Skip to content

YAYASAN SUTRA BAKAL MEMPERSEMBAHKAN ‘JAYA RAM’, PRODUKSI TARIAN ODISSI TERBESAR

Kongsikan artikel ini

Produksi tarian Odissi berjudul ‘Jaya Ram’ bakal dipersembahkan oleh Yayasan Sutra bermula 21 hingga 25 September 2022 di KLPAC.

“Jaya Ram” merupakan sambungan kepada produksi bertajuk “Ganjam” yang kali terakhir dipersembahkan pada tahun 2015, sebuah kisah cinta berkisar kepada daerah Ganjam di India yang kaya dengan tradisi dan budaya. Yayasan Sutra yang bakal mempersembahkan produksi tarian Odissi terbesar ini bermula 21 September sehingga 25 September 2022 di KLPAC.

Produksi Odissi berjudul “Jaya Ram” anjuran Yayasan Sutra ini bakal dipersembahkan oleh lebih dari 20 orang penari dari Sutra Dance Theatre serta Sutra Outreach Programme. Selain menampilkan genre tradisional dari segi muzik dan pergerakan tarian dalam penceritaan kisah Rama Natakam dan Ram Leela, produksi ini akan diiringi oleh barisan pemuzik terbaik dari bidang muzik klasikal India telah mengabdikan diri mereka kepada seni budaya ini.

Guru Gajendra Kumar Panda, salah seorang penggiat seni tari paling prolifik di India dan juga kolaborator kepada Yayasan Sutra selama lebih empat dekad diberikan tanggungjawab untuk merekacipta konsep produksi Jaya Ram, bersama-sama dengan Datuk Ramli Ibrahim, selaku pengasas Yayasan Sutra.

Datuk Ramli Ibrahim

Menurut Datuk Ramli Ibrahim, “Kelahiran roduksi ini sememangnya amat ditunggu-tunggu dan ianya lebih bermakna kerana pada tahun ini juga, negara Malaysia dan India menyambut ulang tahun perhubungan diplomatik kedua-dua negara ke-65. Selepas ianya dipersembahkan di Malaysia, kami bercadang membawa produksi ini ke India dan Singapura. Ianya merupakan surat cinta Sutra kepada dunia yang semakin sembuh, dan saya berharap para peminat seni di Malaysia dan rakyat negara ini secara umum dapat menyokong produksi ini yang bakal mencipta sejarah”.

“Jaya Ram” akan dipersembahkan di Pentas 1, KLPAC pada 21 September (Malam Gala), sehingga September 25, 2022. Tiket berharga dari RM34 sehingga RM104, boleh didapati secara dalam talian di https://www.cloudtix.co .

 

Foto: Sutra Foundation

Baca lebih lanjut: 5 SEBAB ANDA PERLU TONTON SIRI STAR WARS TERBAHARU, ‘ANDOR’