bidang kecergasan?

ARY ZAKARIA: Men of Steel 2017 Top 25 dan Mr Enrich 2017 Top 3

GLAM Lelaki: Nasihat buat mereka yang ingin berjinak-jinak dalam bidang kecergasan?

ARY ZAKARIA: Letakkan satu sasaram dalam diri sebelum kita masuk dalam bidang kecergasan mahupun bidang lain. Sentiasa rendah diri dan tanam dalam diri untuk selalu bertanya tentang apa-apa yang kita ingin tahu kepada orang yang lebih berpengalaman tidak kira muda dari kita atau tua.

Penyelaras / Teks / Konsep / Penata Gaya: Wan Mohd Firdaus | Foto: Instagram: @fotobyali | Pakaian: UNDER ARMOUR Fall Winter 2017 @underarmourmy 

#Bagi anda yang ingin tampil secara eksklusif dalam GLAMLELAKI.MY untuk ruangan Kapsul GL Zero2Hero, anda boleh PM atau DM Facebook & Instagram @glamlelaki, atau penulis di Instagram @wanmohdfirdaus.

Tags: , , , , , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.