LEGASI ALLAHYARHAMAH TUN DR SITI HASMAH SEPANJANG HIDUPNYA
Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah meninggalkan kesan mendalam buat rakyat. Namun, legasinya juga besar di negara ini.
Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada usia 100 tahun meninggalkan sebuah legasi yang jauh melangkaui peranannya sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi, 28 September 2026. Pemergiannya disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Tun Dr Siti Hasmah merupakan antara wanita Melayu terawal yang memilih bidang perubatan sebagai kerjaya. Sepanjang lebih dua dekad dalam perkhidmatan awam, beliau menumpukan sebahagian besar kerjayanya kepada kesihatan ibu dan anak, khususnya dalam komuniti luar bandar. Sepanjang kehidupannya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah telah meninggalkan legasi sebagai wanita hebat di Malaysia.
#1 Antara Wanita Melayu Terawal Dalam Bidang Perubatan
Tun Dr Siti Hasmah membesar sebagai anak keenam daripada 10 beradik kepada Haji Mohd Ali, seorang pegawai kerajaan, dan Hajah Siti Khatijah Ahmad, seorang suri rumah. Beliau kemudian melanjutkan pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura selepas Perang Dunia Kedua menerusi biasiswa. Pada ketika itu, beliau merupakan satu-satunya wanita Melayu dalam kelompok pengajiannya.
Selepas menamatkan pengajian sebagai doktor pada 1955, beliau menjalani latihan siswazah di Hospital Besar Kuala Lumpur sebelum memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kesihatan awam. Latar belakang keluarganya turut menyaksikan beberapa adik-beradiknya memegang jawatan penting dalam negara. Antaranya ialah Tun Ismail Mohamed Ali yang menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia kedua serta Tan Sri Ahmad Razali Mohd Ali yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor.
#2 Memecah Sempadan Untuk Wanita Dalam Perubatan
Kerjaya Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah dalam bidang kesihatan awam banyak tertumpu kepada perubatan pencegahan, khususnya kesihatan ibu dan kanak-kanak. Pada 1965, beliau mencatat sejarah apabila dilantik sebagai wanita pertama memegang jawatan Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak di Kedah. Sembilan tahun kemudian, beliau sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri.
Pengalaman tersebut membawanya lebih dekat dengan masyarakat luar bandar, terutama wanita dan kanak-kanak yang memerlukan akses kepada pendidikan serta perkhidmatan kesihatan.

#3 Memperjuangkan Kesihatan Ibu Dan Anak
Sebahagian besar kerjayanya di Kedah didedikasikan kepada usaha meningkatkan kesihatan ibu dan kanak-kanak di kawasan luar bandar. Beliau giat memperjuangkan program imunisasi kanak-kanak, amalan kebersihan serta penjagaan ibu selepas bersalin dan bayi yang lebih selamat. Bukan sekadar memberikan rawatan, Tun Dr Siti Hasmah turut memainkan peranan dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan. Beliau juga bekerjasama dengan pengamal perubatan tradisional, bidan serta wanita tempatan bagi memperkukuh usaha kesihatan di peringkat komuniti.
Pendekatan tersebut memperlihatkan kepentingannya terhadap pendidikan dan pencegahan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan taraf kesihatan masyarakat.
#4 Turut Menentang Penyalahgunaan Dadah
Selain bidang kesihatan ibu dan anak, Tun Dr Siti Hasmah turut aktif dalam usaha menangani penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda. Sebagai Presiden BAKTI, beliau terlibat dalam kempen pendidikan yang meningkatkan kesedaran golongan muda Malaysia mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Usaha tersebut turut membawanya ke pentas antarabangsa. Antaranya ialah First Ladies’ Conference on Drug Abuse di Washington pada 1985 serta International Conference on Drug Abuse and Illicit Trafficking di Vienna pada 1987.

