MEERQEEN, MENERIMA USIA YANG KIAN MATANG DAN SIAP UNTUK MENCABAR DIRI
Meerqeen kini melangkah ke fasa baharu dalam kerjayanya dengan perspektif yang lebih matang. Daripada kecergasan dan rutin grooming sehinggalah persiapan untuk watak paling mencabar setakat ini, pelakon ini berkongsi bagaimana keyakinan sebenar dibina melalui disiplin, pengalaman dan kesediaan untuk terus berkembang.

Meerqeen kini berada pada fasa baharu dalam kerjaya. Bagaimana pandangan anda terhadap proses peningkatan dan kematangan, baik sebagai pelakon mahupun individu?
Dahulu saya sering melihat usia sebagai sesuatu yang perlu dibimbangkan. Namun kini, perspektif itu berubah. Setiap fasa kehidupan hadir dengan cerita dan pengalaman yang membentuk siapa diri kita. Sebagai pelakon, saya rasa saya baru mula memahami watak-watak yang lebih kompleks dan berlapis. Setiap karakter menuntut pendekatan yang berbeza, dan itu menjadikan proses berkarya lebih mencabar serta bermakna.
Sebagai individu pula, saya jauh lebih selesa dengan diri sendiri berbanding beberapa tahun lalu. Bagi saya, kematangan bukan sekadar soal usia, tetapi tentang kebijaksanaan membuat keputusan, memahami apa yang terbaik untuk diri sendiri, serta berani memikul tanggungjawab atas setiap pilihan yang dibuat. Pada masa yang sama, saya juga semakin belajar untuk tahu bila dan bagaimana untuk memberi reaksi terhadap sesuatu dengan cara yang lebih matang dan seimbang.
Dalam industri yang sering menekankan soal penampilan, bagaimana Meerqeen mengekalkan keyakinan diri sambil menerima perubahan fizikal yang datang seiring usia?
Saya belajar untuk tidak terlalu bergantung pada imej “sempurna” yang sering menjadi tuntutan dalam industri ini. Hari ini, keyakinan saya lebih banyak datang daripada kualiti kerja dan prestasi, bukan semata-mata penampilan fizikal. Perubahan yang berlaku seiring pertambahan usia adalah sesuatu yang normal. Yang lebih penting bagi saya ialah bagaimana saya rasa tentang diri sendiri.
Selagi saya sihat, kuat dan selesa dengan diri sendiri, itu sudah memadai. Sudah tentu kita semua mahu tampil kemas dan menarik, tetapi penampilan yang baik bukan hanya tentang apa yang dilihat pada luaran. Ia juga terpancar melalui keyakinan diri dan cara kita membawa diri.


Meerqeen dikenali dengan disiplin kecergasan yang konsisten. Adakah pendekatan anda terhadap fitness kini lebih tertumpu kepada prestasi, kesihatan atau estetika?
Dahulu, pendekatan saya terhadap kecergasan lebih tertumpu kepada estetika, terutamanya untuk memenuhi keperluan kamera. Namun kini, keutamaan saya telah berubah. Saya lebih fokus membina tubuh yang benar-benar berfungsi. Tubuh yang mampu bertahan dengan jadual penggambaran yang panjang serta memenuhi tuntutan aksi fizikal yang mencabar.
Apabila tubuh berada dalam keadaan kuat dan sihat, aspek estetika biasanya akan hadir secara semula jadi. Pada akhirnya, menjaga tubuh badan juga merupakan satu amanah. Kesihatan ialah aset yang paling berharga, dan menjadi tanggungjawab kita untuk menjaganya sebaik mungkin.
Anda dikatakan sedang bersiap sedia untuk watak terbesar dalam kerjaya setakat ini. Apakah yang boleh anda kongsikan tentang persediaan fizikal dan mental yang sedang dilakukan?
Watak ini benar-benar mencabar saya untuk keluar daripada zon selesa, baik dari segi fizikal mahupun mental. Persediaan fizikal memerlukan komitmen sepenuhnya kerana bukan mudah untuk membina tubuh yang benar-benar sesuai dengan kehendak watak tersebut.
Namun bagi saya, cabaran sebenar terletak pada persediaan mental dan emosi. Saya banyak meluangkan masa untuk memahami latar belakang, pemikiran dan jiwa watak ini. Ia bukan sekadar tentang kelihatan seperti watak itu, tetapi benar-benar memahami dan merasai apa yang dilaluinya supaya setiap emosi yang dipersembahkan terasa jujur dan meyakinkan.
Jika peranan ini menjadi titik perubahan seterusnya dalam kerjaya anda, apakah yang paling anda harap penonton akan lihat daripada Meerqeen yang mungkin belum pernah mereka saksikan sebelum ini?
Saya berharap penonton dapat melihat sisi diri saya yang lebih mendalam dan lebih rapuh sebagai seorang pelakon, bukan sekadar imej yang selama ini mereka kenali. Watak ini memberi saya ruang untuk bereksperimen, mengambil risiko dan meneroka dimensi lakonan yang belum pernah saya tampilkan sebelum ini.
Jika selepas menonton, penonton berkata, “Saya tak sangka Meerqeen mampu membawa watak seperti ini,” itu sudah menjadi satu kepuasan besar buat saya. Sebagai pelakon, itulah yang saya sentiasa kejar. Untuk terus berkembang, mencabar diri sendiri dan memberi sesuatu yang baharu kepada penonton.

