Skip to content

KIM PAN GON UCAP SELAMAT TINGGAL KEPADA HARIMAU MALAYA

KIM PAN GON UCAP SELAMAT TINGGAL KEPADA HARIMAU MALAYA

Kongsikan artikel ini

Kim Pan Gon membuat kejutan apabila mengesahkan perletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang akhbar yang berlangsung di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 16 Julai 2024. Jelasnya, keputusan itu dicapai selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin tiga hari sebelumnya.

“Hari ini saya membuat keputusan untuk meletak jawatan selaku jurulatih pasukan Malaysia atas sebab peribadi. Saya mohon maaf atas keputusan ini. Sejak saya datang pada Februari 2022 untuk dua setengah tahun, semua peminat memberi sokongan yang baik.

“Kita berkongsi kegembiraan layak ke Piala Asia buat pertama kali. Malah ranking negara juga melonjak tinggi. Keputusan seri dengan Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan di Piala Asia 2022 cukup membanggakan,” katanya, menurut Harian Metro.

Foto: Bernama

Pencapaian Kim Pan Gon Selaku Ketua Jurulatih

Ia merupakan satu berita mengecewakan buat pasukan kebangsaan. Apa tidaknya, banyak kejayaan yang dicapai selama hampir tiga tahun beliau berkhidmat bersama Harimau Malaya.

Antara yang paling diingati adalah apabila pasukan Malaysia layak secara merit ke Piala Asia 2022 di Qatar selepas tempoh 43 tahun. Malah kedudukan pasukan negara turut meningkat sebanyak 24 anak tangga dunia, dari 154 kepada 130. Satu pencapaian amat membanggakan yang diraih dalam tempoh singkat.

Menurut laporan, tempatnya akan diambil alih oleh pemangku jurulatih, Pau Marti Vicente sehingga akhir tahun 2024. Untuk mengelakkan pasukan Harimau Malaya berdepan kesukaran, beliau sempat meninggalkan pesanan kepada bakal jurulatih untuk meneruskan sistem yang telah diasaskannya.

Foto: Bernama

“Kekuatan saya adalah mewujudkan sistem dan saya minta sokonglah kakitangan yang lain. Sistem yang sudah ada tidak menghadirkan rasa gentar walaupun ada seorang yang melangkah keluar dan semua itu ada dalam pasukan Malaysia.

“Kita ada kepakaran, komitmen penuh, kesetiaan dan pengetahuan. Semua itu adalah kunci utama yang ‘bekerja’ untuk saya dan saya yakin Malaysia tidak akan tergugat. Tidak perlu risau kerana kamu perlu berbangga dan percaya pada diri sendiri. Semua pihak perlu terus memberikan sokongan kerana bola sepak Malaysia memiliki potensi,” tambahnya.

 

Foto: FA Malaysia

Pautan berkaitan: HIDAP KANSER TESTIS, BRENDAN GAN AKUI TIDAK PATAH SEMANGAT