Skip to content

KENALI EVE HEWSON, AKTRES JELITA DALAM SIRI THE PERFECT COUPLE

KENALI EVE HEWSON, AKTRES JELITA DALAM SIRI THE PERFECT COUPLE

Kongsikan artikel ini

Bakat lakonan Eve Hewson semakin mendapat perhatian di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Namanya menjadi sebutan selepas membintangi naskah Netflix, The Perfect Couple baru-baru ini di samping barisan pelakon popular seperti Nicole Kidman, Live Schreiber dan Dakota Fanning.

Siri mini yang diadaptasi daripada novel nukilan Elin Hilderbrand itu mengisahkan tentang pembunuhan misteri yang berlaku sehari sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan Benji Winbury (lakonan Billy Howle) dan Amelia Sacks (Eve).

Intai siapakah Eve Hewson dalam dunia realiti

 

Datang Dari Keluarga Terkenal

Siapa sangka Eve sebenarnya adalah anak kepada penyanyi popular Bono daripada kumpulan U2. Pemilik nama Paul David Matthew Hewson itu bertemu isterinya, Ali Hewson ketika remaja dan mendapat pendidikan di sekolah menengah yang sama di Dublin, Ireland. Sepuluh tahun kemudian pada 1982, mereka mendirikan rumah tangga.

Eve atau nama sebenarnya Memphis Eve Sunny Day Iris Hewson yang dilahirkan pada 1991 merupakan anak kedua pasangan itu. Dia mempunyai seorang kakak, Jordan dan dua adik lelaki, Elijah dan John. Ibunya merupakan seorang usahawanita dan aktivis terkenal di Ireland.

Foto: Getty Images

 

Latar Belakang Kehidupan

Bintang Robin Hood ini dibesarkan di Killiney, pinggir bandar Dublin yang mewah bersama keluarganya. Dia kemudiannya berpindah ke New York City untuk menyambung pelajaran di Universiti New York yang sering menjadi pilihan ramai selebriti terkenal.

Sebaik sahaja tamat pengajian, Eve berpindah ke Williamsburg di Brooklyn, namun menghabiskan kebanyakan masanya di Dublin sewaktu pandemik Covid. Dia dilaporkan kembali menetap di Killiney sejak 2023.

 

Perhubungan Cinta

Walaupun membesar di bawah perhatian media, Eve berjaya menyembunyikan hal ehwal percintaannya daripada pengetahuan umum. Dari 2010 hingga 2015, dia menjalin hubungan romantis dengan bintang One Tree Hill, James Lafferty. Eve juga pernah dikaitkan dengan pelakon The Handmaid’s Tale, Max Minghella. Kini dia dilaporkan bercinta dengan individu bukan dari kalangan selebriti, namun identitinya tidak diketahui.

KENALI EVE HEWSON

Foto: Wenn/X

 

Penglibatan Dalam Industri Hiburan

Eve menceburi dunia lakonan seawal usia 14 tahun dalam filem pendek Lost and Found di samping kakaknya. Peranan utama pertamanya adalah dalam filem This Must Be the Place pada 2011. Namanya melonjak naik setelah menggalas watak sebagai jururawat bernama Lucy Elkins dalam siri The Knick yang ditayangkan selama dua musim dari 2014 hingga 2015.

Aktres berusia 33 tahun ini juga terkenal dengan peranannya dalam siri Behind Her Eyes (2021) dan komedi gelap Bad Sisters (2022). Dia akan muncul dalam beberapa projek besar di samping barisan pelakon terkenal seperti George Clooney, Adam Sandler, Laura Dern dan Billy Crudup tidak lama lagi.

 

Foto: Olivia Crumm/The New York Times

Pautan berkaitan: KENALI ADRIA ARJONA, AKTRES HIT MAN & CINTA HATI BARU JASON MOMOA