DI SEBALIK PERKAHWINAN INTIM CHARLIE PUTH & BROOKE SANSONE
Penyanyi dan penulis lagu pujaan ramai, Charlie Puth melangkah ke fasa baru dalam hidupnya.
Tanggal 8 September, pemuzik berusia 33 tahun itu selamat disatukan dengan cinta hatinya, Brooke Sansone dalam majlis tertutup di kediaman keluarganya di Montecito, California. Brooke yang berusia 25 tahun merupakan seorang penyelaras perhubungan awam.
Charlie turut berkongsi khabar gembira itu bersama peminat di Instagram pada 18 September. Dia memuat naik foto dan video hari bahagianya berserta mesej menyentuh hati buat isteri tercinta.
“Saya cintakan awak Brooke, ia tidak pernah berubah. Bila bersama awak, saya menjadi yang terbaik. Saya berjanji akan menyayangi awak setiap hari dalam hidup ini, dan lebih lagi pada kehidupan seterusnya. Brooke Ashley Sansone, dan kini awak akan menjadi Brooke Ashley Puth. Terima kasih kerana menjadikan saya lelaki paling bahagia,” tulisnya.
Charlie Puth & Isteri Diraikan Sebagai Pengantin Baru
Pasangan itu diraikan dalam satu majlis tertutup yang meriah dengan kehadiran ahli keluarga dan rakan terdekat. Ia dimulakan dengan raptai makan malam di San Ysidro Ranch, lokasi di mana Presiden John F. Kennedy dan Jackie Kennedy pernah berbulan madu.
Usai makan malam, acara disambung dengan parti di gelanggang tenis di kediaman keluarga Charlie yang menghidangkan minuman dan pencuci mulut.
Keesokan harinya, pasangan itu disatukan sebagai suami isteri di hadapan pokok zaitun di kediaman sama. “Kami mahukan majlis yang sangat ringkas tetapi indah dan tidak boleh dilupakan,” kata Brooke kepada Vogue.
Pada majlis itu, Brooke menyarung gaun tanpa lengan Danielle Frankel yang anggun. Charlie pula memilih penampilan tradisional dengan menggayakan sut klasik rekaan Bode.
Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada September 2023 selepas Charlie terbang ke New York City sewaktu konsert jelajahnya untuk melamar.
Mereka mencetus spekulasi percintaan selepas dilihat menghadiri Global Citizen Festival di New York City bersama di samping ahli keluarga pada September 2022. Walaupun baru dua tahun menjalin hubungan romantis, mereka sebenarnya sudah pun mengenali satu sama lain sejak zaman kanak-kanak.
Foto: Norman & Blake
Pautan berkaitan: FOTO SEKITAR ISTIADAT PERKAHWINAN TENGKU PUTERI AFZAN & FD IDZHAM
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.