Skip to content

I’M DONUT? BUKA CAWANGAN PERTAMA DI MALAYSIA DI THE EXCHANGE TRX

I’M DONUT? BUKA CAWANGAN PERTAMA DI MALAYSIA DI THE EXCHANGE TRX

Kongsikan artikel ini

Donat popular dari Jepun, I’m donut? akhirnya tiba di Malaysia dengan lebih 30 pilihan perisa, termasuk beberapa menu eksklusif.

Penggemar pastri dan pencinta makanan Jepun kini mempunyai satu lagi destinasi baharu untuk diterokai. Jenama donat popular dari Jepun, I’m donut?, secara rasminya membuka cawangan pertamanya di Malaysia dan juga yang pertama di Asia Tenggara, bertempat di The Exchange TRX, Kuala Lumpur.

Dibuka kepada orang ramai bermula 12 September 2026, I’m donut? membawa bersama identiti uniknya menerusi koleksi nama donuts yang terkenal dengan teksturnya yang sangat lembut, ringan dan seakan-akan cair di dalam mulut.

Bukan Donat Biasa

Diasaskan oleh chef dan pemilik, Ryouta Hirako, I’m donut? bermula dengan satu persoalan ringkas tetapi cukup mencuit perhatian. “Am I a donut?” Daripada persoalan itulah lahirnya nama I’m donut?, yang menggambarkan pendekatan jenama tersebut dalam mentafsir semula maksud donat. Jika kebiasaannya donat dikaitkan dengan tekstur yang padat atau kenyal, I’m donut? tampil dengan pengalaman berbeza menerusi nama donut yang mempunyai tekstur ringan, gebu dan halus.

Setiap donat dihasilkan secara teliti dan dibentuk serta digoreng menggunakan kaedah buatan tangan. Jenama ini juga menitikberatkan penggunaan bahan segar dengan seboleh mungkin mengurangkan bahan siap digunakan, termasuk menghasilkan sendiri komponen seperti krim.

Untuk pembukaan di Kuala Lumpur, mereka menawarkan pelbagai pilihan daripada menu ikoniknya seperti I’m donut? Original, Nama French Cruller, Pistachio Cream, Cacao dan Custard. Secara keseluruhan, terdapat lebih 30 pilihan perisa untuk dicuba. Ini memberikan pelanggan peluang untuk mengenali pelbagai tekstur dan rasa yang menjadi identiti I’m donut?. Namun, apa yang membuatkan pembukaan di Malaysia lebih istimewa ialah kehadiran beberapa perisa eksklusif yang hanya boleh didapati di Malaysia.

Perisa Istimewa Hanya Di Malaysia

Bagi meraikan kemasukannya ke pasaran tempatan, I’m donut? turut menghasilkan beberapa ciptaan khas yang diinspirasikan oleh citarasa dan budaya makanan Malaysia. Antara yang bakal mencuri perhatian termasuk Cham, Hojicha Kaya Jam, Milo Glazed, Masala Chicken, Banana Fritter Caramel dan Pandan Coconut Cream.

Gabungan ini memperlihatkan bagaimana I’m donut? mengekalkan elemen dan identiti asal Jepun. Pada masa yang sama, mereka memberikan sentuhan tempatan menerusi bahan serta rasa yang dekat dengan selera rakyat Malaysia. Daripada minuman kegemaran tempatan seperti cham dan rasa klasik kaya, menu eksklusif ini sememangnya memberikan kelainan kepada pengalaman menikmati donat.

I’m donut? mula membuka kedai pertamanya di Jepun pada 2022 dan sejak itu terus dikenali menerusi konsep nama donut yang berbeza daripada donat konvensional. Kini, pembukaan di Kuala Lumpur menandakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan jenama tersebut ke luar Jepun. Ia sekali gus memberi peluang kepada pelanggan di Asia Tenggara untuk merasai sendiri donat yang sebelum ini menjadi antara tarikan buat pengunjung ke Jepun.

Bagi mereka yang sudah pernah mencuba I’m donut? ketika bercuti ke Jepun, cawangan Kuala Lumpur pula menawarkan peluang untuk menikmati semula pilihan ikonik jenama tersebut sambil meneroka perisa baharu yang dicipta khusus untuk Malaysia.

Jadi, sama ada anda mahu mencuba nama donut buat kali pertama atau sudah lama mengenali jenama ini dari Jepun, pembukaan I’m donut? di Kuala Lumpur sememangnya satu lagi sebab untuk singgah ke The Exchange TRX. Dan dengan lebih 30 pilihan perisa serta menu eksklusif Malaysia, persoalannya kini bukan lagi “Am I a donut?”, tetapi “Which one should I try first?”

Pautan berkaitan: MARK YOUR CALENDAR: 5 SAMBUTAN YANG BAKAL WARNAI SEPTEMBER DI MALAYSIA

Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.