AFGAN IS GLAM LELAKI OCTOBER’S COVER STAR!
Editor & arahan kreatif: JOHAN KASSIM, Pengarah seni senior: KHAI RAMLI, Pereka grafik: HILMAN HISHAM, Gambar: CHUAN LOOI (YIPEYAYA STUDIO), Pelatih amali: BATRISYIA FAISAL,Teks: KHAIRUL ABIDIN
“Aku Semula Jadinya Seorang Yang Melankolik,”- Afgansyah Reza
Saya memutar lima lagu dari album ‘Sonder’ berulang-ulang kali sebelum mula menulis artikel ini. Saya mahu meresap sisi lain Afgan seperti yang dia katakan saat kami duduk berbual awal Ogos lalu. Tidak menyifatkan perubahan jalur muziknya kebelakangan ini sebagai satu reinvention, tapi lebih cenderung kepada membuka tirai sisi dirinya yang lain.
Mula bermuzik secara profesional sejak terlancarnya album debut ‘Confession No.1’ yang memahatkan lagu ‘Terima Kasih Cinta’ sebagai salah satu lagu popular serantau pada tahun 2008. Biar sudah lebih 15 tahun bermuzik, belum ada tanda-tanda yang Afgan mahu memperlahankan langkahnya. Malah semakin jauh dia menjual muziknya. Kolaborasi bersama penyanyi luar seperti Jackson Wang (M.I.A) dan Jessi (Escape) antara karya yang menandai kerja kuatnya. Di Malaysia saja, boleh kata saban tahun dia ke sini melangsungkan konsert, belum ada tanda peminat berasa jemu. Persembahannya sentiasa ‘sold out’.
Sudah lebih kurang 17 tahun bermuzik secara profesional, secara umum konklusi kembara karier kamu itu berjalan mudah atau banyak cabarannya?
Banyak cabarannya dan bagi aku untuk maintaining itu jauh lebih sukar jika dibandingkan dengan memulakannya. Awalannya itu kesukarannya lebih kepada untuk menyakinkan orang apa yang aku ada, tapi mengekalkan momentum itu lebih susah. Selepas beberapa tahun aku mungkin terperangkap dalam ruang yang sama kerana boleh jadi aku melakukan benda yang sama saja. Apa lagi yang aku boleh offer? Aku seorang artis yang enggan menjadi stagnant, tidak berkembang. Aku mahu grow.
Sudah 17 tahun bermuzik, pernah kamu berasa bosan dengan apa yang kamu kerjakan?
Sudah pasti! Dan sebab itulah aku lakukan apa yang aku buat sekarang, merilis album Inggeris, album R&B, lari dari pop balada yang umum sudah begitu sinonim. Aku juga banyak berkolaborasi kerana dari prosesnya banyak yang aku belajar. Jika tidak mengambil jalan ini aku hanya akan menyanyi pop balada sepanjang usia. Seperti yang orang lihat di showcase aku di The Bee dua hari lalu, muziknya total R&B, berbeza sounds dan vibes nya. Aku mahu orang melihat dua sisi aku yang berbeza, ada pop dan ada R&B di lain sudutnya.
Aku suka kedua-duanya. Balada memang sudah ada dalam darah. Aku membesar mendengar kedua-duanya. Aku hanya mahu orang melihat sisi aku yang lain, yang membesar mendengar ‘Black music’, R&B 90-an seperti Babyface dan Brandy. Boleh jadi sisi yang lain ini juga alter ego aku.
Penyanyi R&B yang kamu dengar ketika ini?
Aku banyak mendengar Sza lewat kebelakangan ini.
Kamu banyak menjalin kolaborasi, biasanya mana yang terhasil dulu? Muziknya atau mencari teman kolaborasi lebih awal?
Song always come first, siapa teman kolaborasi itu difikir kemudian.
Aku percaya kamu makin selesa dan faham tentang industri muzik hasil mengutip pengalaman mencecah dua dekad. Ketika ini kamu sudah selesa mempamer warna sikap kamu atau masih lagi mencipta batas?
Lebih selesa dan aku rasa okey. Dulu aku seorang yang sangat uptight, selalu memikir bisakah aku buat itu, bolehkah aku buat ini. Hari ini aku rasa lebih selesa untuk menjadi diri sendiri kerana aku sedar hanya ada seorang saja Afgan.
