Skip to content

FILEM ABANG ADIK WAKILI MALAYSIA KE OSCAR 2025

FILEM ABANG ADIK WAKILI MALAYSIA KE OSCAR 2025

Kongsikan artikel ini

Abang Adik melakar sejarah apabila dipilih mewakili negara ke Anugerah Akademi ke-97 yang bakal berlangsung pada Mac 2025.

Naskah arahan Jin Ong itu dipilih untuk kategori Filem Cereka Antarabangsa. Menurut Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia atau FINAS, pemilihan Abang Adik adalah hasil beberapa penilaian oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) FINAS yang terdiri daripada barisan profesional perfileman. Juga kerana mematuhi semua syarat penyertaan yang ditetapkan penganjur.

“Filem terbitan More Entertainments Sdn Bhd ini merangkul 19 anugerah antarabangsa, sekali gus satu pencapaian yang membuktikan filem Malaysia mampu bersaing dan menyerlah di peringkat global.

Abang Adik

“Antara pencapaian tertinggi adalah Anugerah Filem Terbaik, Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition Ke-22) dan merangkul Golden Mulberry, Black Dragon Critics Award serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali.

“Di peringkat tempatan, filem ini mencatatkan kemenangan di Malaysia Global Golden Awards (MGGA) 2024 dengan meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik,” menurut kenyataan.

Abang Adik Selami Kehidupan Dua Beradik Yatim Piatu

Filem ini mengisahkan kepayahan hidup Abang (lakonan Wu Kang Ren) dan Adik (Jack Tan) sebagai yatim piatu yang tiada status kewarganegaraan di sekitar Pudu, kawasan yang didiami ramai pekerja asing. Mereka tidak boleh menikmati kebajikan umum negara, tidak boleh memohon pasport mahupun membuka akaun bank kerana tidak memiliki dokumen sah.

Abang yang dilahirkan tanpa deria pendengaran sentiasa bekerja keras demi mendapatkan kehidupan stabil. Adik pula tidak mahu tunduk kepada nasibnya dan menjual dokumen palsu secara haram. Dia hanya mahu meraih wang dan membawa abangnya keluar dari tempat tersebut.

Abang Adik oscar

Filem ini mencetus fenomena tahun lalu dengan kutipan pecah panggung RM14.6 juta di Taiwan dan RM1.55 juta di Hong Kong. Sekali gus menjadikannya filem Malaysia pertama mencatat rekod kutipan tertinggi.

Di Malaysia, Abang Adik turut meraih kutipan besar iaitu RM5.7 juta ketika ditayangkan pada Disember tahun lalu.

 

Foto: Netflix

Pautan berkaitan: ANNA JOBLING TERAJUI FILEM DUYUNG: LEGENDA AURORA