I AM NOT SPECIAL, I AM JUST LIMITED EDITION! – THE SHIRT BAR

Membantu menyerlahkan keterampilan menawan, The Shirt Bar mengolah lembaran pakaiannya dengan perincian yang menarik lagi praktikal. Sekali gus menghasilkannya dalam kuantiti  yang terhad bagi mengekalkan sifat eksklusifnya.

Aspek fungsi, praktikal dan tampil versatil dijulang label yang berpangkalan di Singapura ini. Mengelarkan labelnya sebagai pakar kemeja, setiap himpunan diolah istimewa langsung dibungkus kemas. Sesuai dengan slogan mereka, ‘No Shirt Is An Ordinary Shirt’. Mengamalkan fesyen beretika, The Shirt Bar kecewa dengan eksploitasi serta implikasi daripada rantaian bekalan sehingga kepada pengguna. Bahana pekerja kilang menjahit pakaian serta tekstil yang dibayar dengan upah yang rendah, mendorong label ini untuk lahir membawa harapan serta pembaharuan dalam industri fesyen. The Shirt Bar terus meneliti kualiti material serta mengolah setiap pakaiannya agar tampil praktikal juga dipasarkan dalam rangkaian harga yang berpatutan.

Sebagai pakar kemeja, label ini menawarkan himpunan pakaian yang komprehensif dari bernada formal klasik kepada kasual yang unik. Tidak terhenti di situ, label ini menghadirkan pelbagai kemasan pada materialnya hasil kemajuan teknologi tekstil agar hari anda lebih selesa. Sebagai contoh, kemasan pada material kalis airnya yang membolehkan pengguna untuk lap sebarang cecair yang tumpah ke baju tanpa meninggalkan kesan. Seperti tumpahan kopi dan sebagainya.

Menjanjikan produk yang berkualiti tinggi serta selesa dengan tiga jenis susuk potongan, The Shirt Bar juga menampilkan setiap perincian yang menarik. Ini termasuk olahan seleksi kolar kemeja, manset pelbagai fungsi sama ada untuk memakai kafling atau hanya menggunakan butang yang disediakan. Lubang pada butang baju terakhir pula dibuat secara mendatar bertujuan untuk menyokong daya tarikan agar kurang tekanan. Selain itu punya kemasan istimewa termasuk, senang digosok, anti kedutan, kalis air, bebas bakteria juga kalis UV.

Bagi menyempurnakan gaya yang tersendiri, label ini juga menawarkan kepelbagaian aksesori, termasuk tali leher serta tali pinggang yang diolah dua muka, dasi kupu-kupu pelbagai corak dan bentuk, kafling yang digarap terhad, klip tali leher, suspender, pocket squares, pin lapel dan stoking. Sila layari the-shirt-bar.com atau singgah ke concept store pertamanya di aras dua Metrojaya, Mid Valley Megamall.

Teks: Zuhairie Sahrom, 31 Mei 2018

Tags: , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.