Aku juga makin selesa untuk bersikap jujur dengan pendapat aku sendiri, berkongsi pandangan. Aku sendiri sedari sepanjang proses menyempurnakan album Inggeris, aku banyak berubah kerana aku banyak bekerja dengan penerbit luar. Aku perlu meminggir rasa malu dan mesti yakin menyuarakan apa yang aku mahu. Pengalaman ini banyak membantu membina keyakinan diri aku.
Ketika ini menggunakan media sosial itu satu keperluan sebagai platform untuk selebriti terus berhubung dengan peminat. Namun boleh jadi bila terlalu terdedah akan hilang nilai eksklusif. Pandangan kamu?
Aku cuba untuk tidak memikirkan hal eksklusiviti. Aku sendiri bukanlah besar di media sosial. Sejujurnya media sosial juga bukanlah forte aku. Tidak banyak yang aku kongsi tentang peribadi di media sosial tapi aku tahu itu (media sosial) juga jalan lain untuk aku berkomunikasi dengan penggemar aku. Aku cuba senyaman yang mampu tanpa perlu ada rasa dipaksa. Aku masih mengisi ruang itu untuk peminat, tapi aku rasa banyak yang boleh aku perbaiki (ketawa).
Aku membaca interviu Rossa di majalah EH!, bilangnya dia tidak mahu lagi menyanyi lagu merintih, biar cerita lagunya putus cinta tapi dia mahu liriknya lebih empowering kerana baginya pada usianya hari ini dia mahu sesuatu mesej yang lebih kuat dalam lagunya. Bagaimana dengan kamu, adakah sudah letih dengan lagu merintih?
Aku akan terus menulis lagu-lagu sedih juga kesunyian, perasaan-perasaan vulnerable. Kita manusia, akan ada ketikanya terluka. Tiap kali di studio aku menulis seiring perasaan aku. Lebih mudah menulis menurut rasa, dan aku lebih terinspirasi bila aku berasa sedih dan sunyi. Tapi bila aku gembira aku menulis lagu yang berbeza kerana bagi aku itu ruang untuk aku escape. Aku hanya mahu gembira dan lari dari realiti.
Bulan Oktober ini, Glam Lelaki memusatkan soal reinvent, apa yang kamu lakukan untuk reinvent muzik atau karier kamu?
Aku tak mahu menyatakan apa yang aku buat dalam muzik aku itu satu reinvent kerana boleh jadi dalam satu masa ia akan tersekat juga. Apa-apa yang aku mahu ubah aku lebih suka ia berlangsung secara natural tanpa ada rasa dipaksa. Seperti album R&B yang aku rilis berlangsung lewat aku banyak mendengar kembali Brian McKnight. Jika dari look nya, hari ini aku sudah tak mahu memakai kaca mata lagi (ketawa).
Sebagai manusia umunya, kamu fikir kita mesti reinvent?
Mungkin ya. Kita sentiasa ada ruang untuk menjadi versi yang lebih baik untuk diri kita sendiri. Tapi seperti yang aku bilang, biarlah perubahan itu kita langsungkan secara natural. Bagi aku jika berubah mestilah organik. Usah cuba untuk menjadi orang lain, follow your own path.
Afgan, apakah gol dalam karier muzik kamu?
Aku mahu mengembara ke seluruh dunia dan membuat persembahan dalam skala lebih kecil seperti yang aku baru buat. Aku mahu bertemu dengan peminat baru. Aku rasa itu akan lebih fun, membuat aku rasa seperti baru bermula. Aku hanya mahu membawa seorang teman dan hanya mengupah beberapa orang pemuzik lokal dan membuat persembahan. Terasa seperti 17 tahun dulu, perasaan yang sama seperti di awal-awal dulu, keterujaan yang serupa.
Bagaimana pula dengan gol kehidupan kamu?
Aku cuma mahu gembira (tersenyum). Aku cuba untuk tidak terlalu mengejar sesuatu. Aku lebih suka fokus apa yang ada di hadapan aku dan melakukan yang terbaik. Aku hanya mahu niat yang baik pada apa yang aku usahakan. Menikmati apa yang aku ada tanpa terlalu memikir apa yang tidak aku miliki lagi.
Apa yang kamu belajar dari hardship?
Aku selalu ingatkan diri aku, you are bigger than your problem. Asalkan aku percaya pada diri aku, tidak ada apa yang boleh menghalang aku. Jangan takut.
Apa yang kamu lakukan untuk kekal berinspirasi?