Apakah tiga produk grooming yang sentiasa ada dalam beg atau ketika anda mengembara?
Yang paling wajib sudah tentu minyak wangi. Bagi saya, setiap lelaki perlu menjaga penampilan diri, dan apabila kita berbau harum serta segar, ia secara tidak langsung meningkatkan keyakinan diri. Tidak kisahlah apa jenamanya, wangian yang dipilih juga sedikit sebanyak mencerminkan personaliti seseorang.
Selain itu, saya sentiasa membawa hair styling wax untuk merapikan rambut sebelum menghadiri acara atau sesi penggambaran. Satu lagi produk yang saya tidak pernah tinggalkan ialah pelindung matahari (sunscreen). Ia merupakan keperluan asas, terutamanya apabila saya mengembara atau menghabiskan masa yang lama melakukan aktiviti di luar. Menjaga kulit bukan sekadar soal penampilan, tetapi juga tentang menjaga kesihatan kulit untuk jangka panjang.
Artikel berkaitan: GLAM LELAKI MAC 2025 #MODERNMUSES MEMPERSEMBAHKAN MEERQEEN
Tags
Artikel Yang Berkaitan
ACNE STUDIOS RASMI BUTIK PERTAMA DI MALAYSIA, TERLETAK DI PAVILION KUALA LUMPUR
Acne Studios kini berada di Kuala Lumpur! Butik Acne Studios di Pavilion KL mendapat perhatian dengan pembukaan yang bakal berlangsung.
MONTBLANC MENGANGKAT SENI KEMBARA MODEN MENERUSI KOLEKSI KULIT MUSIM LURUH 2026
Montblanc sekali lagi membuktikan kepakarannya dalam menggabungkan seni pertukangan, fungsi dan estetika menerusi koleksi kulit terbaharunya.
REVOLUSI BEG LELAKI TERBESAR ABAD INI BERMULA DI PENTAS PIALA DUNIA
Lihat bagaimana bintang bola sepak global mengubah status beg lelaki mewah menjadi simbol gaya piala dunia lelaki moden.
GL PLAYLIST: 10 LAGU K-HIPHOP MENGUASAI PLAYLIST GLAM LELAKI
Selain daripada K-Pop, genre K-HipHop juga kini menerima perhatian yang cukup banyak daripada peminat muzik walaupun dikira lebih niche.
FENOMENA CHROME HEARTS DALAM DUNIA K-POP
Sejak dahulu lagi, jenama Chrome Hearts sudah menjadi kesukaan kebanyakkan idola K-Pop sebagai item fesyen yang sering digayakan.
SUNTIKAN SENI STREETWEAR: DARI PENTAS MILAN KE JALANANAN
Pentas peragaan Milan membawa elemen jalanan ke tahap tertinggi. Ketahui bagaimana siluet longgar dan fabrik premium menguasai fesyen lelaki.