#5 Membawa Isu Wanita Luar Bandar Ke Peringkat Antarabangsa
Komitmennya terhadap wanita tidak terhad kepada Malaysia. Pada 1992, Tun Dr Siti Hasmah menyertai First Ladies’ Summit for the Economic Advancement of Rural Women di Geneva. Beliau kemudiannya dipilih sebagai salah seorang daripada enam Core-Group Initiators yang mewakili rantau Asia-Pasifik.
Penglibatannya diteruskan menerusi peranan di peringkat serantau dalam usaha menggalakkan kemajuan ekonomi serta kebajikan wanita luar bandar dan wanita di kawasan kepulauan.
#6 Mewakili Malaysia Dalam Persidangan Wanita Dunia
Pada 1995, Tun Dr Siti Hasmah mengetuai delegasi Malaysia ke Fourth World Conference on Women anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Beijing. Persidangan bersejarah itu menghimpunkan negara-negara dari seluruh dunia bagi membincangkan isu berkaitan kesaksamaan wanita, pembangunan dan peluang.
Beliau turut menyampaikan ucapan bertemakan “Equality, Development and Peace: A Caring World”, membawa perspektif Malaysia mengenai isu wanita ke pentas antarabangsa.
#7 Menerima Pengiktirafan Antarabangsa
Sumbangan Tun Dr Siti Hasmah dalam bidang kesihatan awam dan kemasyarakatan turut menerima pelbagai pengiktirafan. Antaranya ialah Kazue McLaren Award daripada Asia-Pacific Consortium for Public Health pada 1988 serta beberapa ijazah doktor kehormat daripada institusi pengajian tinggi di Malaysia dan luar negara.
Pada 2003, beliau dianugerahkan Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM), yang membawa gelaran “Tun”.
Legasi Yang Melangkaui Gelaran First Lady Di Malaysia
Tun Dr Siti Hasmah mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1956 selepas kedua-duanya bertemu ketika menuntut ilmu dalam bidang perubatan di Singapura. Perkahwinan mereka bertahan selama 70 tahun dan dikurniakan tujuh orang anak, termasuk tiga anak angkat. Beliau meninggalkan suami, anak-anak, cucu serta cicit. Bagi ramai rakyat Malaysia, Tun Dr Siti Hasmah dikenali sebagai isteri kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan sebagai First Lady ketika suaminya memegang jawatan Perdana Menteri. Namun, legasi yang dibinanya sepanjang hayat mempunyai kisahnya sendiri.

Daripada menjadi antara wanita Melayu terawal dalam bidang perubatan hingga mencipta sejarah dalam perkhidmatan kesihatan ibu dan anak. Beliau turut memperjuangkan kesihatan masyarakat luar bandar sehinggalah membawa isu wanita ke peringkat antarabangsa. Tun Dr Siti Hasmah mengabdikan sebahagian besar hidupnya kepada masyarakat.
Pemergiannya pada usia 100 tahun bukan sekadar menutup sebuah perjalanan hidup yang panjang, tetapi meninggalkan sejarah tentang seorang wanita yang memilih untuk berkhidmat, memimpin dan membuka jalan buat generasi selepasnya. Legasinya kekal sebagai sebahagian daripada sejarah Malaysia. Bukan hanya melalui peranannya di sisi seorang Perdana Menteri, tetapi melalui sumbangannya sendiri kepada bidang perubatan, kesihatan awam, wanita dan masyarakat.
Pautan berkaitan: TUN DR HASMAH MENINGGAL DUNIA PADA UMUR 100 TAHUN
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
LAGU ON REPEAT DI TIKTOK SEPTEMBER 2026
Lagu yang sedang hangat di TikTok dan terus bermain di fikiran pengguna, daripada rentak rancak hingga melodi yang memikat.
THE FACE OF ALPHA? SIAPA ARAFF DI SEBALIK GELARAN ‘VISUAL’?
Kenali Araff di sebalik gelaran ‘Visual’ ALPHA, daripada gaya dan karakter hingga perjalanan membina identiti dalam kumpulan.
HAEL HUSAINI, PERJALANAN MUZIK, SEBUAH PERJALANAN DIRI
Bagi Hael Husaini, perjalanan dalam muzik bukan sekadar tentang mengejar pencapaian, tetapi proses yang membentuk dirinya sebagai pemuzik.
ARMANI BEAUTY I WILL BAWA VISI MASKULINITI BAHARU KE SURIA KLCC
Armani beauty mengajak peminat wangian lelaki meneroka sisi baharu maskuliniti menerusi I WILL fragrance pop-up.
10 OUTFIT YANG MENCURI PERHATIAN DI VMAS 2026
Disebalik kehebatan video muzik, MTV VMAs 2026 juga meraikan outfit selebriti penuh megah.
GL THE MAN AWARDS 2026 STYLE’S CHOICE
GLAM Lelaki kembali dengan kategori eksklusif buat GL The Man Awards 2026, Style's Choice bersama Co-Chair yang akan diumumkan nanti.