Stay inspired? Oh itu susah. Bagi aku menghargai benda-benda kecil itu penting. Bila bangun pagi, mengucapkan Alhamdulillah kerana diberi peluang untuk hari yang baru. Bila aku menyanyi aku melihat peminat, juga masa yang aku ada bila bersama keluarga. Ia hal kecil tapi miliki maknanya yang besar bagi aku. Appreciate little things.
Bagaimana atau apakah tanda yang kamu tahu hari ini akan jadi hari yang baik untuk kamu?
Bagi aku tiada hari yang sempurna, akan ada upside down. Bagaimana aku respon pada apa yang berlaku itu lebih penting. Bagi aku bila aku bangun tidur dengan perasaan yang tenang walaupun aku ada masalah, aku rasa ia boleh jadi hari yang baik bagi aku. Aku percaya pada ketenangan perasaan.
Bagaimana karakter kamu sewaktu kanak-kanak?
Aku seorang yang pemalu, tidak aktif. Bila aku lihat foto zaman kanak-kanak, I always look sad. Aku semula jadinya orang yang melankolik. Itu sebahagian dari personaliti aku. I just need to embrace it.
Mungkin itu juga punca kelebihan Afgan menyanyikan lagu balada? Lebih menjiwai.
Hahaha… harapnya begitu.
Apa yang peminat boleh jangka dari Afgan untuk tahun hadapan?
Aku tak tahu. Tapi aku mahu berusaha merealisasikan apa yang aku cakap tadi, melakukan persembahan keliling dunia. Aku juga mahu konsisten dengan projek lagu-lagu Inggeris aku, langsungkan lebih banyak kolaborasi, sama ada dengan penyanyi Indonesia atau mungkin juga Malaysia.
Okey ini pertanyaan terakhir, jika tidak diletakkan sebarang batas, apa yang ingin kamu lakukan?
Aku mahu berpindah dan hidup di Tokyo. Aku sukakan Tokyo, aku suka semuanya tentang Tokyo. Energinya, tiada yang sama. Aku selalu berangan membeli rumah di sana. Aku tak tahu bila akan terealisasi, tapi aku merancang berusaha ke arah itu.
Angan-angan bermustautin di Tokyo menoktahi perbualan saya bersama Afgan di bilik mekap studio Yipieyaya tengahari itu. Interviu bersama Afgan ini memahatkan perkataan ‘organik’ di dalam kepala saya. Dia mengingatkan saya bahawa apa-apa yang mahu dibuat atau diubah biarlah terlangsung dengan rela hati.
Artikel berkaitan: GLAM LELAKI #NEWERA BERSAMA HAEL HUSAINI
Tags
Artikel Yang Berkaitan
ALO YOGA DAN JIN BTS BERSATU UNTUK MUSIM BAHARU
ALO YOGA menyunting JIN BTS sebagai duta rasmi. Membuka lembaran untuk pengembangan pasaran yang penuh keterujaan di Korea Selatan.
RIMOWA ORIGINAL BAG SEBAGAI PENEMAN SETIA GAYA HAEL HUSAINI
Bagasi Original RIMOWA yang cukup ikonik menjadi inspirasi kepada penghasilan RIMOWA Original Bag yang menjulang ritma sleek dan berinovasi.
HARIZ HAMDAN, JEJAKA BERBAKAT BESAR MESTI KENALI
Hariz Hamdan merupakan pelakon baharu yang makin dikenali dek bakat lakonannya. Selain bergelar pelakon, Hariz Hamdan turut dikenali dengan individu yang memiliki gaya hidup aktif. Hariz makin dikenali selepas berlakon siri 'X-Change'.
TOP 10 LAGU HITS AFGAN YANG WAJIB ADA DALAM PLAYLIST
Temui top playlist Afgan, dari balada romantis hingga R&B yang penuh jiwa, meraikan karier muziknya yang ikonik!
AFGAN TUTUP TIRAI 2024 DENGAN KONSERT SOLO TERBESAR DI PULAU PINANG
Baru saja menghiburkan peminat di Kuala Lumpur, Afgan bakal kembali ke Malaysia menerusi konsert solo pertamanya di Pulau Pinang.
GAYA MENSWEAR SELEBRITI HOLLYWOOD DI MILAN FASHION WEEK 2025
Siapakah selebriti Hollywood lelaki yang paling mencuri tumpuan di pentas Milan Fashion Musim Bunga/Panas 2025 di kota Milan kali ini?