Skip to content

JAY JAY MENGHEMBUSKAN NAFAS TERAKHIR PADA USIA 67 TAHUN

JAY JAY MENGHEMBUSKAN NAFAS TERAKHIR PADA USIA 67 TAHUN

Kongsikan artikel ini

Industri hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian penyanyi berbakat besar, Jay Jay pada 4 Ogos 2024.

Pemilik nama sebenar Mohd Fauzi Darus itu dilaporkan meninggal dunia sekitar jam 9.30 malam di Hospital Thompson Kota Damansara, Petaling Jaya.

Berita duka itu dikongsi oleh rakannya, Rahman Ali di akaun Facebook miliknya. Penyanyi Datuk Hattan turut mengesahkan khabar mengejutkan itu kepada umum.

“Ya, saya baru dapat bercakap dengan isterinya. Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 9.27 malam,” katanya menurut mStar.

Jenazahnya akan disolatkan di Masjid Al-Husna Bandar Sunway, Petaling Jaya dan dikebumikan sebelum waktu solat Zohor.

Foto: Utusan

Jay Jay Sebutir Bintang Berharga

Rakan artis, Fauziah Ahmad Daud menyifatkan pemergian penyanyi veteran itu sebagai satu kehilangan besar buat industri hiburan tempatan. Pelakon dan penerbit itu turut menitipkan doa buat Allahyarham.

“Innalilahi wainnailahi roji’un. Dapat berita pulangnya Jay Jay… Ya Khaliq, Allahyarham Mohd Fauzi Darus. Hilangnya seorang insan seni yang tiada pengganti.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah, diampunkan dosa-dosanya, diterima segala amal ibadahnya, ditempatkan arwah bersama hamba-hambaNya yang beramal soleh. Aamin Allahuma Aamin. Takziah buat keluarga arwah. Al-Fatihah,” tulisnya di Facebook.

Punca pemergian penyanyi ini tidak didedahkan namun Allahyarham diserang angin ahmar selepas menjalani pembedahan pintasan jantung pada 24 Mei lalu. Serangan itu menyebabkan bahagian tubuh sebelah kanannya lumpuh.

Jay Jay meninggal dunia

Foto: Harian Metro

Bagaimanapun menurut anaknya Cammy Fauzi, bapanya menunjukkan perkembangan baik selepas menjalani beberapa rawatan fisioterapi.

“Ayah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 23 Mei lalu dan tidak lama selepas itu, kesihatannya kembali merosot akibat diserang angin ahmar.

“Disebabkan serangan tersebut, ayah mengalami lumpuh pada bahagian tubuh di sebelah kanan, sekali gus sukar bergerak. Namun selepas mengikut beberapa sesi fisioterapi, tahap pemulihannya nampak semakin positif,” katanya.

Salam takziah daripada Glam Lelaki.

 

Foto: Wikipedia

Pautan berkaitan: PERKEMBANGAN TERKINI JAY JAY SELEPAS LUMPUH AKIBAT STROK