DALAM DIAM ZENDAYA KINI BERGELAR TUNANGAN TOM HOLLAND
Selepas beberapa tahun menjalin cinta, Zendaya dan Tom Holland membawa perhubungan mereka ke tahap lebih serius.
Menurut laporan TMZ, pelakon yang digandingkan bersama dalam filem trilogi Spider-Man itu sudah pun mengikat tali pertunangan pada Hari Krismas lalu.
Aktor berusia 28 tahun itu melutut dan melamar dalam suasana penuh romantis di kediaman keluarga Zendaya di Amerika Syarikat. Bagaimanapun detik istimewa itu hanya dikongsi mereka berdua tanpa ditemani ahli keluarga lain.
Spekulasi pertunangan mereka tular di internet selepas Zendaya menggayakan sebentuk cincin berlian 5-karat rekaan Jessica McCormack di jari manisnya ketika menghadiri Anugerah Golden Globes 2025.
Zendaya & Tom Holland Antara Pasangan Romantis Hollywood
Menurut sumber, rakan-rakan dan ahli keluarga sememangnya sudah menduga mereka akan bertunang namun tidak mengetahui bilakah Tom akan melamar.
“Dari dulu Tom memang tergila-gilakan Zendaya. Dia tahu Zendaya adalah wanita yang tepat. Mereka berkongsi ikatan yang sangat istimewa,” katanya. Tambah sumber, Tom berkongsi berita gembira itu bersama rakan-rakannya sekitar sambutan Tahun Baru.
Bagaimanapun pasangan itu dikatakan tidak terburu-buru mahu bergelar suami isteri kerana masing-masing sedang sibuk dengan projek terbaru.
Tom dan Zendaya bertemu di set Spider-Man: Homecoming pada 2016. Cinta mereka dikatakan berputik sewaktu menjalani penggambaran Spider-Man: Far From Home pada 2019.
Pasangan itu bijak merahsiakan percintaan daripada dihidu peminat namun segalanya terbongkar apabila foto mereka berkucupan di dalam kereta tular pada 2021. Sejak itu mereka terbuka berkongsi perhubungan kepada umum bermula dengan ucapan hari jadi romantis daripada Tom kepada ‘MJ’ di Instagram.
Setahun kemudian pasangan itu membeli kediaman pertama berharga RM16 juta di kawasan kejiranan kelas atasan Richmond. Lokasinya dikatakan tidak jauh dari South West London, tempat di mana Holland dilahirkan dan dibesarkan.
“Mereka sangat teruja dengan pembelian hartanah pertama mereka sebagai pasangan kekasih. Mereka amat mencintai satu sama lain dan mahukan kediaman pertama di London, tempat di mana Tom membesar. Semua orang gembira dengan keputusan mereka,” jelas sumber.
Foto: Instagram
Pautan berkaitan: KEMUNCULAN TOM HOLLAND & ZENDAYA DALAM PERSALINAN SEDONDON MENCURI PERHATIAN
Tags
Artikel Yang Berkaitan
ADELE & RICH PAUL BAKAL DISATUKAN PADA MUSIM PANAS INI?
Berita pertunangan Adele kembali hangat diperkatakan apabila sebentuk cincin bertatah berlian mewah dilihat tersemat di jari manisnya.
FASA BAHARU HUBUNGAN ROMANTIS TOM HOLLAND & ZENDAYA
Walaupun spekulasi percintaan Tom Holland dan Zendaya telah lama tersebar, hubungan mereka hanya berjaya dibongkar Julai tahun lalu oleh paparazi.