FILEM IKONIK LAKONAN PRIMADONA MALAYSIA, ERRA FAZIRA
#1 Cinta Kolestrol (2003)
Cinta Kolestrol ialah sebuah kisah romantik-komedi yang ditayangkan pada tahun 2003 tentang janji perkahwinan antara dua keluarga — Haji Zaini dan Dato’ Osman. Mereka merancang untuk menyatukan anak-anak mereka sejak kecil. Ketika Yusry pulang dari luar negara, jurang jangkaan mula timbul apabila Fazira, lakonan Erra Fazira, tidak seperti gambaran ideal yang Yusry bayangkan. Salah faham dan ego mencetuskan situasi lucu namun sarat pengajaran tentang penerimaan diri. Filem ini menampilkan barisan pelakon popular era tersebut dan menjadi antara naskhah komedi romantik tempatan yang mendapat perhatian penonton ketika tayangannya.

#2 Polis Evo 2 (2018)
Polis Evo 2, yang ditayangkan pada tahun 2018, merupakan kesinambungan filem aksi blockbuster Polis Evo. Filem ini mengisahkan misi membanteras kumpulan militan yang menawan sebuah pulau kecil. Kali ini ia memaksa kerjasama rapat antara anggota polis Malaysia dan Indonesia. Erra Fazira tampil sebagai sebahagian daripada barisan ensemble yang menyokong penceritaan serba intens ini. Dengan adegan aksi besar-besaran dan tema kerjasama rentas negara, filem ini mencatat kutipan pecah panggung, menjadikannya antara filem aksi paling berjaya dalam sejarah perfileman tempatan.

#3 Soal Hati (2000)
Ditayangkan pada tahun 2000, Soal Hati menceritakan kisah percintaan antara Daniel (Afdlin Shauki), seorang lelaki berpendidikan tinggi yang memiliki kehidupan serba sempurna, dan Nurul Ain (Erra Fazira), seorang jurujual biasa. Perasaan Daniel berputik sejak pertemuan pertama mereka apabila dia tidak sengaja melanggar Ain. Bimbang statusnya akan membuatkan gadis itu menjauh, Daniel menyamar sebagai “Ahmad” untuk mendekatinya. Namun, segalanya berubah apabila Ain mengetahui identiti sebenar Daniel sebagai anak orang berada, membuatkan dia berasa diperdaya. Daniel kemudian berusaha mendapatkan kembali kepercayaan dan cinta Ain kerana hatinya masih kuat terhadap wanita itu.

#4 Gerak Khas The Movie (2001)
Gerak Khas The Movie, yang menemui penonton pada Mac 2001. Filem ini merupakan adaptasi layar lebar daripada siri televisyen polis paling popular ketika itu. Erra Fazira membawa watak Inspektor Shafikah, seorang pegawai muda yang menyertai pasukan elit Gerak Khas dan berdepan kes jenayah berprofil tinggi. Filem ini mengekalkan formula aksi, drama dan elemen penyiasatan seperti dalam siri asal. Namun, dengan skala yang lebih besar. Ia menjadi kejayaan komersial dan menghasilkan beberapa sekuel, mengukuhkan statusnya sebagai antara francais filem polis paling ikonik di Malaysia.

#5 Hingga Hujung Nyawa (2004)
Nora (Erra Fazira), gadis miskin yang malu asal-usulnya, berpura-pura hidup mewah demi menambat hati Kamil (Yusry Abd Halim). Kamil merupakan seorang pemuda kaya yang ditemuinya di kolej. Mereka berkahwin dan mendapat seorang anak, Aniq, namun rahsia Nora terbongkar dan Kamil menghalaunya, memisahkan dia daripada anaknya hingga menyebabkan Nora tertekan. Puluhan tahun kemudian, Nora yang sudah tua masih dibayangi penyesalan. Aniq kini menjadi Dr. Aniq, dan pertemuan mereka semula menimbulkan persoalan sama ada kebenaran lama itu mampu diterima. Filem ini dikenang kerana transformasi drastik Erra yang muncul dalam versi usia tua menggunakan solekan prostetik bernilai tinggi, menjadikannya antara lakonan paling mencabar dalam kerjayanya.

#6 Sembilu (1994)
Filem hangat Sembilu (1994) ini menggambarkan percintaan antara penyanyi rock Awie (Awie) dan Wati (Erra Fazira). Mereka berdepan tentangan daripada abang Wati, Azman (Mustapha Kamal) dalam hubungan mereka. Sembilu mula ditayangkan pada 18 Ogos 1994 dan mencatat kejayaan besar di pawagam, apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM4.39 juta. Ia turut menerima reaksi yang baik serta beberapa ulasan bercampur daripada para pengkritik.

Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
ERRA FAZIRA KINI ISTERI EZWAN ZAIN
Erra Fazira kini selamat bergelar isteri kepada Ezwan Zain. Pasangan ini dinikahkan pada pagi 12 Disember tadi.
KENALI MR. E, EZWAN ZAIN BAKAL SUAMI ERRA FAZIRA
Pada 12 Disember 2025, primadona Malaysia dikhabarkan bakal mengikat tali perkahwinan bersama lelaki pilihannya, Ezwan Zain.
10 RANCANGAN ‘MUST WATCH’ SEPANJANG JUN 2023
Dari filem “Extraction 2” lakonan Chris Hemsworth kepada siri hangat terbaharu “The Idol” lakonan The Weeknd dan Lily-Rose Depp, laman penstriman utama membariskan 10 rancangan ‘must watch’ sepanjang Jun 2023.
3 FILEM BUATAN MALAYSIA PERLU TONTON RAYA INI DI NETFLIX
Laman penstriman gergasi, Netflix membariskan tiga karya tempatan yang perlu anda tonton bersempena raya tahun ini bermula 27 April 2022.









