Skip to content

TAUFIK BATISAH

Kongsikan artikel ini

Fendi Sani segera menata rias wajah Taufik sebaik tiba. Sempat dia menegur saya tentang rambut. “You nak biar rambut you panjang?” tanya Taufik. “Ya, I just want to see how it looks like,” jawab saya. “Ye lah, me too! I’ve been in this industry for more than a decade, nak juga tampil berbeza dengan rambut panjang,” ujarnya sambil menjelaskan potongan rambut yang dibuat dengan bersungguh-sungguh.

body-2 Sambil semua leka, saya terus mula dengan sesi temu bual di sisi Taufik. “Mengapa memilih untuk berlakon filem?” soalan saya. “Wujudnya saya dalam industri sudah masuk 12 tahun. Dalam jangka masa itu saya terima bermacam-macam tawaran dalam lakonan. Saya rasakan saya belum bersedia ketika itu. Tawaran ini pula hadir daripada Abang Sabri Yunus dan Astro, kemudian saya menghadam betul-betul pelawaan ini sebelum menerimanya. Tambahan pula ini filem pertama arahan Sabri Yunus lantas saya fikirkan sekarang masa terbaik untuk menerima dan mencubanya. Jadi saya sahut pelawaan itu dan memberanikan diri menjadi pelakon. Saya cuba buat yang terbaik,” jawabnya mudah. Selain itu, Taufik punyai satu single yang akan diperdengarkan sebelum hujung tahun ini. Ia merupakan lagu duet bersama Altimet. Pada masa yang sama, dalam filem ini juga turut menggunakan satu lagu Taufik sebagai soundtrack. “Saya belum lihat bagaimana hasilnya lagi,” ceritanya teruja.
body-3

“Tapi mengapa genre komedi?” tanya saya lagi. “Ia bukan komedi yang slapstick. Jalan ceritanya berunsur komedi, drama dan kekeluargaan. Untuk bahagian komedi, bukan dalam tanggungjawab watak saya. Komedi hadir dalam watak sampingan seperti watak arwah Pak Yus, Sabri Yunus dan karakter lain yang menguatkan plot cerita ini. Abang Sabri beritahu saya dia tidak mahu komedi yang ‘in your face’. Kami tak mahu membuat komedi yang memaksa orang untuk ketawa. Dari situ saya nampak visi Sabri Yunus sesuatu yang berlainan untuk filem ini. Bila saya faham pendekatan itu, saya rasakan lebih selamat untuk berlakon filem ini. Semestinya berlawak bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan apatah lagi bagi seseorang yang tidak biasa. Semasa saya duduk di kerusi juri di Maharaja Lawak Mega, saya nampak bagaimana peserta bergelut dengan diri untuk menghasilkan satu jenaka yang berbeza setiap minggu. Pernah saya terbaca buku tentang pelawak di Eropah. Mereka hadir dalam kalangan orang yang bijak. Di atas pentas, mereka bekerja untuk menghiburkan orang dengan jenakanya tapi bila off stage, mereka orang yang sangat serius. Seperti pelawak terkenal Singapura, Kumar. Dia seorang yang reserved bila di luar, anda pasti terkejut. Kebanyakan mereka mempertaruhkan seni di pentas dan jangan anggap karakter mereka sama pabila di luar pentas,” tutur sosok yang punya latar belakang campuran Bugis dan India ini.

