Malam kemuncak Anugerah Juara Lagu 2025 atau AJL 39 yang diadakan di Axiata Arena Bukit Jalil pada 16 Februari berlangsung meriah dan gilang-gemilang.
Majlis anugerah tahun ini yang bertemakan ‘Nada Rasa’ menampilkan Fikry Ibrahim dan Malia Baby sebagai hos karpet merah serta Sissy Imann dan Nazrudin Rahman sebagai pengacara majlis.
Anugerah Juara Lagu 2025 memberi penghormatan kepada barisan komposer, penulis lirik dan penyanyi terbaik bagi tahun 2024. Setiap tahun ia menobat pemenang dalam kategori Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik, Tempat Ketiga, Tempat Kedua dan Juara Lagu.
Tahun ini menyaksikan 10 lagu berentap untuk merangkul trofi AJL. Tuah berpihak kepada Marsha Milan apabila lagu Hening Rindu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh dinobat sebagai Juara.
Naib Juara dimenangi oleh Nadeera (Bukan Lagi Kita) manakala Tempat Ketiga milik Akim & The Majistret (Saksama). Ernie Zakri membawa pulang trofi Vokal Terbaik menerusi lagu Aura. Persembahan Terbaik pula dimenangi oleh Aina Abdul (Puas Sudah).
Selain barisan pemenang, penampilan para selebriti turut mencuri perhatian. Tidak kira artis lelaki mahupun wanita, masing-masing kelihatan kacak dan menawan dalam persalinan penuh glamor.