Skip to content

HELLOOO! BUAH TANGAN TERBARU DAFI BUAT PEMINAT

HELLOOO! BUAH TANGAN TERBARU DAFI BUAT PEMINAT

Kongsikan artikel ini

Selepas hampir sepuluh tahun menyepi, Dafi kembali memeriahkan industri muzik dengan lagu terbarunya berjudul Hellooo!

Melihat Ogos sebagai bulan tepat untuk kembali aktif dalam dunia hiburan tanah air, penyanyi ini memilih frasa sapaan ‘hello’ sebagai mukadimah untuk menyapa satu sama lain.

Menurut pemilik nama Gaddafi Ismail Sabri ini, Hellooo! adalah sebuah lagu yang sarat dengan semangat dan energi positif. Melodi rancak dan lirik mudah diingati menjadikan lagu bergenre pop ini sesuai untuk semua peringkat umur.

Dihasilkan dengan kolaborasi bersama Shazee Ishak dan Altimet, Dafi berkata dia sememangnya sudah lama memasang angan-angan untuk bekerjasama dengan mereka.

Hellooo! lagu dafi

“Single berjudul Hellooo!, hasil ciptaan Shazee Ishak dan lirik oleh Altimet. Saya dah lama menyimpan impian nak kerja dengan mereka yang memang hasil kerja mereka bagus dan legenda dalam industri muzik. Apabila mereka bersetuju, saya rasa sangat berbesar hati dapat bekerja dengan orang berpengalaman dalam industri muzik.

“Secara peribadi, saya rasa bunyi suara saya lain sedikit. Mungkin sebab dah lama menyanyi, jadi ada kematangan dari sudut itu. Saya ambil kelas vokal untuk rakaman lagu ini dan guru vokal saya, Lah Ahmad. Proses rakaman memakan masa sejam lebih saja dan lancar,” katanya, menurut Harian Metro.

Hellooo! Diperam Empat Tahun

Penyanyi berusia 36 tahun ini berkata, lagu tersebut sudah dihasilkan empat tahun lalu. Namun ia terpaksa disimpan disebabkan pandemik Covid-19 dan beberapa perkara lain yang tidak dapat dielakkan.

Bercerita lebih lanjut mengenai Hellooo!, Dafi berkata karya terbarunya ini menjadi simbolik kepada kekuatan dirinya yang tidak pernah berputus asa.

“Hellooo! merupakan suara hati saya. Selepas lebih sedekad bergiat aktif dalam bidang ini, saya lebih matang dan berpendirian. Mungkin kehadiran saya sebagai penyanyi tidak mendapat pengiktirafan sebanyak diinginkan. Namun saya masih bersemangat dan tidak berputus asa dalam bidang seni,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Dafi Hellooo!

Dafi turut meluahkan harapan agar karya baru ini dapat menghidupkan kembali kerjaya muziknya di samping menyentuh hati peminat dalam kalangan generasi baharu.

Hellooo! boleh didengari menerusi platform penstriman seperti Apple Music, Spotify, Joox, Youtube Music, Tik Tok, Amazon Music, Tidal dan Deezer bermula 16 Ogos 2024.

 

Pautan berkaitan: NSYNC KEMBALI MEWARNAI DUNIA HIBURAN DENGAN LAGU BAHARU