body-1

TENTANG DUKUN DOKTOR DANI
Ikuti cerita Taufik mengenai wataknya dalam filem ini. ”Saya memegang watak sebagai Doktor Dani. Dani berasal dari kampung tetapi menetap dan bekerja di bandar. Ada satu kejadian terjadi di bandar yang membuatkan Dani terguris, dia ingin lari dari masalahnya dan pulang ke kampung halaman. Namun, masalah bertambah dan pelbagai drama terjadi saat dia pulang ke kampung. Konflik memuncak pabila seorang dukun terkenal kampung yang diperan oleh Sabri Yunus mengetahui kewujudan Doktor Dani hingga memaksa Dani menyamar sebagai dukun. Semasa itu, saya jamin penonton pasti terkejut dengan apa yang disampaikan,” janji Taufik. “Fasha Sandha sebagai heroin, dia teman rapat Doktor Dani yang ingin membawa semula Dani ke bandar. Tapi berlaku banyak kejadian pula pada watak Fasha.”
Tidak mahu bercerita lebih tentang sinopsis filem yang bakal membuat tayangan perdana Julai nanti, Taufik menyatakan beberapa cabaran yang ditempuhi sepanjang berlakon. “Ini filem pertama, bukan mudah hendak faham watak Doktor Dani. Cabaran berlakon dengan pelakon-pelakon hebat. Sebagai pendatang baru, berlakon dalam filem sesuatu yang luar biasa bagi saya. Cabaran lain ialah lokasi. Kami berlakon di laluan sungai Nenasi daerah Pekan Pahang dengan cuaca panas luar biasa, terlalu mencabar.” Sambil menyelak gambar-gambar ketika penggambaran untuk mengenalpasti nama lokasi. “Selain itu, cabaran berjauhan daripada isteri sepanjang empat minggu kerana ketika penggambaran saya baru saja berkahwin,” tambahnya.
“Mungkin ada babak yang mahu kamu highlight dalam filem ini?” pinta saya. “Doktor Dani seorang yang mudah putus asa. Kejadian di bandar membawa dirinya ke kampung untuk mengubah nasib tapi masih orang katakan dirinya tidak berguna. Dengan adanya rakan karib Dani yang memberi perangsang membuatkannya memangkin semangat untuk teruskan hidup,” bualnya yang juga menyatakan cabaran lain untuknya ialah harus memadamkan dialek Melayu-Singapura. Sempat Taufiq memberi contoh perkataan-perkataan yang sering kali diucap. “Saya harus bercakap cara orang KL,” tambahnya belajar lagi.
Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Taufik Batisah berlakon. Jika disemak balik filmography dirinya, sebelum ini dia pernah membintangi beberapa drama antaranya Shooting Stars, Demi Adriana dan pernah menjadi pengisi suara untuk filem Madagascar 3 versi Bahasa Malaysia serta lakonan pentas untuk muzikal Fried Rice Paradise. Tanya saya “Di mana perbezaan antara semua di atas?”
“Satu yang jelas dalam berlakon filem ialah proses set-up memakan masa yang panjang. Terlalu banyak masa menunggu. Sungguh berbeza dengan nyanyian dan lakonan lainnya. Jadi kita penat menunggu. Dan dalam produksi ini, banyak sangat makan. Kami berlakon di sekitar kampung, punyalah sedap masakannya! Tak berhenti-henti saya makan,“ sempat dia berseloroh. Sambungnya lagi, “Saya berasa gerun ketika ingin bergandingan bersama pelakon-pelakon hebat lain. Iyalah, ini bukan kepakaran saya, tapi dorongan yang diberi Abang Sabri sangat membantu saya.”
“Adakah anda berlatih dialog bersama pelakon lain sebelum penggambaran bermula?” soal saya. Jelasnya, “Ada script-reading tapi ia hanya mengambil masa yang sekejap dan bukan secara keseluruhan. Ya, saya ada praktis. But not enough fasal setiap pelakon punya stail sendiri untuk menjiwai watak. I would love to have practiced more but I think it was just the way it was supposed to be. Saya orang baru yang harus catch up. Mungkin mereka selesa study their character alone. Jadi saya practice sendiri di bilik. Ketika di set sebelum bermula penggambaran baru saya mengajak pelakon lain untuk cuba berdialog. Sabri Yunus tak suka sangat sesuatu seperti diarahkan. Dia lebih gemar everything go with the flow. Itu yang lagi seram pada saya, kerana kita tak pasti apa yang betul atau salah.”
“What made you say yes?” Taufik memberi sebab, “Pada mulanya kerana ia filem pertama Abang Sabri. Saya membesar bersama komedi daripada orang bernama Sabri Yunus ini. Sebab lainnya, ia filem Malaysia, jadi saya beranikan diri untuk mencuba. Perkara ini sesuatu yang gerun untuk dilakukan tapi saya beranikan diri untuk buat. Jika semuanya berjalan dengan baik mungkin boleh jadi rezeki yang baru.”
“Pernahkah kamu tanya mengapa pilih kamu?” “Yes, I did ask him!” tegasnya. “Sebelum ini saya belum pernah berjumpa Sabri Yunus. Tapi sewaktu saya duduk di kerusi juri Maharaja Lawak dan dia menjadi tetamu undangan dalam pertandingan itu sebagai tukang karut untuk kumpulan dikir barat, lantas saya menyapanya untuk mengucapkan terima kasih kerana hadir. That was the only time I spoke to him. Bila ditanya kembali, Abang Sabri berkata cara saya memberi komentar dan membawa diri di kerusi juri itu membuatnya percaya untuk mengambil saya sebagai pelakon filem pertamanya. Saya harus berterima kasih kepada dia dan Astro kerana percaya dengan bakat saya. In shaa Allah dengan penuh harapan saya mahukan filem ini dekat dengan masyarakat dan mendapat sambutan semua pihak, atau lebih baik lagi kutipan pecah panggung,” bicaranya dengan jujur.

