Skip to content

LEE JOON GI TEMUI PEMINAT DI KUALA LUMPUR SEPTEMBER INI

LEE JOON GI TEMUI PEMINAT DI KUALA LUMPUR SEPTEMBER INI

Kongsikan artikel ini

Tanggal 22 September 2024 bakal mencipta kenangan indah yang tidak dapat dilupakan buat peminat setia Lee Joon Gi di Malaysia.

Apa tidaknya, pelakon dan penyanyi dari Korea Selatan itu akan menjejakkan kaki buat kali pertama ke negara ini  untuk satu sesi bertemu peminat. Ia adalah sebahagian daripada jelajahnya, Lee Joon Gi Asia Tour 2024 (Joon Gi’s Day: Festival).

Dianjurkan oleh Lo-Fi Entertainment dan Hit Maker Entertainment dengan kerjasama Sliding Door Entertainment, acara selama tiga jam ini akan diadakan di Mega Star Arena bermula jam 6 petang.

Peminat yang mengikuti perjalanan seni Joon Gi selama berdekad-dekad akhirnya mendapat peluang keemasan untuk bertentang mata dengan bintang berusia 42 tahun itu.

Bukan itu saja, peminat yang hadir juga akan dapat berinteraksi secara langsung dan menikmati persembahan hebat. Umum mengetahui artis serba boleh itu terkenal dengan vokal mantap dan gerak tari mengagumkan.

Tiket boleh didapati di laman web Ticketingtix pada 26 Julai 2024, jam 12 tengah hari. Harga dijual mengikut empat kategori iaitu RM358, RM538, RM668 dan RM798.

Latar Belakang Kerjaya Lee Joon Gi

Aktor berwajah tampan ini menceburi industri hiburan sebagai model pada 2001 sebelum ditawarkan watak sampingan dalam filem. Namanya melonjak naik setelah membintangi filem sejarah The King and The Clown menerusi watak Gong-Gil pada 2005.

Drama pertama lakonannya adalah siri popular My Girl pada 2005 yang mengangkat namanya di persada antarabangsa termasuk di Malaysia. Sejak itu dia telah membintangi pelbagai naskah hebat termasuk Flower of Evil, Arthdal Chronicles, Again My Life dan Lawless Lawyer.

Malah dia turut mendapat jolokan ‘Raja Sageuk’ atau ‘Raja Drama Sejarah’ kerana sering menggalas watak utama dalam siri seperti Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo, Scholar Who Walks The Night dan Iljimae. Joon Gi membuat kemunculan pertama dalam industri hiburan Hollywood menerusi filem Resident Evil: The Final Chapter pada 2016.

 

Foto: Marie Claire

Pautan berkaitan: KONSERT DUA LIPA DI KUALA LUMPUR DIPANJANGKAN