‘TERUNA’ HAFIZ MAHAMAD, KLASIK DAN BERIDENTITI

Di musim perayaan ini, para selebriti, artis terkenal dan personaliti popular berlumba untuk menghasilkan jenama pakaian mereka sendiri. Tidak terkecuali Hafiz Mahamad, seorang usahawan dan ‘insta-famous’ yang pernah tular suatu ketika dahulu, kini hadir dengan Teruna, koleksi baju melayu yang punya identiti dan keunikkannya tersendiri. GLAM Lelaki sempat menemubual beliau tentang koleksi pertamanya ini. Teruskan membaca…

GLAM Lelaki: Kongsikan idea di sebalik lahirnya TERUNA by Hafiz Mahamad?

HAFIZ MAHAMAD: Idea ‘Teruna by Hafiz Mahamad’ sebenarnya telah lama saya pendamkan. Sejak beberapa tahun lalu, saya merancang untuk mengeluarkan baju Melayu sempena musim perayaan. Namun perancangan itu tidak direalisasikan kesuntukan masa dan kurang mahir tentang selok-belok perniagaan pakaian. Tahun ini saya bertemu rakan usahawan yang tepat untuk sama-sama mengeluarkan koleksi Teruna. Jadi saya lebih yakin untuk melancarkan baju Melayu sempena Syawal tahun ini. Teruna terbuka untuk berkolaborasi dengan jenama-jenama tempatan, yang tidak mengeluarkan baju Melayu. Minaz antara jenama popular tempatan yang menjadi rakan kolaborasi untuk koleksi Teruna tahun ini.

GLAM Lelaki: Inspirasi dan identiti koleksi ini di mata Hafiz Mahamad?

HAFIZ MAHAMAD: Walaupun saya membesar di Johor Bahru, tetapi saya berasal dari Kelantan. Jadi baju Melayu cekak musang memang menjadi pilihan saya sejak dulu. Inspirasinya adalah bersederhana dalam berpakaian. Saya melihat semakin banyak rekaan baju Melayu dimodenkan dari segi penggunaan fabrik, corak dan warna. Saya percaya masih ramai yang mahukan baju Melayu tradisional yang mengekalkan kesederhanaan. Jadi saya memilih untuk mengeluarkan koleksi baju Melayu yang menggunakan fabrik pilihan lelaki iaitu satin, kapas dan kapas campuran bertekstur (santhana).Warna-warna yang dipilih juga adalah kegemaran lelaki dan ditambah beberapa warna baharu untuk disesuaikan dengan mood perayaan. Identiti klasiknya dikekalkan dengan pilihan baju Melayu berpesak dan untuk orang yang sukakan potongan moden, baju Melayu potongan slim fit juga ditawarkan.

GLAM Lelaki: Keistimewaan koleksi baju melayu ini berbanding jenama-jenama lain di luar sana?

HAFIZ MAHAMAD: Kesemua rekaan Teruna didatangkan dengan butang baju Melayu percuma dan dipek dalam kotak eksklusif. Harga yang kami tawarkan untuk kualiti sebegitu amat berpatutan berbanding jenama lain. RM189 untuk sepasang baju Melayu lengkap lima butang adalah sangat menepati tahap mampu milik pengguna.

GLAM Lelaki: Harapan Hafiz Mahamad pada koleksi ini?

HAFIZ MAHAMAD: Semestinya saya mahu ia diterima ramai dan paling penting, dapat memberi keselesaan kepada orang lelaki pada raya tahun ini. Saya juga berharap sambutan baik tahun ini akan diteruskan untuk raya tahun depan dengan koleksi lain pula. Insya-allah.

Oleh Wan Mohd Firdaus, 24 Mei 2018

Tags: , ,

Copyright © 2017. Blu Inc Media Sdn Bhd (7408-K). Hak Cipta Terpelihara.