5 PASANGAN SELEBRITI BERSTATUS BILIONAIR PALING KAYA PADA 2024
Tidak dinafikan terdapat ramai pasangan selebriti terkenal di luar sana yang bukan sahaja serasi dan secocok dalam percintaan, tetapi juga dari sudut kreatif.
Selain menghasilkan projek menarik dan menguntungkan, kerjasama kreatif antara pasangan selebriti ini juga berjaya mencipta empayar bernilai berbilion dolar.
GL kongsikan lima pasangan selebriti terkaya di dunia pada tahun ini
5. Rihanna & A$AP Rocky (RM6.40 bilion)
Tidak mengeluarkan album sejak tahun 2016, majoriti kekayaan Rihanna datangnya daripada perniagaan. Nilai kekayaannya kini adalah RM6.31 bilion.
Rihanna memegang 50 peratus saham dalam lebel kecantikannya Fenty Beauty dan 30 peratus dalam jenama pakaian dalam Savafe x Fenty. Dia turut melancarkan rangkaian penjagaan rambut Fenty Hair pada Jun lalu.
Kekayaan pasangannya A$AP Rocky pula bernilai kira-kira RM90 juta. Sebahagian besarnya datang daripada jualan album dan konsert jelajah dunia.
4. Taylor Swift & Travis Kelce (RM7.61 bilion)
Penyanyi pop tersohor ini memiliki kekayaan berjumlah RM7.21 bilion, menjadikannnya pemuzik pertama mencapai status bilionair menerusi muzik semata-mata.
Menurut The Washington Post, konsert jelajah dunianya The Era Tours menjana pendapatan kira-kira RM18.5 bilion. Ia mencatat rekod sebagai konsert dengan kutipan tertinggi sepanjang masa.
Teman lelakinya Travis Kelce dianggarkan memiliki kekayaan bernilai RM405.8 juta. Dia merupakan bintang dengan bayaran tertinggi dalam NFL dan mempunyai podcast popular, New Heights bersama abangnya Jason. Selain itu Travis juga menjalin kerjasama dengan jenama mewah seperti Nike dan Amazon.
3. Beyonce & Jay-Z (RM14.8 bilion)
Pasangan tersohor ini berkahwin pada 2008 dan mengungguli takhta industri muzik Hollywood dengan kemasyhuran serta empayar perniagaan yang dimiliki.
Beyonce mencipta nama sebagai penyanyi solo yang berjaya selepas kumpulan Destiny’s Child dibubarkan pada 2005 dan memperoleh kekayaan daripada berjuta-juta jualan album serta konsert jelajah yang dijayakannya.
Selain memiliki jenama fesyen sendiri, dia turut bergelar taikun wangian dan memiliki kekayaan berjumlah RM3.43 bilion pada tahun ini.
Suaminya yang merupakan penyanyi rap bilionair pertama dunia menjana pendapatan daripada perniagaan dan pelaburan selain muzik. Dia merupakan pengasas agensi hiburan Roc Nation dan jenama minuman keras D’Usse.
Jay-Z juga merupakan pemegang saham dalam beberapa syarikat besar antaranya Uber, SpaceX, Ethos, dan rangkaian restoran Sweetgreen. Nilai kekayaannya pada tahun ini adalah RM11.3 bilion.
2. Steven Spielberg & Kate Capshaw (RM24.4 bilion)
Pengarah tersohor dan aktres ini bertemu buat kali pertama pada 1984 ketika Kate Capshaw menjalani uji bakat filem India Jones and the Temple of Doom. Mereka berkahwin pada 1991 dan dikurniakan tujuh cahaya mata.
Bernilai RM23.9 bilion, Steven Spielberg memperoleh kekayaannya menerusi karya agung seperti Jaw, ET The Extra-Terrestrial, Jurassic Park, Schindler’s List dan Catch Me If You Can. Isterinya juga meraih bayaran tinggi sepanjang kerjayanya sebagai aktres selepas mencipta nama menerusi filem Indiana Jones dan Temple of Doom. Nilai kekayaannya adalah RM450.9 juta.
1. Salma Hayek & Francois-Henri Pinault (RM35.9 bilion)
Tangga teratas dalam senarai pasangan selebriti terkaya dunia menjadi milik aktres kelahiran Mexico dan dan mogul fesyen Perancis ini. Salma Hayek menjana pendapatan yang tinggi dalam bidang hiburan dan perniagaan. Dia juga menerbit dan mengarahkan beberapa filem menerusi syarikat produksi miliknya, Ventanarosa.
Selain itu Salma juga merupakan pengasas bersama program penghantaran jus, Cooler Cleanse dan perkhidmatan penghantaran langganan kecantikan, Blend It Yourself. Dia juga pemilik jenama kosmetik Nuance by Salma Hayek. Nilai kekayaannya berjumlah RM901.7 juta.
Pada 2009, dia mendirikan rumah tangga dengan Francois Pinault, ketua pegawai eksekutif syarikat Kering – pemilik jenama seperti Saint Laurent, Alexander McQueen, Balenciaga dan Gucci. Francois yang memiliki kekayaan bernilai RM34.9 bilion juga merupakan presiden Groupe Artemis, sebuah syarikat induk dengan portfolio dalam fesyen, minuman keras, produk mewah, seni, pelancongan dan banyak lagi.
Foto: Getty Images
Pautan berkaitan: 5 BILIONAIR DUNIA YANG BIJAK BERGAYA
Tags
Artikel Yang Berkaitan
5 PASANGAN SELEBRITI BILIONAIR TERKAYA DI DUNIA
Walaupun Beyonce & Jay-Z merupakan antara selebriti bilionair paling berjaya di Hollywood, 'takhta' pasangan terkaya 2022 bukan milik mereka.