body-4SUDAH TERIMA TAWARAN LAIN
“Sebenarnya saya sudah pun tamat penggambaran filem lain. Jika melalui filem ini penonton boleh menerima saya, tidak salah untuk saya melebarkan lagi pengaruh dalam dunia filem.” Mahu simpan projek seterusnya itu untuk sesi lain bersama GLAM Lelaki, perbualan ini dirahsiakan. Taufik jelas teruja bekerja dalam sesebuah kumpulan kerana ia adalah sesuatu yang amat mengujakan walaupun terpaksa berhadapan dengan proses menunggu yang meletihkan.
“Sebagai penyanyi amat jarang kita bekerja bersama kumpulan yang ramai. Kebiasaannya saya hanya berurusan dengan beberapa orang sahaja. Jika ada acara besar, baru bekerjasama dengan penari, band, serta pihak penganjur.”
Seperti yang dikongsinya, sebagai anak wayang Taufik terpaksa meluangkan masa yang lama demi produksi. Masa – itulah pengorbanan paling besar dalam hidup. Jadi, bagaimana Taufik bahagikan masa yang tinggal sedikit untuk keluarga? “Isteri saya seorang yang amat memahami. Dia menjaga ibu saya di rumah. I do miss them, but they understand. Macam baru-baru ini kami baru saja meraikan ulang tahun perkahwinan di Australia. Kami lakukan terjun payung, itu hal yang amat menyeronokkan. Asalnya, saya buat kejutan kepadanya untuk melakukan aktiviti itu tapi akhirnya saya yang terkejut dengan keberanian dia! Kerana disambutnya dengan sorak gembira dan bukannya takut. Boleh saya katakan yang kami berdua adrenaline junkies.”
“Bagaimana pula bahagikan masa untuk menyanyi dan persembahan lain?” saya tanya bertalu-talu. “Berlakon perlukan masa yang panjang dan ia berjadual. Pada saya kita harus ada sifat saling memahami dan hormat akan kerja masing-masing. Jika ada persembahan atau apa saja urusan, saya pasti akan beritahu produksi agar tidak ada salah faham. Begitu juga dengan pelakon lain. Ini semua tentang jadual dan aturan yang masing-masing harus ambil berat demi memastikan kerja berlangsung pantas. Namun, keutamaan saya kekal dengan menyanyi. Kini, apa jua hal dalam layar yang saya lakonkan, saya cuba selitkan lagu-lagu saya,” bualnya menyusun strategi.
Umum mengetahui Taufik bukan hanya boleh menyanyi dengan baik tapi mencipta lagu juga. Selepas terjebak dengan lakonan, adakah selepas ini Taufik Batisah akan menulis skrip pula? “Oh no! I don’t think so,” jawabnya berdekah tawa. “Saya rasa untuk menulis skrip, filem, buku, ia sesuatu yang luar biasa. Saya rasakan ia sungguh sukar. Sama seperti kekaguman saya pada bakat pengacara. Dia lahir spontan dan saya teruja dengan bakat yang mereka miliki. Pernah sekali mengendalikan rancangan tentang penyakit ginjal dalam satu siaran TV di Singapura dan saya sedar, mengacara bukan suatu hal yang mudah.
Ini bukan satu trend tapi untuk mengekalkan nama dalam industri seni, kebanyakan artis melakukan aktiviti agar nama mereka sentiasa di bibir peminat. Adakah dengan berlakon akan terus menampakkan nama Taufik Batisah daripada hilang dalam industri? “Tak taulah, in shaa Allah. Harapan saya agar saya diberi peluang untuk menetapkan nama saya di Malaysia. Mungkin bukan saja sekali setahun nama saya didengari seperti selalunya di Anugerah Planet Muzik. Dengan haluan yang lain mungkin melebar lagi pengaruh seni saya. Secara keseluruhannya, saya akan ambil apa saja peluang yang hadir.”
“Kini kamu rasa hebat dalam lakonan?” senda saya. “No! Jauh daripada hebat!” disambutnya dengan tawa. “Saya tak tau lagi. Saya perlu dengar pandangan orang lain, atas tujuan untuk memperbaiki diri. Kalau mahu tahu tentang hasil karya-karya saya, lebih baik tanya mereka yang bijak mengadili.” Maksudnya, Taufik sudah sedia berdepan dengan pelbagai kritikan? “Sudah semestinya saya bersedia. Baik atau buruk saya akan terima. Usah kata pengalaman 12 tahun saya dalam industri muzik. Lihat lagu Awak Kat Mana saja sudah banyak reaksi netizen. Setiap selok-belok kita dilihat dan diadili. Bergantung kepada bagaimana cara kita ambil satu kritikan, sama ada untuk memperbaiki diri atau menjadi lemah dengan cakap-cakap orang. Kita pun tak mahu ada perasaan negatif terhadap orang lain tapi sebagai seorang manusia kita tetap ada perasaan itu dalam apa jua perkara yang berlaku di hadapan kita. Sebagai anak seni saya harus terima dengan hati yang terbuka. Kalau kamu tak boleh terima kritikan, kamu harus berhenti menjadi anak seni,” Taufik berterus-terang.
Setiap orang meletakkan satu tanda aras atau contoh idola untuk dijadikan inspirasi. Taufik sendiri tak mahu terbang terlalu jauh – baginya, tanda aras dalam lakonan ialah pelakon asal negara kelahirannya juga. “Benchmark saya ialah Aaron Aziz. Dia sudah lakukan segalanya. Biarpun banyak kritikan yang diterima, saya lihat dia masih terus memperjuangkan apa yang diinginkan. Bukan mudah menjadi The Aaron Aziz yang sekarang. Bukan berlaku semalaman. He took a long time to get there.” ceritanya bersungguh. “Kalau setakat dua karya seni dan mendapat penilaian negatif itu tidak adil. Dalam bidang ini, saya hanya kerdil tapi saya mahu jadi seorang aktor yang versatil. Mampu membawa berbagai watak.”

