Skip to content

40 TAHUN BERKARYA, IMUDA DIKURNIAKAN GELARAN DATUK

40 TAHUN BERKARYA, IMUDA DIKURNIAKAN GELARAN DATUK

Kongsikan artikel ini

Empat dekad berkecimpung dalam industri hiburan tanah air, Imuda atau nama sebenarnya A Rahim Muda kini bergelar Datuk.

Sempena Hari Ulang Tahun Ke-75 Yang Di-Pertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi, artis serba boleh itu dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri. Istiadat itu berlangsung pada 30 Julai 2024 di Pulau Pinang.

Imuda yang merupakan pelakon, pelawak, pengacara, penyanyi dan kartunis ini mengakui berasa bangga dan berbesar hati dengan kurniaan yang diberikan kepadanya.

“Sejujurnya saya berasa amat bangga kerana menerima penganugerahan daripada TYT Pulau Pinang. Selepas begitu lama berkecimpung dalam dunia hiburan sejak 40 tahun lalu, inilah masa dan saatnya untuk meraikan kejayaan.

“Bukan saja untuk diri saya tetapi juga buat seluruh anak seni yang lain di negeri Pulau Pinang,” katanya, menurut laporan Xtra.

datuk imuda

Foto: Malaysiakini

Beliau merupakan salah seorang daripada 103 penerima Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang pada tahun ini.

Latar Belakang Kerjaya Datuk Imuda

Nama Imuda bukanlah asing di kalangan peminat komedi. Bintang berusia 65 tahun ini menceburi industri hiburan sebagai pelakon teater menerusi watak sebagai mayat.

Awal 1980-an menyaksikan kemunculan pertamanya di slot Drama Minggu Ini melalui Bahtera yang dihasilkan dalam format hitam putih. Sejak itu beliau menerima banyak tawaran drama dan dipelawa membintangi Mekanik, filem pertamanya.

Namanya melonjak naik setelah menggalas watak Budin dalam sitkom Kampung Seri Wangi yang kemudiannya ditukar menjadi Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Juga sitkom 2 + 1 di mana beliau memegang peranan sebagai Sam di samping Raja Ema, Louisa Chong dan Susan Lankester.

Filem lakonannya pula termasuk Balik Kampung, Kembara Seniman Jalanan, Hati Bukan Kristal, Mat Som, Mat Gelap dan Imigran.

Sebelum melangkah ke dunia lakonan, Imuda terlebih dahulu bergelar kartunis dan pernah menyumbang karyanya kepada majalah popular Gila-Gila, Gelihati serta Berita Minggu. Sehingga kini beliau masih aktif sebagai pelukis dan kerap menganjurkan bengkel melukis buat bakat baru.

 

Foto: Facebook

Pautan berkaitan: FARID KAMIL TIDAK LAGI BERGELAR DATUK