BELASUNGKAWA! JOJO ONE NATION EMCEES DIJEMPUT ILAHI
Pemergian bekas penyanyi rap, Jojo dianggap sebagai satu kematian yang dicemburui.
Bekas ahli kumpulan One Nation Emcees itu menghembuskan nafas terakhir di Masjid Jamek Sri Petaling pada 26 Januari dipercayai akibat serangan jantung.
Ketika itu pemilik nama Nur Hasan Balas sedang mengikuti hari terakhir program Ijtimak Dakwah yang bermula sejak Khamis lalu. Menurut pendakwah Maulana Helmi, Allahyarham tiba-tiba rebah selepas pembacaan doa penutup program.

Foto: Instagram
“Buat masa ini punca sebenar kematian arwah masih belum diketahui selagi tidak dikeluarkan oleh pihak hospital. Cuma arwah ada mengadu dia sakit dada pagi tadi.
“Ketika datang ke program hari ini, dia memakai pelitup muka dan apabila ditanya oleh sahabat-sahabat, katanya mohon doa kerana sakit dada dan sesak nafas.
“Baru hari ini dia kelihatan kurang sihat. Hari-hari sebelumnya okey saja. Dia seorang yang ceria, ramah berbual dengan sahabat-sahabat lain dan selama program ini, keadaannya nampak sihat-sihat saja.
“Hari ini adalah hari penutup program, jadi memang Jojo ‘pergi’ dalam keadaan tempat baik, bulan terbaik dan di dalam majlis ilmu lagi. Memang kematian yang dicemburui,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Jojo Kekal Rapat Dengan Rakan Seindustri
Berita pemergian mengundang duka di hati peminat dan rakan-rakan artis termasuk vokalis One Nation Emcees, Mimi Fly. Katanya walaupun sudah lama tidak bertemu, mereka masih kerap berhubung dan merancang untuk bertemu dalam masa terdekat.
“Dia pernah mengalami strok beberapa bulan lalu. Saya dapat tahu dia tiba-tiba rebah di masjid ketika perjumpaan tabligh. Dua hari lepas kami baru berhubung dan ada perancangan untuk melakukan bisnes raya bersama,” kongsinya kepada Mstar.

Foto: Facebook
Jojo mula aktif dalam industri hiburan bersama One Nation Emcees selepas memenangi sebuah pertandingan realiti pada 2008. Selepas bersara, Allahyarham yang berasal dari Sabah berkhidmat sebagai bilal di Masjid Hanafi di Taiping, Perak.
Jezanah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Jalil pada hari sama sekitar pukul 6.45 petang. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan seorang anak perempuan yang berusia tujuh tahun.
Foto: Facebook
Pautan berkaitan: LAPAN TAHUN MENDERITA MASALAH BUAH PINGGANG, NAZRUL RABBANI MENINGGAL DUNIA
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.