TAUFIK MERANCANG KELUARGA?
“Saya dan isteri (Sheena Akbal) hanya mengikut apa yang ditentukan Tuhan. Kami sentiasa bersedia, tapi kami tak merancang. Saya gentar jika merancang ia akan menjadi tekanan dalam perhubungan. We try to balance our lifestyle, family and work,” jelasnya tenang. Isterinya bekerja sebagai pengurus acara yang mengendalikan majlis-majlis besar dan melibatkan bintang ternama dunia di Singapura. Sempat Taufik selitkan apa yang dibikin isterinya dalam kerjanya. Sheena juga pernah mengambil jurusan ijazah pengurusan seni di sebuah institusi di Singapura satu ketika dulu. “Mungkin disebabkan itu, dia mengerti apa yang saya lakukan. Hanya orang seni saja yang faham tentang masa dan pengorbanan saya dalam perjuangan bidang ini. Sukar untuk orang di luar bidang ini fahami,” kata Taufik.
TAUFIK DAN ISU FOTOGRAFI
“Orang selalu katakan tentang komposisi sesebuah gambar. How do you compose a photo and what is on your mind when you take a photo? Saya sering cemburu dengan mereka yang ‘ada mata’ dalam dunia fotografi.” Menyentuh hal posting di Instagram, Taufik berkongsi, “Saya harus kemas kini akaun saya kerana peminat ingin melihat aktiviti kita selalu. Biasanya saya akan memberi contoh dan tunjukkan bagaimana saya inginkan. Selalu isteri saya yang melayan saya. She will be like, ‘Oh my God, can you stop it!’”. Taufik bercerita sambil ketawa.

By Abdul Aziz Draim
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

5 BINTANG HOLLYWOOD BERKELULUSAN HARVARD

5 BINTANG HOLLYWOOD BERKELULUSAN HARVARD

Bacaan Lanjut
makanan Lelaki

5 MAKANAN YANG LELAKI PERLU ELAK UNTUK ZAKAR LEBIH KUAT

Bacaan Lanjut
FRED JEWELRY PILIHAN LELAKI MASKULIN

FRED JEWELRY PILIHAN LELAKI MASKULIN

Bacaan Lanjut

CARA HILANGKAN JERAWAT DENGAN CEPAT TANPA PARUT

Bacaan Lanjut

WARISAN BRITAIN DAN INSPIRASI UNIVERSITI KOLABORASI UNIQLO BERSAMA JW ANDERSON

Bacaan Lanjut

SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-40 G-SHOCK BERSAMA 88RISING

Bacaan Lanjut