Skip to content

ABANG ADIK RANGKUL TROFI FILEM TERBAIK DI ASIAN WORLD FILM FESTIVAL

ABANG ADIK RANGKUL TROFI FILEM TERBAIK DI ASIAN WORLD FILM FESTIVAL 2024

Kongsikan artikel ini

Filem Abang Adik terus melakar kejayaan di pentas perfileman antarabangsa. Kali ini di Asian World Film Festival ke-10.

Pada acara yang berlangsung di Los Angeles, karya arahan Jon Ong itu dinobat sebagai Filem Terbaik sekali gus menewaskan barisan filem hebat dari negara lain. Pelakon Taiwan, Wu Kang-ren yang menggalas watak utama sebagai Abang turut dinobat sebagai Aktor Terbaik.

Pencapaian itu dikongsikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam satu kenyataan. Finas turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak produksi dan barisan pelakon kerana melakar kejayaan luar biasa.

Abang Adik filem terbaik Asian World Film Festival 2024

Foto: Utusan

“Setinggi-tinggi tahniah di atas pencapaian filem cereka tempatan Abang Adik arahan Jin Ong yang memenangi dua anugerah Filem Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik (Kang-ren) kategori Snow Leopard di Asian World Film Festival.

“Mencipta sejarah buat filem Malaysia dengan mengenepikan 15 buah filem antarabangsa yang mewakili negara masing-masing bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi ke-97 (Oscars),” kata wakil Finas.

Lagi Kejayaan Abang Adik

Filem ini mengisahkan kepayahan hidup Abang (Wu Kang-ren) dan Adik (Jack Tan) sebagai yatim piatu yang tiada status kewarganegaraan di sekitar Pudu, kawasan yang didiami ramai pekerja asing. Mereka tidak boleh menikmati kebajikan umum negara, tidak boleh memohon pasport mahupun membuka akaun bank kerana tidak memiliki dokumen sah.

Abang yang dilahirkan tanpa deria pendengaran sentiasa bekerja keras demi mendapatkan kehidupan stabil. Adik pula tidak mahu tunduk kepada nasibnya dan menjual dokumen palsu secara haram. Dia hanya mahu meraih wang dan membawa abangnya keluar dari tempat tersebut.

Abang Adik

Naskah terbitan More Entertainments Sdn Bhd ini berjaya melakar kejayaan membanggakan dengan merangkul 19 anugerah antarabangsa. Ini sekali gus membuktikan filem Malaysia mampu bersaing dan menyerlah di peringkat global.

Antara pencapaian tertinggi adalah Anugerah Filem Terbaik, Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition Ke-22). Juga merangkul Golden Mulberry, Black Dragon Critics Award serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali.

Di peringkat tempatan, filem ini mencatatkan kemenangan di Malaysia Global Golden Awards (MGGA) 2024 dengan meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Abang Adik bakal mewakili negara ke Anugerah Akademi ke-97 yang akan berlangsung pada Mac 2025.

 

Foto: Netflix

Pautan berkaitan: ERNIE ZAKRI CIPTA SEJARAH TERSENDIRI DI PENTAS ANUGERAH INDONESIA